Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Friday, October 13, 2017

UMNO Rapat, Bertahaluf Dengan Parti Komunis China Yang Menentang Islam?


“Komunisme bermula daripada permulaan ateisme”, demikian fahaman yang diterapkan oleh Parti Komunis China (CPC).

Apa itu ateisme? Kepercayaan tiada atau menolak kewujudan Tuhan. Kepada Islam ateisme itu menolak kewujudan Allah!

Banyak hairannya apabila UMNO, parti Melayu yang dikatakan memperjuangkan Islam boleh berdamping rapat serta bertahaluf dengan CPC.

Sedangkan CPC sendiri memberi amaran kepada ahlinya tidak “berdoa kepada Tuhan dan menyembah Buddha”.

Apakah pemimpin UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan sedar mengenai tindak-tanduk pemimpin atasan mereka berbaik-baik dengan CPC yang menentang Islam?

Lagipun komunisme adalah tentang ateisme, dan kepercayaan kepada agama dianggap karut yang menjadi punca pemimpin korup mengalami kejatuhan.

Malah disebutkan juga pemimpin yang diturunkan pangkat atau dipecat oleh CPC kerana rasuah adalah mereka yang menyertai “aktiviti karut feudal.

Apakah UMNO rapat dengan CPC kerana kepentingan lain, termasuk hubungan ekonomi dengan sanggup membelakangkan tegahan agama?

Begini terdesak sekalikah pemimpin UMNO sehingga sanggup berbgiat demikian hingga sanggup ‘menggadaikan perjuangan menegakkan Islam’?

Atau UMNO mampu untuk berdakwah kepada CPC agar berlembut atau kerana kepentingan hubungan budaya? Jika demikian, budaya apa yang boleh diambil pengajaran daripada CPC?

Benar China menjamin kebebasan agama untuk agama utama seperti Kristian, Buddha dan Islam, tetapi ahli Parti Komunis sepatutnya diseru berfahaman ateisme dan dilarang daripada menyertai apa yang digelar sebagai amalan karut di negara itu seperti meminta bantuan tukang tilik.

Sebuah Sebuah akhbar China yang menjadi lidah Parti CPC yang memerintah negara itu memberi amaran kepada ahlinya tidak “berdoa kepada Tuhan dan menyembah Buddha” kerana komunisme adalah tentang ateisme, dan kepercayaan karut menjadi punca pemimpin korup mengalami kejatuhan.

Apakah maknanya ini?

Nyata sekali, UMNO sudah berkawan dengan parti yang menentang amalan beragama, termasuk Islam.

Apakah layak UMNO berbuat demikian?

Akhbar People’s Daily dalam komentarnya berkata sudah menjadi kebiasaan dalam beberapa tahun ini, pemimpin yang diturunkan kerana rasuah adalah mereka yang menyertai “aktiviti karut feudal”.

“Malahan, sesetengah pemimpin biasanya akan ke biara, berdoa kepada Tuhan dan menyembah Buddha,” kata akhbar itu.


FMT yang memetik akhbar berkenaan semalam menyebut: “Sesetengah pemimpin terlalu memikirkan untuk berbaik dengan mahaguru, mahu bersaudara dengan mereka dan menjadi penurut dan sumber duit mereka.”

Laporan menyebut Setiausaha Agung UMNO  Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata beliau menghargai kerjasama rapat antara UMNO dan CPC tersebut. Kemesraan makin menyerlah di antara dua pihak berkenaan.

Katanya, walaupun parti pemerintah China itu mengamalkan sistem satu parti, namun ia bukan bermakna tiada demokrasi dalam pentadbiran mereka dan penghalang untuk kedua-dua negara bertukar pandangan.

“Lihatlah China hari ini apabila menjadi antara negara yang memiliki sistem jaringan pengangkutan tercanggih, komunikasi terkini, industri dalaman yang berkembang dan dalam masa yang sama masih mampu mengekalkan budaya dan tradisi mereka sendiri,” katanya.

Hakikatnya, kerjasama antara kerajaan Malaysia dan negara China adalah perkara biasa tetapi kerjasama di antara UMNO dan  CPC, adalah perkara yang berbeza dan bukan kebiasaan.

Tetapi jika tahaluf diadakan antara UMNO dan CPC, ia janggal dan membimbangkan.

Penduduk China terutama pemimpin negara, diketahui mempunyai tradisi lama untuk meletakkan kepercayaan mereka dalam tilikan dan ramalan untuk mencari jawapan dalam masa keraguan, terdesak dan celaru.


Namun, amalan itu berdepan ancaman apabila Presiden Xi Jinping yang memerintah pada akhir 2012 mengenakan tindakan keras ke atas rasuah yang sudah lama berakar umbi, di mana ramai pemimpin kanan dipenjara waktu itu.

People’s Daily menyebut contoh Li Chuncheng, bekas timbalan ketua parti di Sichuan yang dipenjara 13 tahun pada 2015 kerana rasuah dan salah guna kuasa, dan menurut akhbar itu, beliau adalah seorang penggemar amalan Fengshui dan tilikan Cina tradisional.

Seorang pemimpin lebih muda di wilayah selatan negara iaitu Jiangxi, memakai tangkal untuk menghalau nasib malang, menurut akhbar itu.

“Sebagai seorang pemimpin, jika kamu habiskan masa memikirkan perkara yang tidak jujur, kamu pasti akan jatuh akhirnya,” kata akhbar itu.

Pengasas China moden, Mao Zedong, melarang ramalan nasib dan kepercayaan karut di China yang mengamalkan komunisme, tetapi kepercayaan demikian mula kembali sejak negara itu menerima perubahan ekonomi dan mula lebih terbuka pada akhir 1970an.

Dalam salah satu kes terbaru yang terkenal, bekas ketua keselamatan China Zhou Yongkang dipenjara seumur hidup disebabkan tuduhan mengatakan beliau membocorkan rahsia negara yang tidak diketahui kepada seorang tukang tilik dan bomoh bernama Cao Yongzheng, yang terkenal sebagai “pendeta Xinjiang” sempena nama tempat beliau dibesarkan.

Akhbar People’s Daily berkata pemimpin mestilah ingat kata-kata Marx, “Komunisme bermula daripada permulaan ateisme”.

“Kepercayaan karut adalah pencemaran pemikiran dan mengebaskan kerohanian yang tidak boleh dipandang lekeh dan mestilah diusir sehabisnya,” tambah akhbar itu.

Rugi besarkah UMNO jika tidak berkawan rapat dengan CPC?


Tuesday, May 9, 2017

Kasihan...Merah Padam Muka Pemimpin. Penyokong Najib Razak

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 3 April lalu memberi bayangan kemungkinan akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Selangor.

