“Komunisme bermula daripada permulaan ateisme”, demikian
fahaman yang diterapkan oleh Parti Komunis China (CPC).
Apa itu ateisme? Kepercayaan tiada atau menolak kewujudan Tuhan. Kepada Islam ateisme itu menolak kewujudan Allah!
Banyak hairannya apabila UMNO, parti Melayu yang
dikatakan memperjuangkan Islam boleh berdamping rapat serta bertahaluf dengan CPC.
Sedangkan CPC sendiri memberi amaran kepada ahlinya tidak
“berdoa kepada Tuhan dan menyembah Buddha”.
Apakah pemimpin UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan
sedar mengenai tindak-tanduk pemimpin atasan mereka berbaik-baik dengan CPC
yang menentang Islam?
Lagipun komunisme adalah tentang ateisme, dan kepercayaan kepada agama dianggap karut yang menjadi punca pemimpin korup mengalami kejatuhan.
Malah disebutkan juga pemimpin yang diturunkan pangkat
atau dipecat oleh CPC kerana rasuah adalah mereka yang menyertai “aktiviti
karut feudal.
Apakah UMNO rapat dengan CPC kerana kepentingan lain,
termasuk hubungan ekonomi dengan sanggup membelakangkan tegahan agama?
Begini terdesak sekalikah pemimpin UMNO sehingga sanggup
berbgiat demikian hingga sanggup ‘menggadaikan perjuangan menegakkan Islam’?
Atau UMNO mampu untuk berdakwah kepada CPC agar berlembut
atau kerana kepentingan hubungan budaya? Jika demikian, budaya apa yang boleh
diambil pengajaran daripada CPC?
Benar China menjamin kebebasan agama untuk agama utama
seperti Kristian, Buddha dan Islam, tetapi ahli Parti Komunis sepatutnya diseru
berfahaman ateisme dan dilarang daripada menyertai apa yang digelar sebagai
amalan karut di negara itu seperti meminta bantuan tukang tilik.
Sebuah Sebuah akhbar China yang menjadi lidah Parti
CPC yang memerintah negara itu memberi amaran kepada ahlinya tidak
“berdoa kepada Tuhan dan menyembah Buddha” kerana komunisme adalah tentang
ateisme, dan kepercayaan karut menjadi punca pemimpin korup mengalami
kejatuhan.
Apakah maknanya ini?
Nyata sekali, UMNO sudah berkawan dengan parti yang
menentang amalan beragama, termasuk Islam.
Apakah layak UMNO berbuat demikian?
Akhbar People’s Daily dalam komentarnya berkata sudah
menjadi kebiasaan dalam beberapa tahun ini, pemimpin yang diturunkan kerana
rasuah adalah mereka yang menyertai “aktiviti karut feudal”.
“Malahan, sesetengah pemimpin biasanya akan ke biara,
berdoa kepada Tuhan dan menyembah Buddha,” kata akhbar itu.
FMT yang memetik akhbar berkenaan semalam menyebut: “Sesetengah
pemimpin terlalu memikirkan untuk berbaik dengan mahaguru, mahu bersaudara
dengan mereka dan menjadi penurut dan sumber duit mereka.”
Laporan menyebut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata beliau
menghargai kerjasama rapat antara UMNO dan CPC tersebut. Kemesraan makin
menyerlah di antara dua pihak berkenaan.
Katanya, walaupun parti pemerintah China itu mengamalkan sistem
satu parti, namun ia bukan bermakna tiada demokrasi dalam pentadbiran mereka
dan penghalang untuk kedua-dua negara bertukar pandangan.
“Lihatlah China hari ini
apabila menjadi antara negara yang memiliki sistem jaringan pengangkutan
tercanggih, komunikasi terkini, industri dalaman yang berkembang dan dalam masa
yang sama masih mampu mengekalkan budaya dan tradisi mereka sendiri,” katanya.
Hakikatnya, kerjasama antara kerajaan Malaysia dan negara China
adalah perkara biasa tetapi kerjasama di antara UMNO dan CPC, adalah perkara yang berbeza dan bukan
kebiasaan.
Tetapi jika tahaluf diadakan
antara UMNO dan CPC, ia janggal dan membimbangkan.
Penduduk China terutama pemimpin negara, diketahui mempunyai
tradisi lama untuk meletakkan kepercayaan mereka dalam tilikan dan ramalan
untuk mencari jawapan dalam masa keraguan, terdesak dan celaru.
Namun, amalan itu berdepan ancaman apabila Presiden Xi
Jinping yang memerintah pada akhir 2012 mengenakan tindakan keras ke atas
rasuah yang sudah lama berakar umbi, di mana ramai pemimpin kanan dipenjara
waktu itu.
People’s Daily menyebut contoh Li Chuncheng, bekas
timbalan ketua parti di Sichuan yang dipenjara 13 tahun pada 2015 kerana rasuah
dan salah guna kuasa, dan menurut akhbar itu, beliau adalah seorang penggemar
amalan Fengshui dan tilikan Cina tradisional.
Seorang pemimpin lebih muda di wilayah selatan negara
iaitu Jiangxi, memakai tangkal untuk menghalau nasib malang, menurut akhbar
itu.
“Sebagai seorang pemimpin, jika kamu habiskan masa
memikirkan perkara yang tidak jujur, kamu pasti akan jatuh akhirnya,” kata
akhbar itu.
Pengasas China moden, Mao Zedong, melarang ramalan nasib
dan kepercayaan karut di China yang mengamalkan komunisme, tetapi kepercayaan
demikian mula kembali sejak negara itu menerima perubahan ekonomi dan mula
lebih terbuka pada akhir 1970an.
Dalam salah satu kes terbaru yang terkenal, bekas ketua
keselamatan China Zhou Yongkang dipenjara seumur hidup disebabkan tuduhan
mengatakan beliau membocorkan rahsia negara yang tidak diketahui kepada seorang
tukang tilik dan bomoh bernama Cao Yongzheng, yang terkenal sebagai “pendeta
Xinjiang” sempena nama tempat beliau dibesarkan.
Akhbar People’s Daily berkata pemimpin mestilah ingat
kata-kata Marx, “Komunisme bermula daripada permulaan ateisme”.
“Kepercayaan karut adalah pencemaran pemikiran dan
mengebaskan kerohanian yang tidak boleh dipandang lekeh dan mestilah diusir
sehabisnya,” tambah akhbar itu.
Rugi besarkah UMNO jika tidak berkawan rapat dengan CPC?