Mengikut tradisi
Mongolia, upacara dan pengebumian perlu diadakan dalam tempoh 49 hari selepas
ada kematian.
Namun bagi keluarga Dr Setev Shaariibuu, bapa kepada Altantuya Shaariibuu, ketika dibunuh berusia
28 tahun, terus bersedih dengan pembunuhan anak perempuannya itu.
Berikutan itu, mereka belum mengadakan pengebumiannya
sejak 10 tahun lalu.
Seorang peguam Malaysia membantu keluarga itu menerima
"kotak kecil" mengandungi cebisan tulang dibakar di tempat pembakaran
mayat di sana yang dihantar oleh kerajaan Malaysia ke kedutaan Mongolia di
Thailand.
Bekas abu itu mulanya ditempatkan di sebuah kuil di
sebuah tanah perkuburan selama tujuh tahun sehinggalah mereka tidak mampu lagi
untuk membayar kos penyimpanannya dan membawanya pulang.
Mereka telah menjual apartmen untuk membayar kos guaman,
tambang penerbangan dan tempat penginapan yang diperlukan apabila Setev ke
Malaysia untuk cuba memastikan keadilan ditegakkan.
Bekas polis elit - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal
Sirul Azhar Umar - disabitkan bersalah kerana pembunuhan Altantuya di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.
Sirul...lari ke Australia |
Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua cucu mereka menyaman kerajaan, penganalisis
politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang turut disabitkan bersalah
membunuh Altantuya, sebanyak RM100 juta.
Mereka mendakwa wujudnya konspirasi dalam pembunuhan
model dari Mongolia itu.
Tuntutan saman pada 2007 itu tertangguh kerana
perbicaraan kes berlangsung di Mahkamah Tinggi yang kemudiannya dibawa ke
Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sirul dan Azilah kemudian berjaya membatalkan sabitan itu
di Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013.
Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan
hukuman gantung sampai mati terhadap mereka kerana membunuh model sambilan itu.
Ketetapan tersebut dicapai hasil keputusan sebulat suara
panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria selepas
membenarkan rayuan pendakwa raya.
Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan
pada 2013 yang membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan keputusan Mahkamah
Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati setelah mereka didapati bersalah
pada 9 April 2009.
Mahkamah tertinggi negara menyampaikan keputusan tersebut
tanpa kehadiran Sirul, 44, walaupun kedua-dua didakwa bersama-sama membunuh
Altantuya yang merupakan seorang penterjemah Mongolia.
Selesai keputusan dibaca dalam tempoh kira-kira 40 minit,
panel itu memaklumkan bahawa waran tangkap dan perintah komital dikeluarkan
terhadap Sirul ekoran ketidakhadirannya ke mahkamah.
Pada ketika Sirul lari meninggalkan Malaysia, Razak yang
pada awalnya didakwa kerana bersubahat membunuh Altantuya, dibebaskan di akhir
kes pendakwaan. Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat
dibuktikan.
Setev...mencari keadilan untuk anaknya secara berterusan. |
Hasrat Setev sebagai bapa untuk mendapatkan keadilan bagi
anaknya berterusan.
Kini bagai ada cahaya di hujung terowong apabila salinan
pindaan terhadap penyata tuntutan itu berjaya diserahkan kepada pembunuh model
Mongolia itu yang kini berada di pusat tahanan Australia.
Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili keluarga Altantuya berkata, proses penyerahan itu akhirnya dapat dilakukan selepas penghantar
saman menyerahkan salinan penyata tuntutan kepada Sirul Azhar Umar di Pusat
tahanan Imigresen Villawood di Sydney, baru-baru ini.
Sirul ditahan di Villawood selepas ditangkap pihak
berkuasa Australia yang mendapat permakluman polis antarabangsa (Interpol).
Dia telah terbang ke negara kanggaru itu sebelum kesnya
yang dibawa ke Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkaitan kesnya.
Sirul dan Azilah didapati bersalah dan disabitkan hukuman
mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 1 Januari 2015 atas pembunuhan Altantuya
pada Oktober 2006 di Puncak Alam, Selangor.
Pindaan kenyataan tuntutan yang diserahkan itu dibuat
selepas sabitan kes pada Sirul dan Azilah.
“Saya kini menunggu makluman rasmi daripada penghantar
saman Australia. Selepas itu saya akan maklumkan kepada mahkamah pada tarikh
pengurusan kes minggu depan,” katanya.
Pengurusan kes itu ditetapkan pada Rabu, 26 Oktober
depan, di hadapan hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.
Razak Baginda...kini bebas |
Ramkarpal berkata Sirul diberi tempoh 14 hari dari tarikh
penerimaan dokumen itu untuk membalasnya sama ada mahu mencabar atau tidak
pindaan terhadap tuntutan itu.
“Secara asasnya, kami hanya mahu memasukkan yang sabitan
terhadap Sirul dan Azilah Hadri disahkan oleh Mahkamah Persekutuan tahun lalu,”
katanya.
Katanya, beliau berharap perbicaraan boleh dijalankan
pada pertengahan kedua tahun depan.
Ramkarpal berkata Azilah yang kini di penjara Kajang juga
diserahkan salinan tuntutan itu tetapi beliau atau peguamnya masih belum
menjawab.
Sebelum ini, syarikat guaman itu dilapor menyerahkan
dokumen termaterai kepada Wisma Putra untuk dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi
Malaysia di Australia, sebagai sebahagian daripada proses mahkamah.
Bulan lalu, Ram Karpal berkata mereka mengupah penghantar saman kerana tiada jawapan berkaitan perkara itu daripada pegawai di Kementerian Luar Negara.