Ia dibuat ketika desas-desus mengenai usaha ke arah itu makin kencang kedengaran.

Masa ramailah penyokong UMNO termasuk cytro yang dibiayai oleh Najib Razak dan Dr Ahmad Zahid Hamidi berteriak dan melalak terutamanya di Facebook bahawa kerajaan Selangor akan bertukar.

Malah tanpa segan silu mereka mengatakan Istana Selangor turut bersedia menerima calon Menteri Besar baru daripada UMNO.

Portal Utusan Malaysia Online turut menghangatkan keadaan apabila memetik Hadi mengenai kemungkinan peralihan kuasa susulan perkembangan terbaru setelah Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah, minggu lalu yang  bersetuju meminta Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang menerajui negeri itu, ia bagaikan isyarat untuk menggulingkan kerajaan campuran PKR, DAP, PAS dan AMANAH itu.

"Biasalah, kemungkinan (boleh) berlaku," katanya yang dipetik portal milik UMNO itu.

Juak-juak Najib begitu teruja bahawa Selangor akan kembali kepada kerajaan bukan Pakatan Harapan (PH) dengan kononnya UMNO dan PAS bergabung.

Bagi mereka, ia boleh dilakukan dengan bantuan beberapa ADUN PKR dan Bebas yang menyertai mereka.

Malah, pada 3 Mei lalu Malaysiakini melaporkan, empat ADUN PKR dan dua ADUN Bebas menghadap Sultan Selangor kononnya menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Bagaimanapun seorang daripada nama yang disebut-sebut itu, Rodziah Ismail, menafikan spekulasi berkenaan.

Namun apa yang diramalkan oleh juak Najib berasaskan kenyataan Hadi,  tidak menjadi.

PH  kekal menguasai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor dengan 14 daripadanya adalah wakil DAP, 13 PKR dan dua Parti Amanah Negara (AMANAH).

PAS pula menguasai 13 kerusi manakala UMNO 12.
              
Jika Hadi benar-benar  mahu menggulingkan kerajaan negeri dan jika PAS berpakat dengan UMNO, PAS dan UMNO sudah mempunyai 25 kerusi yang tersedia dan memerlukan beberapa ADUN PKR sahaja untuk melompat dan menterbalikkan pemerintahan PKR di Selangor

Namun sedikit pelik ialah kenapa jika benar PAS mahu merobohkan kerajaan pembangkang Selangor kerana marahkan AMANAH dan DAP, ‘arahan Hadi’ tidak dipatuhi oleh ADUN PAS sendiri?

Mengejutkan lagi,  walaupun Hadi mengatakan semua pemimpin PAS Selangor akan patuh pada arahan Pusat PAS, semuanya kini sejuk kembali.

Patuh apa yang dimaksudkan Hadi? Patuh gulingkan kerajaan PH sekarang atau ‘guling hajat UMNO Selangor yang berkobar-kobar”?

Kenyataan Hadi itu dibaca dalam berbagai sudut dan ada pihak mengatakan Hadi turut memasang cita-cita tinggi untuk melingkupkan kerajaan campuran di Selangor yag diterajui oleh pakatan harapan dan PAS sendiri.

Malah, Hadi yang bertanggungjawab untuk membolehkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar selepas ‘menolak Wan Azizah’ memainkan kata-kata dan wajahnya yang asyik bertukar rupa.

Apabila PAS bermain politik sebelum ini dengan sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa agar Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan PKR, jelas Hadi mempunyai perancangan tertentu untuk Selangor.

Namun, apa yang diharapkan oleh UMNO Selangor nyata  tidak menjadi.

Maka ramai yang muka merah padam dan kenyataan Hadi jelas tidak ‘boleh dipakai’ dan menjadi harapan palsu kepada penyokong Najib dan Zahid.


Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mungkin orang paling kecewa!!!

Harapan mereka tidak menjadi apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang dilantik EXCO tidak mahu meninggalkan kerajaan negeri.

Lebih mengejutkan kelmarin, selepas gagal menumbangkan kerajaan pembangkang di Selangor, UMNO negeri itu menuduh kononnya ada wakil rakyat PKR akan berpaling tadah beberapa hari lalu sengaja direka parti itu untuk mengalih perhatian ramai daripada masalah yang melanda mereka.

Tan Sri Noh Omar mendakwa helah itu memang menjadi kegemaran PKR sebagai cara untuk melupakan sementara kemelut yang melanda ketika ini.

Noh menegaskan, khabar angin empat wakil rakyat PKR bercadang melompat parti itu adalah salah satu contoh bagaimana parti terbabit sengaja mencipta isu.

Selepas gagal untuk menumbangkan kerajaan pakatan pembangkang itu, Noh meletakkan kesalahan di bahu PKR dan sama sekali membebaskan PAS daripada kemelut berkenaan.

"Siapa yang mulakan (khabar angin itu)? (Ia dimulakan) sesama mereka. Akhirnya di Selangor - dari dulu - lebih banyak politik," katanya.

Noh jelas melepaskan kekecewaannya dengan mengatakan  memang menjadi rahsia umum wujud dua kem berbeza dalam PKR ketika ini. Antara lain, katanya, disebabkan penahanan dan pendakwaan pemimpin pemuda parti itu, Datuk Adam Rosly Abdullah baru-baru ini.

"Dalam PKR tidak dapat dinafikan, ada dua kem. Mereka sesama mereka bertelagah, lepas tu mereka cipta satu masalah baru," katanya.

Lebih memalkan Noh dan penyokong Najib dan Dr Ahmad Zahid ialah apabila semalam, Exco kerajaan Selangor daripada PAS menegaskan bahawa mereka masih bersama pentadbiran negeri itu kerana ia adalah mandat yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum 2013.


Exco Kanan PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, langkah itu adalah demi memastikan kestabilan kerajaan Selangor susulan timbul banyak khabar angin mengenai kedudukan parti Islam berkenaan dalam pentadbiran pimpinan Azmin..

Beliau berkata exco PAS juga akan menjalankan tugas seperti biasa dan memastikan semua program kerajaan negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) terlaksana dengan jayanya.

"Barisan exco PAS akan terus memainkan peranan aktif dan berkesan selari dengan komitmen yang telah diberikan untuk mendukung prinsip serta dasar kerajaan negeri sejak Mac 2008.

"Dengan itu, kami memberi sokongan kepada kerjasama serta persefahaman kepada kepimpinan sedia ada untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati kestabilan dan pembelaan yang berterusan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Nyata sekali kerajaan Selangor  yang dipimpin Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR dengan komposisi tiga exco daripada PKR, tiga DAP dan tiga PAS terus berkuasa hingga pilihan raya umum akan datang.

