Tuesday, June 27, 2017

Isu DoJ: Surat Terbuka Kepada Abdul Hadi Hadi Awang


Oleh Ulya Aqamah Husamudin
(Ketua Penerangan ARMADA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia)

Surat ini adalah respons kepada surat terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan di laman Facebook rasmi beliau.

Pada dasarnya saya setuju bahawa campur tangan asing tidak diperlukan dalam mengendalikan isu negara. Namun begitu, isu 1MDB tidak boleh dipukul sama rata seperti kes-kes yang lain.

Ini kerana skandal 1MDB telah melibatkan banyak negara termasuklah Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Tindakan badan undang-undang Amerika Syarikat atau disebut sebagai Jabatan Kehakiman (DoJ) adalah kerana wang 1MDB telah diselewengkan di dalam negara mereka dan melanggar undang-undang mereka.

Oleh itu mereka mempunyai hak untuk bertindak dalam kerangka dan bidang kuasa mereka kerana kesalahan telah dilakukan dalam tanah Amerika Syarikat.

Ini bukan isu campur tangan. Ini isu hak Amerika Syarikat mengambil tindakan dalam negara demi memastikan kemungkaran tidak merebak di dalam negara mereka.

Tindakan undang-undang juga telah dilaksanakan ke atas individu-individu yang terlibat dengan penyelewengan wang 1MDB di Switzerland dan Singapura.

Jelas negara-negara ini tidak berkompromi dengan penyelewengan.

Sepatutnya Malaysia sebagai negara Islam mengambil tindakan yang sama bagi mencegah kemungkaran daripada berleluasa. Namun begitu, sewaktu kes 1MDB dibuka, peguam negara. Bagaimana keadilan hendak diangkat?

Maka, saya pohon Abdul Hadi untuk bersama rakan pembangkang yang lain untuk mendesak pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini sendiri seperti saranan Abdul Hadi.

Saya juga berharap dan bersangka baik yang kenyataan Abdul Hadi ini bukan dicetuskan kerana tuduhan blogger pro-BN Raja Petra Kamarudin yang menuduh Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin membayar DoJ untuk mengeluarkan laporan. Ini kerana perkara ini telah kami nafikan pada sidang media baru-baru ini.

Semoga Allah memberkati Abdul Hadi.

Maaf Zahir Batin, Salam permulaan Syawal.


(Disiarkan oleh FMT, 24 Jun 2017)

No comments: