Thursday, August 16, 2012

Isu Talam Belum Reda, Kini Kerajaan Selangor Didakwa Rampas Tanah KHSB

“Jika benar berlaku aktiviti perlombongan haram di tanah itu, kenapa tiada tindakan dikenakan terhadap pihak melombongnya dan kenapa selepas lebih setahun baru tindakan merampas tanah itu dilaksanakan? “Kenapa tanah itu dirampas setelah mahkamah memberikan kuasa kepada SAP Holding Berhad sebagai pemilik sah?” - Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed

Belum pun reda dengan siri dakwaan termasuk isu Talam Corporation, Kerajaan Negeri Selangor kini didakwa oleh Barisan Nasional (BN) dengan kontroversi baru melibatkan isu rampasan tanah milik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) bernilai RM250 juta di Gombak.

Februari lalu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa mengakui rampasan tersebut dibuat kerana berlaku perlombongan haram. Abdul Khalid turut menegaskan ia merupakan tindakan penguatkuasaan kerana pemilik tanah tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Semalam, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, kenyataan dibuat Menteri Besar itu jelas menimbulkan pelbagai keraguan.

Mohd Zin mendakwa mahkamah telah menetapkan tanah itu dimiliki secara sah oleh anak syarikat KHSB, SAP Holding Berhad tetapi Kerajaan Negeri tetap menjalankan rampasan tersebut tanpa alasan kukuh, malah tidak memaklumkan kepada pemegang saham KHSB.

“Jika benar berlaku aktiviti perlombongan haram di tanah itu, kenapa tiada tindakan dikenakan terhadap pihak melombongnya dan kenapa selepas lebih setahun baru tindakan merampas tanah itu dilaksanakan? “Kenapa tanah itu dirampas setelah mahkamah memberikan kuasa kepada SAP Holding Berhad sebagai pemilik sah?” kata beliau pada sidang media di Bangunan Umno Shah Alam di Shah Alam semalam.

Mohd Zin mempersoalkan mengapa KHSB seperti tidak bersungguh-sungguh mempertahankan tanah milik kumpulan tersebut.

Dakwanya, KHSB hanya membuat rayuan di Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak pada 15 November lalu sedangkan mereka mengetahui rayuan sepatutnya dibuat di mahkamah tiga bulan dari tarikh berlaku rampasan.

Dalam pada itu, Mohd Zin turut menuntut penjelasan daripada pihak KHSB sama ada berpakat dengan Kerajaan Negeri untuk melepaskan tanah tersebut.

“Adakah ada pihak mendapat untung daripada rampasan tersebut?

Adakah ini konspirasi antara pengerusi KHSB dan Menteri Besar untuk merampas tanah bernilai tinggi bagi kepentingan peribadi mereka?

“Persoalan ditimbulkan ini perlu dijawab oleh Kerajaan Negeri dan KHSB sendiri kerana kami (BN Selangor) percaya mungkin ada berlaku penyelewangan dan rakyat berhak untuk mengetahui kemana hilangnya tanah bernilai RM250 juta itu,” katanya.

Tuesday, August 14, 2012

ISU GEREJA - KENAPA SINAR HARIAN ‘GELAPKAN’ BERITA HARAKAH FITNAH UMNO SELANGOR?

 

Di Mahkamah Shah Alam semalam (13 Ogos 2012( , disebut dengan jelas bahawa satu artikel yang tersiar dalam akhbar Harakah keluaran 19-21 Julai 2011 yang mengaitkan UMNO Selangor dengan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos tahun lepas, adalah fitnah terhadap UMNO.

Kenapa di bahagian ini, Sinar Harian tidak menyiarkannya?

Sebaliknya Sinar Harian hanya menyiarkan berita bermula dengan “Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membuat keputusan menolak saman UMNO Selangor berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu tahun lalu. Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan tersebut setelah meneliti peruntukan yang terkandung dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan."

Di bawah seksyen itu, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.”


Kenapakah Sinar Harian menggelapkan bahagian fitnah terhadap UMNO dalam isu gereja?

Kenapa beria-ia sangat Sinar Harian menggelapkan berita itu seolah-olah menyokong Harakah? 

Apakah isu pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos tahun lepas bukan sesuatu yang penting kepada Sinar Harian? Atau apakah Sinar Harian ‘sudah terikat tangan dan kaki’ apabila berdepan dengan isu yang dilihat memenangkan UMNO dan memberikan tamparan kepada pakatan pembangkang dan Kerajaan Selangor?

Atau apakah Sinar Harian takut untuk menyatakan yang sebenar lagi benar mengenai UMNO Selangor dan bimbang Kerajaan Selangr akan bertindak terhadapnya jika menyatakan keputusan sebenar mahkamah mengenai isu gereja berkenaan? 

UMNO dan pemimpinnya serta orang Islam yang sensitif dengan peranan gereja di Damansara Utama itu perlu melihat dengan mendalam peranan Sinar Harian dalam menyokong parti pembangkang dan Sinar Harian bukan akhbar neutral seperti didakwa! Selain keputusan mengenai fitnah terhadap UMNO, Mahkamah Tinggi semalam menolak tuntutan saman fitnah RM10 juta yang difailkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed terhadap setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dan tiga yang lain.


Ia berhubung penyiaran artikel berkenaan dan keputusan itu dibuat berikutan Mohd Zin bukan seorang penjawat awam. Selain Mustafa, tiga defendan dinamakan dalam saman yang difailkan pada 14 September tahun lepas, ialah pencetaknya Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, editor Harakah Ahmad Lutfi Othman dan pemberita Khairul Azlam Mohamad.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili UMNO Selangor mempertimbang kemungkinan untuk memfailkan semula saman. Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin berkata defendan sebelum ini ada membangkitkan isu bahawa plaintif tiada keupayaan untuk membuat tuntutan ke atas mereka. Beliau berkata memandangkan isu yang dibangkitkan itu bukan isu prosedur tetapi isu berkaitan undang-undang, maka mahkamah membenarkannya.

"Adalah jelas sesuatu pertubuhan boleh buat tuntutan atas nama penjawat awam yang dilantik tetapi plaintif bukan penjawat awam yang boleh buat tuntutan dan justeru mahkamah menolak tuntutan plaintif, katanya. Ahmad Zaki seterusnya berkata mahkamah berpuas hati bahawa artikel berkenaan adalah fitnah dan jelas merujuk kepada UMNO Selangor.

Beliau berkata defendan tidak pernah menafikan perkara itu dan justeru mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap defendan. "Pembelaan defendan adalah berdasarkan keisimewaan bersyarat bahawa Harakah hanya untuk ahli PAS, bagaimanapun defendan akui Harakah dijual di tempat awam dan boleh dibeli oleh bukan ahli.

Tindakan defendan memanggil sidang akhbar yang turut dihadiri wartawan bukan Harakah ada maksud tersirat supaya kenyataan fitnah disiarkan kepada bukan ahli PAS dan justeru mahkamah menolak pembelaan defendan.

"Adalah malang bagi negara ini apabila fitnah dijadikan bahan politik. Oleh sebab mahkamah dah benarkan isu ketidakupayaan, jadi mahkamah tidak boleh arahkan defendan untuk bayar kos. Kalau isu ketidakupayaan tidak dibangkitkan plaintif mungkin berjaya dalam tuntutan," katanya yang turut memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Dalam pernyataan tuntutannya Mohd Zin berkata Mustafa pada 15 Ogos 2011 ditemuramah oleh Khairul Azlam di mana Setiausaha Agung PAS itu didakwa memfitnah UMNO berkaitan dengan wadah dan perjuangan politik mereka.

Menurut beliau, dalam edisi Harakah bertarikh 19-21 Ogos 2011, Mustafa telah menyebabkan atau mengizinkan untuk dicetak dan diterbitkan kata-kata fitnah itu dalam sebuah artikel di halaman kedua akhbar itu bertajuk "PAS akan dedah bukti, UMNO main peranan operasi Jais".

Mohd Zin menuntut kesemua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel, faedah empat peratus setahun dan satu arahan injunksi untuk menghalang mereka daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata fitnah itu, baik secara lisan atau di media cetak dan Internet. Beliau menuntut kesemua defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.