Kedudukan ini turut melenyapkan haraan UMNO Selangor yang mengharapkan bantuan PAS dan beberapa ADUN PKR dan Bebas yang diharapkan berpihak kepada mereka.

Apakah pengekalan kerajaan PH yang ada ini sebagai isyarat bahawa di Selangor, PAS sama sekali tidak akan mengkhianati perjanjian dengan PH, walaupun ada DAP dan AMANAH?


Atau dengan kata lain Hadi tidak akan menggangu Selangor dan biarkan kerajaan PH terus kekal>

Juga tidakkah ini menunjukkan bahawa PAS sama sekali tidak rela untuk hilang kuasa yang ada padanya – walaupun terpaksa berkongsi dengan musuhnya, DAP dan AMANAH – agar ADUNnya turut mendapat kedudukan dalam pentadbiran negeri.


Jadi janganlah UMNO berharap sangat kepada PAS untuk membentuk kerajaan campuran kerana seperti juga UMNO, PAS juga melihat kuasa dan kedudukan dalam sesebuah kerajaan, sama ada peringkat negeri, apa lagi jika Putrajaya, sebagai caranya kekal wujud dan turut bekuasa.

Sunday, December 11, 2016

Memalukan Apabila Najib Layan Surat Layang Dari ‘Jamban’...


Hanya sekeping surat layang boleh menggugat perpaduan dalam UMNO dan hubungan antara Perdana Menteri dan timbalannya?

Apakah surat seperti itu mempunyai kekuatan untuk menggugat UMNO dan kerajaan? 

Entahlah.

Anggota Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Tan Sri Noh Omar sudah menganggap  penyebaran viral itu tidak ubah seperti 'tindakan pelajar sekolah'.

Dengan kedudukan status seperti kata Noh itu, surat layang itu sewajarnya tidak diambil berat oleh seorang Perdana Menteri yang terbukti sudah mendapat sokongan lebih tiga juta ahli UMNO, selain penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN).

Jika dilihat kepada ikrar serta walak pengikut UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 baru-baru ini, tiada siapa boleh menggugat perpaduan dalam parti Melayu itu.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 baru-baru ini Dr Ahmad Zahid Hamidi dan hadirin sudah menyatakan ikrar taat setia mereka kepada Najib .

Malah Dr Ahmad Zahid turut meminta hubungan beliau dengan seorang lagi naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dilaga-lagakan.

Najib pula dalam ucapan penggulungannya menyatakan tidak pernah meragui kesetiaan Zahid, malah tidak risau sama sekali jika naib presiden UMNO itu 'berdiri' di belakangnya.

Namun tiba-tiba sahaja hanya dengan sekeping surat layang yang entah dari mana datangnnya, negara heboh bahawa  pembangkang kini begitu terdesak untuk menggugat hubungan mereka, termasuk dalam UMNO dam kepimpinan tertinggi parti utama BN  dan kerajaan.

Sekeping surat yang didakwa ditulis Timbalan Perdana Menteri dikatakan mendesak Najib  supaya meletak jawatan yang menjadi viral di laman media sosial kelmarin dan semalam.

Najib berkata beliau percaya surat itu sengaja direka pembangkang yang didakwa 'iri hati' dengan solidariti kukuh yang diperlihatkan pada PAU 2016  baru-baru ini.

Najib menuduh pembangkang kini begitu terdesak dan berada dalam keadaan kucar-kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjarakan pemimpin mereka sendiri.


“Mereka mencuba pelbagai cara dalam bidang kuasa mereka untuk memecahbelahkan kita. Tetapi mereka tidak kenal UMNO dan kesetiaan ahlinya iaitu mereka yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi.

“Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila mereka menyebarkan khabar angin dalam usaha untuk merosakkan hubungan rapat saya dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu catatan di laman blog najibrazak.com, malam tadi.

Najib mengatakan  pembangkang mungkin tersalah anggap perwatakan timbalan perdana menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti UMNO yang didorong oleh kepentingan peribadi dan bukannya kepentingan parti atau nasional.

Berikutan itu beliau menggesa  semua ahli parti UMNO untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik kotor yang digunakan pihak lawan.

“Mereka mencemburui solidariti kukuh dalam UMNO dan Barisan Nasional,” tegas Najib.

Membaca reaksi Najib ini memperlihatkan betapa UMNO dan BN yang sebenarnya terdesak sangat untuk memulihkan perpecahan di kalangan mereka.

Betul juga kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu bahawa Najib kini  dilihat keliru dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berhubung pendekatannya dalam memberikan reaksi kepada desakan tertentu.

Sebelum ini beliau menuntut keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan dengan menyertai perhimpunan solidarity, sedangkan pemimpin negara itu harus menggunakan kuasanya yang lebih wajar berbanding sekadar himpunan.

"PM juga bertindak ajak demo sedangkan dia pimpinan kerajaan, “ kata Mohamad, dan kini beliau menjawab surat layang.

Bukan serius sangatpun surat itu sehingga memerlukan jawapan balas daripada beliau.

Pada ketika pembangkang sehari dua ini tidak melayan pun surat layang itu jelas mereka menganggap surat itu tidak ada nilai langsung untuk kepentingan politik mereka.


Berikutan itu, apakah surat itu dibuat pembangkang? Kalau daripada pembangkang, kenapa mereka tidak riuh malah tidak ambil kisah langsung.

Yang melalak sana sini ialah pemimpin UMNO sendiri, malah mengejutkan apabila Najib yang beria-ia menjawab isu ini sedangkan yang diserang ialah Dr Ahmad Zahid.

Apakah Najib cuba melindungi Dr Ahmad Zahid atau Najib sendiri mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dalam UMNO.

Malah isu surat palsu kononnya pemimpin UMNO mendesak Najib  supaya meletak jawatan bukanlah relevan sangat.

Tiada nilai langsung!

Ini kerana pembangkang dan rakyat sudah menyatakan kehendak mereka supaya Najib letak jawatan sebelum ini dan apa sangat ‘berpengfaruhnya’ dengan sekeping surat layang.

Pembangkang 'tak main' surat layang, mereka tunjukkan melalui himpunan BERSIH 5 yang dikecam oleh kerajaan.

Jelas, hakikatnya Najib yang takut kepada bayang-bayangnya sendiri.

Dengan ikrar Dr Ahmad Zahid yang tetap setia kepada Najib, apa lagi yang Najib bimbang dengan sekeping surat entah dari ‘jamban’.

Malah mengesyaki bahawa ia dibuat oleh pemimpin atau penyokong Parti Pribumi Persatu Malaysia (PPBM) mengeluarkan surat ini merupakan pendapat yang boleh dipertikaikan.

Najib menyatakan pendapatnya bahawa surat palsu itu mengandungi slogan "Demi Malaysia yang lebih baik".

