Showing posts with label FGV. Show all posts
Showing posts with label FGV. Show all posts

Wednesday, June 21, 2017

Isu FGV - SPRM Panggil Isa Hari ini, 60 Sudah DiRakam Percakapan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakamkan percakapan 60 orang saksi dalam siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) setakat ini.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad berkata SPRM cuba menyelesaikan siasatan itu secepat mungkin agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan seterusnya dalam masa terdekat.

Hari ini SPRM turut memanggil bekas Pengerusi FGV Tan Sri Isa untuk direkodkan keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa Mohd Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid akan berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi ini (Rabu).

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Mohd Isa dan lembaga pengarahnya mengarahkan  Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti bermula 6 Jun lalu.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti adalah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan itu, SPRM juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat senaraian awam itu.

Pada 19 Jun, Mohd Isa meletakkan jawatan. Beliau 'berhenti daripada pelantikannya sebagai pengarah yang dilantik kerajaan untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab peribadinya.

Sementara itu, Dzulkifli juga menegaskan bahawa siasatan badan bebas itu tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dilakukan oleh kerajaan mahupun FGV berhubung penstrukturan semula syarikat berkenaan.


"Siasatan SPRM bebas daripada arrangement (percaturan) kerajaan dan FGV. Kita tidak terikat. Siasatan dibuat mengikut bukti yang ada kerana kita bukan hanya menyiasat tentang Delima Oil Products (anak syarikat FGV) tetapi ada enam isu lain," katanya.

Dzulkifli berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Wisma Sri Pahang di Kuantan, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, semua exco kerajaan negeri dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.


Pada Selasa FGV mengumumkan pengunduran Tan Sri Isa Samad selaku Pengerusi syarikat berkuat kuasa serta-merta dan jawatan itu kini dipangku oleh Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Wednesday, June 14, 2017

FGV - PPBM, NGO Minta Isa Letak Jawatan, ANAK Sokong SPRM Siasat


Memorandum mendesak Tan Sri Mohd Isa Samad melepaskan jawatan Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) dibuat semalam oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pertubuhan Peneroka Rakyat Malaysia (Peneroka).

Memorandum bersama itu bertujuan mendesak Mohd Isa meletakkan jawatan serta merta tanpa perlu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika Mohf Isa gagal berbuat demikian, Bersatu dan Peneroka akan menyerahkan satu lagi memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mendesak beliau memecat Isa.

"Kerugian FGV sebanyak  RM13.4bilion sejak 2012 itu sudah cukup untuk Tan Sri Mohd Isa mengundurkan diri kerana gagal menguruskan FGV dan Felda dengan baik," ujar kenyataan bersama itu.

Penyerahan memprandum itu bersaksikan kehadiran lebih kurang 30 penyokong kedua pihak berkumpul di hadapan bangunan  Menara  Felda  jam 1 tengah hari semalam.

PPBM diwakili Pengerusi Task Force Felda Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil dan Presiden Peneroka Junaidy Jamaluddin yang menyerahkan memorandum itu kepada Pengarah Urusan Bahagian Komunikasi FGV Ariff Ahmad Yeop di perkarangan Menara  Felda.

Wan Mohd Shahrir berkata, Pengerusi FGV itu harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam kemelut membabitkan kerugian FGV dan anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd bukannya mengambil keputusan mengarahkan empat pegawai kanan pengurusan bercuti.


Sementara itu, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mengalu-alukan dan menyokong penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemelut FGV.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, SPRM perlu menyiasat sejauh mana kebenaran isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan beberapa tokoh penting Felda dan FGV serta anak-anak syarikat yang tular di media sosial.

"Jika terbukti mana-mana individu didapati ada asas kepada perilaku rasuah, heret mereka ke muka pengadilan, tanpa mengira latar belakang dan kedudukan mereka.

"Tanpa prejudis, Mohd  Isa, Pengerusi FGV paling banyak dikaitkan dengan dakwaan rasuah yang tular di media sosial," tegasnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memberitahu Mohd Isa dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad antara mungkin dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kemelut FGV.

Kedua-duanya antara lebih 50 individu yang telah dikenal pasti untuk dipanggil ekoran krisis FGV yang menyaksikan empat pengurusan kanan syarikat dipaksa bercuti berkuatkuasa serta-merta, 6 Jun lalu.

Siasatan awal FGV mendapati wujud unsur salah laku dan tidak mengikut prosedur berkaitan isu tunggakan bayaran syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products (DOP).

ANAK, ujar Mazlan, menegaskan kembali gesaan supaya Audit Pengurusan dan Suruhanjaya Bebas dibentuk bagi mengenal pasti punca 'kehilangan' berbilion wang Felda.

"Ia boleh membantu SPRM dan sekali gus memulihkan keyakinan masyarakat Felda terhadap Felda dan FGV. ANAK mencadangkan agar tokoh-tokoh seperti bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Pengerusi Felda, Tan Raja Alias dapat dilibatkan sama.

"ANAK mengharapkan pelantikan Datuk Sri Idris Jala sebagai 'orang tengah' mewakili kabinet tidak mengganggu usaha dan siasatan SPRM. Anak yakin sepertimana pepatah melayu, sepandai pandai tupai melompat, akhirnya, jatuh ke tanah jua," tegas Mazlan lagi.

Sebagai rekod pada 6 Jun lalu, empat pengurus kanannya termasuk Zakaria bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah laku urus niaga syarikat.

Selain Zakaria, tiga lagi individu terlibat ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Abd Karim.

Pada keesokannya Zakaria tampil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV dan beliau memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products.

Pada 8 Jun Idris Jala dilantik oleh kerajaan untuk membantu FGV bagi mencari penyelesaian berhubung isu arahan bercuti kepada empat pengurusan kanannya.

Pada 9 Jun sepasukan 25 pegawai SPRM menyerbu bangunan Felda dan mengambil masa selama lapan jam menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di pejabat Zakaria yang berada di tingkat 45 bangunan Menara Felda di Ampang.


SPRM juga akan memanggil beberapa saksi termasuk pengurusan tertinggi FGV bagi melengkapkan siasatan berkaitan kemelut agensi itu.