Saturday, September 17, 2016

Halau Peguam ‘Gila’ AS - Jamal Rosakkan Imej UMNO?.


Apa untungnya Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mahu mengadakan demonstrasi bantahan terhadap peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Untuk apa pemimpin kontroversi akar umbi UMNO itu membuat ancaman sedemikian?

Apakah ancaman Jamal terhadap peguam Anwar dari Amerika Syarikat, Kimberley Motley akan memberi kesan tidak baik kepada UMNO?

Peguam Latheefa Koya yang turut menganggotai pasukan peguam Anwar mengulas ancaman Jamal,  berkata tindakan itu telah 'menghanyutkan' UMNO sehingga karam.

Latheefa berkata demikian mengulas ancaman Jamal untuk mengadakan demonstrasi bantahan terhadap Motley semalam.

Kelmarin (15 September 2016), Jamal menyatakan bantahan terhadap kenyataan Motley yang menurutnya menghasut orang ramai berkumpul di mahkamah Persekutuan, Putrajaya, bagi menyokong anak guamnya pada 12 Oktober ini dalam permohonan semakan kehakiman terhadap sabitan kesalahannya.

Motley kelmarin mengundang siapa sahaya yang percaya pada “kebenaran dan keadilan” hadir ke mahkamah pada bulan depan.

Latheefa...UMNO akan karam
 Dalam kenyataannya Jamal berkata Anwar bukan tahanan politik dan “peguam gila dari Amerika Syarikat itu tidak berhak mencemari sistem kehakiman dan perundangan di negara ini dengan menghasut rakyat.”

Anwar sedang menjalani hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.Sebagai reaksi, Jamal menyeru sebuah perhimpunan balas diadakan  bagi “menghalau” Motley pulang ke negara asalnya.

“Sebagai seorang peguam, beliau sewajarnya menghormati undang-undang di negara ini dan tidak bertindak kurang ajar seperti peguam gila seolah-olah beliau mempunyai kuasa menghasut rakyat,” tegas Jamal.

"Ini adalah satu percubaan yang secara terang-terangan bertujuan menakut-nakutkan dan menghalang Motley daripada menjalankan tugasnya sebagai penasihat undang-undang antarabangsa.

"Dengan mengancam untuk mengadakan bantahan di Mahkamah Persekutuan pada 12 Oktober 2016, Jamal dan UMNO telah melemahkan sistem perundangan dan campur tangan dalam proses kehakiman," kata Latheefa dalam kenyataan, kelmarin.

Motley...peguam gila kata Jamal
Tambah beliau, ini adalah satu lagi bukti konspirasi politik terhadap Anwar. Motley dilantik oleh Anwar untuk membantu beberapa kes yang sedang berlangsung, termasuk kajian semula sabitan liwatnya pada bulan Februari 2015.

Motley, graduan Sekolah Undang-undang Marquette pada tahun 2003, berkhidmat di Amerika Syarikat dan Afghanistan.

Beliau telah menjalankan penyelidikan dalam bidang kehakiman juvana yang mendapat laporan di peringkat antarabangsa dan membantu terlibat melatih ratusan peguam Afghanistan.

Kelmarin Jamal menegaskan mahu mengadakan perhimpunan di luar Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.