“Ia merupakan slogan Parti Pribumi Persatu Malaysia (PPBM),” kata Najib.

Kenapa cepat menuduh sedemikian sedangkan siasatan belum dibuat.

Bagaimana jika pihak lain atau dalam UMNO sendiri yang melakukan ‘kerja bodoh’ menyediakan surat dari ‘jamban’ ini? 

Monday, August 15, 2016

Isu 1MDB, Kos Sara Hidup Ibarat 'Bom Atom' Bagi UMNO...


Ada mengatakan persidangan Perwakilan UMNO Bahagian serta sayap - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri - seharusnya menjadi platform bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih mendapat sokongan padu dalam kalangan anggota.

Kesempatan ini dilihat sebagai cara terbaik untuk buktikan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa  bahawa UMNO masih tetap kukuh dan bersatu padu meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran masa ini.

Sudah-sudahlah dengan soal menyokong ketua. Tidak cukupkah lagi dengan pernyataan sokongan yang dibuat sejauh ini sehingga persidangan Bahagian UMNO juga perlu membuat pendirian demikian.

Apakah melalui persidangan itu boleh menghapuskan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa bahawa UMNO kini sedang berdepan cabaran getir dan menguji ketabahan dan integriti pemimpinnya?

Tahniah kepada Ketua UMNO bahagian Shah Alam, Datuk Zahari Shaari kerana berani memperkatakan apa yang pemimpin Bahagian UMNO lain takut untuk menyatakannya secara terbuka.

Semalam Zahari mengeluh setelah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diibaratkan menimpa UMNO ibarat 'bom atom'.

Datuk Zahari Shaari sedang berucap...
Bagi Zahari, amat nyata Isu 1MDB ini berada dalam antara senarai teratas yang perlu diberikan perhatian oleh UMNO.

"Ini 'mengena' kami seperti bom atom...Tolong selesaikannya dengan segera," ujar beliau di Dewan Seri Budiman, Universiti Institut Teknologi Mara di Shah Alam.

Beliau berkata demikian dalam rayuan kepada pimpinan UMNO untuk selesaikan isu berkenaan seberapa segera semasa majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Shah Alam yang dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bukan mudah untuk mendapatkan seorang pemimpin seperti Zahari yang berani berterus-terang, apa lagi di hadapan pemimpin besar UMNO.

Jika yang lain, mungkin mereka akan mengelakkan daripada menyebut isu 1MDB yang kini sebagai sesuatu yang amat menakutkan pemimpin tertinggi UMNO, tetapi bukan kepada Zahri.

Isu 1MDB kini bukan sekadar isu derma RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri tetapi 1MDB  juga disabitkan dengan hutang yang begitu besar, integriti, tadbir urus selain dibimbangi akan menyebabkan UMNO, kerajaan dan rakyat menanggung musibahnya.

Banyak laporan, termasuk Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam diedarkan pada bulan April lepas, menyebut bahawa  hutang 1MDB setakat Januari 2016 berjumlah RM50 bilion.

Sebuah badan kajian ekonomi berpusat di United Kingdom meramalkan Malaysia menghadapi risiko diturunkan taraf unjuran kredit disebabkan hutang syarikat milik kerajaan termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Nikkei Asian Review 7 Jun lalu.

Menurut Oxford Economics, pelabur asing semakin kurang minat terhadap pasaran saham tempatan walaupun dengan aliran masuk tunai ke dalam pasaran serantau.

Selain itu 1MDB turut berdepan dengan saman firma pelaburan Abu Dhabi berhubung pertikaian lebih AS$6.5 bilion yang ditetapkan bermula untuk proses timbang tara antarabangsa bulan depan.

Dr Ahmad Zahid....beri kerjasama sepenuhnya.
Pertikaian 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi melalui pengurusan kes di Mahkamah Timbang Tara London (LCA) turut merisaukan rakyat.

Apa yang diharapkan ialah  kerajaan (ramai pemimpin penting UMNO di dalamnya) membuat keputusan mengenai tindakan undang-undang terhadap pengurusan 1MDB yang terbabit, termasuk yang sebelum ini  dan lembaga pengarahnya, jika terbukti mereka punca kelemahan dan penyelewengan.

Malah ada pertanyaan dariada pembangkang dari mana duit bakal dikorek Kementerian Kewangan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya International Petroleum Investment Company (IPIC) berjaya tuntut RM26.5 bilion?

Di sebalik isu berkenaan, yang paling mengejutkan ialah apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat pada Julai lalu, memfailkan tindakan undang-undang, bertujuan merampas berpuluh-puluh hartanah yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB).

Menurut dokumen difailkan itu ia bernilai lebih AS$3.5 bilion (RM14,00 Juta) dikatakan disalahguna daripada institusi berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan pada 21 Julai lalu, tindakan undang-undang tersebut yang difailkan di Los Angeles bertujuan membuat rampasan aset yang 'terlibat dalam dan boleh dikesan berhubung konspirasi antarabangsa untuk menggubal wang haram disalah gunakan dari 1MDB'.

Timbalan Perdana Menteri berkata 24 Julai lalu, Malaysia menyambut baik usaha DOJ Amerika Syarikat dalam memerangi rasuah antarabangsa dan menggesa semua pihak terlibat supaya memberi kerjasama sepenuhnya supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.

DR Ahmad Zahid yang kini memangku Timbalan Presiden UMNO berkata  sebagai anggota bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat global, menghormati proses perundangan bagi bidang kuasa yang berbeza dan kekal komited sepenuhnya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan laporan DOJ mengenai 1MDB adalah tindakan sivil semata-mata, tetapi ada pihak mengatakan ia berkait dengan perbuatan jenayah.

Pemimpin pembangkang menyatakan walaupun istilah ‘sivil’ digunakan, sejumlah 17 aset yang disebut di dalam dokumen itu disita kerana melibatkan penyelewengan dan salah laku melibatkan 1MDB dan wang rakyat Malaysia.

Secara lebih jelas, ia bermaksud jenayah telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga DOJ bertindak demikian.

Tidak cukup dengan itu, pada Khamis lepas, bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan dengan ADUN Salor, Datuk Husam Musa (kiri) memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York, menurut The Hollywood Reporter.

Ini sebahagian sahaja permasalahan yang wujud berkaitan 1MDB. Belum pasti apa lagi yang muncul selepas ini.

Zahari pada mesyuarat semalam turut menekankan kebimbangan masyarakat bandar termasuk kenaikan kos sara hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan proses rasionalisasi subsidi.

Umno Shah Alam menuntut kerajaan memansuhkan tol Batu Tiga dan tol Sungai Rasau yang dilihat membebankan pengguna sejak dulu lagi.

Amat wajar jika Ketua UMNO Bahagian Shah Alam itu menyatakan kebimbangannya terhadap tekanan masyarakat bandar dan seharusnya ketua UMNO Bahagian lain turut memperkatakan isu yang melanda di kawasan mereka sendiri.

Mesyuarat UMNO Bahagian bukan medan untuk memuji atau mengagungkan pemimpin tertentu, juga bukan untuk memperkatakan sesuatu yang tidak berpijak di alam nyata.

Sewajarnya Ketua Bahagian UMNO bertindak seperti Zahari menyatakan pendirian mereka dala isu rkayat dan sumbangan besar ini pastiya akan menyumbang kepada kekuatan UMNO, bukan melemahkan.

Tidak bermakna apabila mengatakan sesuatu isu yang menghimpit rakyat bermakna ia kritikan terhadap pemimpin.

Juga tidak bermakna apabila menyatakan sokongan terhadap seseorang dalam mesyuarat Bahagian, ia akan meyakinkan rakyat ramai. Yang mungkin yakin, mungkin yang hadir pada mesyuarat itu sahaja. Itupun belum pasti.

Lagipun, UMNO perti terbuka dan setiap permasalahan perlu diselesaikan melalui cara dalaman.

 Jadi, apa yang dilakukan Zahari adalah bertepatan dengan semangat ‘penyelesaian masalah masyarakat melalui UMNO’.

Malah, Zahari ‘bercakap  di alam nyata’ apabila mengatakan wujudnya  kebimbangan di kalangan masyarakat bandar termasuk kenaikan kos sara hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan proses rasionalisasi subsidi.

Ternyata sebagai pemimpin sebuah parti pemerintah yang kesekian lama MEMBELA RAKYAT, Zahari berani memperkatakan yang benar tanpa berselindung mengenai  hakikat kehidupan dan kebimbangan rakyat ketika ini.

Thursday, August 11, 2016

UMNO Terengganu - Kenapa Menteri Besar Tunggu Sampai TPM Arah?


Wartawan selalunya menggunakan perkataan  diminta, dinasihat  atau dicadangkan bagi sesuatu kenyataan permintaan untuk sesuatu  pelaksanaan.

Dan apabila ia disebut DIARAHKAN (ORDERED) , ia adalah  sesuatu yang bersifat keras dan tiada tolak-ansur lagi. Dengan kata lain MESTI dilaksana atau dipatuhi.

Ia sudah diperingkat tegas dan serius dan tidak boleh berdolak-dalik lagi.
  
Jadi, apabila BERNAMA menyebut Menteri Besar Terengganu telah diarahkan supaya merapatkan semula barisan kepimpinan Umno di negeri itu, ia adalah ‘perintah’.

Arahan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman semalam ialah bertujuan memperkukuhkan kembali Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Kenapa tunggu sampai keluar arahan sedemikian untuk tindakan menyelamatkan UMNO Terengganu?

Arahan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan kerana faktor dalaman parti, BN kehilangan kuasa di Terengganu. 
  
"Kita telah ada pengalaman dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang menyebabkan hilang kuasa di Terengganu," katanya.  
  
Apakah yang tidak kena sehingga diarahkan sedemikian?

Menurut laporan BERNAMA,   Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah menemui Ahmad Razif malam kelmarin dan mengarahkannya supaya membuat perkiraan politik yang teliti.

Perkiraan politik yang teliti? Apa yang tidak teliti?

Sehingga ini Dr Ahmad Zahid tidak menyebut dengan jelas ‘apa yang tidak teliti’ itu.


Mungkinkah kerana arahan ini semalam Ahmad Razif menyataan kesediaannya berdamai dengan Ahmad Said?

Laporan Berita Harian Online, menyebut Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tiba-tiba sahaja mengaku bersedia berbincang serta mengambil satu ketetapan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

 "Saya tiada apa-apa isu dengan ADUN Kijal. Jika betul dia bersedia berdamai, saya dengan hati yang lapang dan terbuka sentiasa menghulurkan tangan ke arah perdamaian.

"Segala syarat ditetapkan akan saya penuhi asalkan tidak merugikan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di Kuala Terengganu semalam.

 Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan kesediaan Ahmad untuk berdamai, tetapi menetapkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi Ahmad Razif.

Menurut Ahmad Razif, antara syarat ditetapkan Ahmad Said  ialah melantik semula beberapa pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditamatkan kontrak.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri bersedia memenuhi syarat ditetapkan, asalkan ia tidak membeban dan menjejaskan kerajaan.

"Kita akan tengok semula punca pegawai terbabit ditamatkan kontrak. Jika disebabkan masalah integriti, kerajaan negeri tidak akan berkompromi, tetapi jika pegawai GLC terbabit ditamatkan atas sebab lain, kita akan pertimbangkan," katanya.

Hakikatnya banyak lagi perkara yang disebut oleh Ahmad Said yang selama ini dibiarkan ‘tergantung’ oleh Ahmad Razif yang bukan lagi rahsia kepada rakyat negeri ini.


Berdasarkan kepada kenyataan Dr Ahmad Zahid itu, apakah ini bermakna sebelum ini perkiraan politik yang dilakukan oleh Menteri Besar itu ‘mengikut rasa’, tidak cermat dan ‘kurang teliti’?

Kenyataan keras Dr Ahmad Zahid ini menyerlahkan betapa Ahmad Razif tidak teliti dalam pengurusan dan tindakan yang diambil dalam pentabiran dan keputusan berkaitan UMNO Terengganu.
    
"Dalam perkiraan matematik politik, satu ditolak, kita boleh hilang kesemuanya dan saya telah arah beliau (Ahmad Razif) membuat perkiraan politik secara teliti.

Juga beliau perlu merapatkan kembali saf kepimpinan," kata Timbalan Perdana Menteri itu kepada pemberita di Bali semalam.

Walaupun agak jauh dari bumi Terengganu, dan ketika dalam lawatannya di luar negara, Timbalan Perdana Menteri terpaksa membuat kenyataan sedemikian yang menunjukkan kebimbangan beliau terhadap suasana  politik Terengganu.

Pasti ada yang tidak kena dengan apa yang dibuat oleh Ahmad Razif sehingga Dr Ahmad Zaid menunjukkan rasa tidak puas hati beliau yang sebegitu sekali.
    
Krisis politik di Terengganu dikatakan tegang apabila bekas menteri besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Seri Ahmad Said bakal dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana bertindak berlawanan dengan kerajaan pimpinan BN termasuk mengusul undi tidak percaya kepada menteri besar. 
   
Kedudukan kerajaan negeri itu menjadi goyah jika Ahmad Said dikenakan tindakan pecat daripada Umno memandangkan BN memiliki 17 kerusi dalam dewan undangan negeri Terengganu manakala Pas 14 dan PKR satu kerusi.    


Menurut Timbalan Perdana Menteri, semua pihak harus melihat kepentingan jemaah adalah lebih daripada kepentingan peribadi.
  
Beliau juga yakin Ahmad Said mempunyai jiwa yang besar untuk menyelamatkan Umno di negeri itu.

Dengan arahan ini diharapkan percanggahan pendapat serta  konflik antara Ahmad Razif dan Ahmad Said segera selesai.

Demi UMNO, kedua-dua pemimpin sepatutnya menghulurkan tangan untuk berdamai dan mengalahlah di mana tempat yang antara mereka perlu mengalah.

Friday, June 3, 2016

Kesetiaan Pengundi UMNO Bakal Pecah Di Kuala Kangsar?


Skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion, perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar dan calon bukan pilihan semua menjadi antara faktor yang akan menguji kesetiaan pengundi tegar UMNO dalam PRK Parlimen itu pada 18 Jun depan.

Bekas naib ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai segmen pengundi yang setia kepada parti masing-masing, sama ada UMNO atau PAS, terutama di kawasan luar bandar.

“Namun tidak mustahil kesetiaan pengundi UMNO akan pecah atas pelbagai sebab. Misalnya isu 1MDB dan RM2.6 bilion membuatkan ahli UMNO sendiri marah, walaupun ada yang tidak menunjukkan kemarahan mereka.

“Begitu juga faktor calon yang tidak dipersetujui semua, selain perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar akibat perbalahan sesama sendiri,” katanya dalam wawancara bersama FMT semalam.

Kamilia yang juga bekas ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar berkata isu 1MDB dan RM2.6 bilion juga mungkin mampu menyebabkan pengundi luar yang biasanya tidak mengundi dalam PRK – yang cenderung menyokong pembangkang, pulang untuk menunjukkan suara mereka.

Bekas senator yang 30 tahun menjadi ahli UMNO itu dipecat pada 2013, selepas mengambil tindakan nekad bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar pada PRU13 sebagai tanda protes kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Sementara itu, Kamilia menyambut baik spekulasi yang menyatakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir mungkin ‘menaja’ bekas ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman yang dipecat tahun lalu untuk turut bertanding sebagai calon bebas.

Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan penentangan Mahathir terhadap Najib sudah bersifat terlalu peribadi.

“Saya percaya apa yang beliau lakukan adalah perjuangan. Ramai orang lupa kalimah ‘perjuangan’ ini. Untuk mewujudkan negara yang lebih bersih, tidak rasuah dan berpegang kepada prinsip kenegaraan yang tulen.

“Saya pun rasa mahu bertanding kalau ada pasukan yang bagus. Ini (menentang kepimpinan Najib) adalah perjuangan yang bagus. Saya sudah lama dalam politik, dan perjuangan tidak pernah mati,” katanya.

Seorang lagi pemimpin UMNO Syed Rosli Syed Harman Jamalullail juga dikatakan akan menjadi calon bebas.

Namun setakat ini hanya UMNO, PAS dan Pakatan Harapan yang mengesahkan akan bertanding di Kuala Kangsar.

Friday, September 25, 2015

MCA Dah Makin Kurang Ajar Dalam Isu Melayu


Orang Melayu UMNO sekarang tak boleh cakap isu Melayu?

Jika mereka mengetengahkan isu Melayu ia dianggap retorik dan untuk kepentingan politik semata-mata?

Siapa bagi arahan ini?

Jawapannya ialah MCA, sekutu UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Sejak bila? Dah bermula pun tapi lebih spesifik, pada Perhimpunan Agong UMNO Disember ini.

Menurut laporan, ahli Umno diingatkan supaya tidak mengetengahkan isu perkauman secara retorik untuk kepentingan politik pada perhimpunan tahunan parti itu, Disember ini.

Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata, peringatan itu bagi mengelak keharmonian kaum di negara musnah.

Katanya, ia juga bagi memastikan Perlembagaan Persekutuan diingkari apabila kebebasan bersuara disalah guna.

"Pada Perhimpunan Agung Umno, rakyat bimbang jika sekali lagi perwakilan akan membuat kenyataan bersifat perkauman," katanya menerusi kenyataan hari ini (25 September 2015).

Beliau berkata, kepimpinan Umno sama ada di peringkat Pusat atau bahagian perlu memastikan tiada perwakilan yang  bersifat ekstrem serta menggugat keharmonian masyarakat.

"Sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) terbesar, Umno bertanggungjawab untuk memastikan ia seiring dengan semangat BN untuk melindungi semua kumpulan etnik seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sebarang keruntuhan dalam hubungan etnik termasuk tindakan mencemar semangat BN dan Perlembagaan perlu dikutuk," katanya.

Kata Kim Sen lagi, jurucakap himpunan baju merah pada 16 September yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos telah mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memperuntukkan 50 peratus gerai di Jalan Petaling untuk peniaga Melayu, selain mengugut untuk merusuh jika tiada sebarang tindakan diambil berhubung perkara itu.

"Malangnya, ahli Umno tidak dengan serta merta menegur atau mengambil langkah untuk meyakinkan rakyat," katanya.

Itu sahajakah isu yang dijadikan rujukan oleh MCA? Amat cetek kerana ramai pemimpin UMNO dan ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan tindakan Jamal itu.

Lagipun Jamal kini bersendirian selepas polis, DBKL dan beberapa pihak lain menuntut beliau jangan buat pasal.

Wednesday, January 15, 2014

Lupakan Pergeseran, Fokus PRU14 - Noh Omar

Noh bersalaman dengan ahlli Umno yang hadir pada pada Malam Tautan Kasih Umno Bahagian Sabak Bernam di Dewan Tun Abdul Razak Sabak Bernam. 
Semua ahli dan pemimpin Umno diingatkan supaya melupakan segala pergeseran yang berlaku semasa pemilihan peringkat cawangan dan bahagian, sebaliknya diminta terus fokus dalam menghadapi PRU14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, janganlah hanya kecewa tidak dipilih, mereka terus merajuk dan tidak mahu bersama-sama Umno untuk memperjuangkan warisan dan amanah yang ditinggalkan pemimpin terdahulu.

Menurutnya, pergeseran antara ahli Umno perlu dirawat semula agar tidak menjadi ‘barah’, sekiranya mereka ingin melihat BN menguasai semula kepimpinan di negeri ini.

“Marilah bersama kami, lupakanlah apa yang berlaku dan lihat ke hadapan kerana saya yakin dengan adanya gandingan muka lama dan baharu, Selangor akan menjadi kubu kuat Umno dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Tautan Kasih Umno Bahagian Sabak Bernam di Dewan Tun Abdul Razak Sabak Bernam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Adun Sungai Air Tawar, Kamarul Zaki Abdul Malik; Ketua Pemuda Umno Bahagian Sabak Bernam; Rizam Ismail dan Ketua Puteri Umno Bahagian Sabak Bernam, Noor Farhana Alham.

Justeru beliau berkata, ahli Umno diminta supaya mengambil contoh kekuatan lidi penyapu untuk memperteguh perpaduan bagi memastikan mereka terus diterima rakyat tanpa sebarang perpecahan yang merosakkan masa depan parti.

“Jika lidi penyapu itu banyak ia amat sukar untuk dipatahkan tetapi jika lidi itu sebatang, ia mudah dipatahkan, begitu juga semangat yang perlu diterap semua ahli Umno agar terus mengutamakan semangat kesetiaan dan perpaduan,” katanya.

Noh berkata, jika Umno terus bersatu-padu, beliau yakin dan percaya Selangor akan menarik sokongan rakyat bagi menghadapi PRU14 sekali gus merampas negeri itu di tangan Pakatan Rakyat (PR). 

“Alhamdulillah, banyak yang dibuat oleh pemimpin Umno Selangor dahulu kerana ketika itu kita cukup kuat, pelbagai kemajuan yang dibuat, benar kata pepatah kalau perjuangan kita hari ini tidak dapat diwariskan kepada pewaris yang memahami perjuangan kita, perjuangan kita menjadi sia-sia,” katanya.

Justeru, katanya, Umno memerlukan kuasa politik bagi memastikan perjuangan menegakkan agama dan bangsa terus dipertahankan berbanding apa yang dilakukan PR dalam isu dan hak agama Islam mengikut perlembagaan persekutuan.

“Umno perlukan kuasa politik kerana kita hendak memajukan agama Islam di negara kita, berbeza mereka (PR) yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan agama semata-mata politik,” katanya.

Thursday, September 29, 2011

Sebutan Semula Kes Saman Umno Terhadap PAS Pada November

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes saman bernilai RM10 juta yang difailkan oleh Umno Selangor terhadap tiga pemimpin tertinggi Pas atas dakwaan memfitnah parti itu dalam artikel berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU).

Timbalan Pendaftar, Sara Zuriati Zaharifudin menetapkan tarikh itu kelmarin, dan peguam Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Umno memberitahu, semua defendan yang dinamakan dalam saman terbabit diarahkan untuk memfailkan pembelaan sebelum tarikh tersebut.

Pada 14 September lalu, Umno Selangor yang diwakili oleh Setiausaha Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed memfailkan saman tersebut dengan menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali selaku defendan pertama kerana mendakwa beliau telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah parti itu di dalam akhbar Harakah.

Mohd Zin selaku plaintif turut menamakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Muhammad Sabu sebagai defendan diikuti pencetak, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd yang merupakan pencetak akhbar milik PAS, Harakah.

Selain itu, turut dinamakan sebagai defendan ialah penyunting Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan akhbar terbabit, Khairul Azlam Mohamad yang bertanggungjawab menulis berita bertajuk 'PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi JAIS' yang disiarkan dalam edisi bertarikh 19 hingga 21 Ogos lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Mustafa telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah wadah dan perjuangan politik plaintif semasa ditemuramah oleh Khairul Azlam pada 15 Ogos lalu dengan mengetahui bahawa kenyataan itu akan disiarkan di dalam Harakah.

Dakwa plaintif, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa Umno memainkan peranan penting dalam serbuan tersebut dan seolah-olah 'mengawal pentadbiran' JAIS yang merupakan agensi kerajaan di bawah kawalan Kerajaan Negeri Selangor.

Seterusnya, plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh defendan pertama juga membawa maksud Umno mengamalkan dasar politik yang kotor dan sempit serta boleh mengarah-arahkan mana-mana agensi kerajaan, pegawai atau agensi untuk membuat sesuatu tindakan atau keputusan atas arahan pihak luar dan membelakangkan undang-undang dan peraturan agensi terbabit.

Plaintif juga mendakwa, kenyataan itu boleh membawa maksud bahawa plaintif telah terlibat dalam rasuah salah guna kuasa, tidak boleh dipercayai, dalang dalam mencetuskan ketegangan antara Islam dengan bukan Islam serta JAIS adalah kuda tunggangan plaintif dalam mencapai objektif tersebut.

Oleh itu, plaintif mendakwa penerbitan kata-kata fitnah tersebut telah menyebabkan merosakkan reputasi mereka dan membawa kehinaan dan keaiban yang akan berlangsung selama bertahun-tahun kerana penerbitan dan pengedaran Harakah yang meluas.

Dakwa plaintif lagi, defendan pertama juga tidak mengendahkan dan mengabaikan surat plaintif bertarikh 25 Ogos lalu yang menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat dan pampasan sebanyak RM10 juta kepada plaintif.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM10 juta daripada setiap defendan termasuk ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan, faedah pada kadar 4 peratus setahun yang mula dibayar dari tarikh keputusan sehingga pembayaran penuh serta perintah injunksi bagi menghalang defendan pertama atau ejennya untuk meneruskan kenyataan fitnah tersebut,

Plaintif juga menuntut defendan pertama untuk menerbitkan permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar dan majalah dalam istilah yang ditetapkan oleh plaintif serta defendan dimohon untuk menjelaskan kos mahkamah.

Sementara itu, Hafarizam ketika ditemui memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 28 September ini sebagai pengurusan saman tersebut.

Pada 3 Ogos lalu, JAIS membuat serbuan ke atas gereja terbabit selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam yang menghadiri majlis yang diadakan di situ.

Media juga melaporkan, serbuan yang diadakan pada pukul 9 malam turut mendapati seseorang sedang berucap dengan menyelitkan perkataan al-Quran dan terdapat percubaan untuk memurtadkan umat Islam.

Friday, August 19, 2011

Tuduhan Umno Di Belakang Pemeriksaan JAIS Ke Atas Gereja Tak Masuk Akal

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan tuduhanpembangkang bahawa pemeriksaan Jabatan Agama Islam (JAIS) terhadapGereja Methodis Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini didalangi olehUmno sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

Presiden Umno berkata, adalah tidak berasas sekiranya Umno dikaitkan dengan insiden berkenaan kerana JAIS terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor yang ditadbir pembangkang.

"Ini semua tuduhan, macam mana kita nak arahkan orang yang bukan di bawah Umno. JAIS di bawah siapa?

"Takkan Umno boleh arahkan orang bukan Umno buat ini, ini tak masuk akal...susahlah kalau buat tuduhan tak masuk akal, tuduhan melulu..." katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MajlisTertinggi (MT) Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa beliau mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan bahawa Umno merupakan dalang di sebalik tindakan JAIS melakukan pemeriksaan terhadapDUMC pada 3 Ogos lalu.

Sementara itu Najib berkata, pendirian Umno berhubung isu berkenaan adalah jelas selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi sementara agama lain bebas diamalkan.

"Ini adalah soal negeri dan bukan kerajaan Pusat, ia perlu diselesaikan di peringkat negeri.
"Bagi Umno sendiri, ia selaras dengan Perlembagaan, Islam adalah agamaPersekutuan dan tidak ada sesiapa yang boleh menodai kesuciannya.

"Ini termasuk untuk cuba memesongkan akidah rakyat Malaysia yang beragama Islam," ujarnya lagi.

MStar

Tuesday, October 26, 2010

MIMPI-MIMPI KE PUTRAJAYAM MOTIVASI UNTUK UMNO

Oleh Zulkefli Hamzah (Utusan Malaysia)
Saban tahun setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, isu berpuak-puak sehingga mengelabui semangat dan kerja berpasukan disentuh oleh para perwakilan.

Tanpa jemu dan ragu pula, kepimpinan terus mengingatkan pentingnya mengukuhkan semangat persaudaraan.

Begitu juga setiap kali berakhir perhimpunan, para perwakilan akan memperbaharui tekad dan ikrar mereka untuk bersama-sama dalam satu pasukan UMNO bagi memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

Hal berkaitan pentingnya ahli UMNO berfikir dan bertindak sebagai satu pasukan bukanlah perkara baru. Ia bukan elemen baru UMNO. Ia adalah asas perjuangan yang memungkinkan parti itu terus berkuasa dan menunjangi pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Tetapi setiap kali itu juga, asas perjuangan parti dan semangat perhimpunan agung ini gagal memotivasi segelintir perwakilan.

Malangnya perwakilan itu adalah orang yang sama memegang jawatan penting di bahagian dan cawangan sehingga ia terus menjadi kudis kepada parti.

Lebih buruk, ia telah menjadi punca kegagalan memenangi pilihan raya. Tanyalah kepada mereka yang kalah atau menang tipis pada Pilihan Raya Umum 2008 mahupun pilihan raya kecil selepas itu.

Tiada semangat berpasukan sehingga kepada perbuatan sabotaj menjadi antara puncanya.

Mungkin atas alasan itu, pada perhimpunan kali ini, soal menjaga maruah dan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri serta bertindak bukan dalam kumpulan tetapi pasukan diangkat oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai antara tujuh elemen utama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Mementingkan pasukan dalam satu semangat mempertahankan Putrajaya - cawangan menghormati bahagian, bahagian mengutamakan negeri dan negeri mementingkan pusat - akan memungkinkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) melenyapkan mimpi-mimpi pakatan pembangkang.

Dalam keadaan BN yang umumnya belum terarah dan sempurna fokusnya, tidak boleh lagi ada kaki hantuk, ‘batu ronson’ mahupun tukang mandi dalam UMNO.

Jauhkan pula si kaki merajuk yang mengharapkan sokongan apabila dicalon tetapi sebaliknya membuat onar apabila orang lain dipilih.

Dalam keadaan pakatan pembangkang yang obses memburu kuasa, berhiruk-pikuk melempar dusta, sesama UMNO tidak harus bercakaran. Sesama UMNO tidak perlu ada perseteruan dek masalah dalaman.

Orang boleh berkata pembangkang tidak kuat. Mereka boleh menilai parti pembangkang caca marba. Benar, parti tiga kaki ini berbeza ideologi dan haluan yang tidak stabil kedudukannya. Ya, terlalu banyak kepincangan dalam perkongsian kuasa mereka.

Boleh dilihat buktinya di Selangor, Pulau Pinang dan dulunya di Perak. Jika dinilai perilaku-perilaku buruk di negeri-negeri ini, sukar sekali dibayangkan apabila kuasa Putrajaya nanti di tangan mereka.

Justeru, UMNO tidak boleh membiarkan penyakit rakus kuasa dan kepentingan diri yang subur dalam pakatan pembangkang ini turut melekat di tubuh UMNO dan BN. Bagaimana rakyat mahu dibela, bagaimana rakyat mahu diutamakan jika parti tidak kukuh, malah sesama pemimpin saling bercakaran berebut kekuasaan.

Waktunya semakin suntuk. Beberapa bulan lagi, penentuan kuasa Putrajaya akan dikembalikan kepada rakyat.

Jadikan obses pembangkang ke Putrajaya dan caca-marba mereka sebagai motivasi untuk memperbaiki komitmen parti sebagai organisasi yang sentiasa mendahulukan rakyat.

Tujuh elemen yang disebutkan oleh Najib semasa menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden, ekonomi serta pendidikan dan agama berkait rapat dengan sikap ahli UMNO sendiri.

Ia disebut oleh Najib kerana diakui budaya pentingkan diri sendiri dan puak masih wujud dalam tubuh UMNO. Di cawangan mahupun bahagian tertentu, budaya seperti itu - dia orang ini dan itu - masih tebal.

Amalan menyisihkan ‘bukan orang saya’ masih menjadi strategi untuk memastikan kuasa tetap di tangan mahupun sebagai usaha merebut kekuasaan.

Amat malang, inti demokrasi yang bersandarkan suara ramai sering pula disaluti dengan taktik kotor ini. Taktik yang nantinya akan menjadikan mereka sebagai calon, dan akhirnya memegang kuasa.

Mungkin sebab itu, dalam pelan transformasi UMNO yang telah bermula tahun lalu, individu yang boleh menang pilihan raya menjadi elemen penting dalam pemilihan calon pilihan raya. Ke depan, mahu tidak mahu keputusan yang dibuat oleh pusat, bahagian mahupun cawangan akan terarah kepada pemimpin yang boleh menang bagi mempertahankan Putrajaya.

Belajarlah daripada kekecamukan pakatan pembangkang yang gagal dalam misi gelap 16 September. Ambillah iktibar kekusutan dalam kerajaan negeri yang mereka pimpin.

Tetapi janganlah sesekali memandang rendah keupayaan mereka. Misi menamatkan kekuasaan UMNO dan BN terus berkobar di hati mereka. Jangan lagi beri ruang seperti yang pernah diberikan pada pilihan raya umum 2008. Sikap berpuak dalam UMNO adalah kelebihan pembangkang.

Jika tujuh elemen itu terus dibudayakan dengan rakyat sentiasa diutamakan, misi pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya pastinya akan hanya tinggal mimpi. Dalam situasi sekarang, misi membudayakan semula asas perjuangan UMNO itu tidaklah sesukar daripada misi pembangkang untuk menawan Putrajaya. Maka, berubahlah sebelum terlambat.