Showing posts with label Kit Siang. Show all posts
Showing posts with label Kit Siang. Show all posts

Saturday, June 17, 2017

Baca Dahulu 10 Perenggan Maut DoJ Sebelum 'Bebaskan Najib'...


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang belum habis membaca keseluruhan 251 muka surat pemfailan mahkamah terbaru oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berhubung dengan skandal 1MDB.

Walau bagaimanapun, setakat ini beliau telah menemui "10 perenggan maut" dan tertanya-tanya sama ada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membaca keseluruhannya sebelum mengisytiharkan tiada apa perkara baru dalam dokumen berkenaan.

"Saya merujuk kepada perenggan 339-348 di bawah tajuk '$681 juta dipindahkan dari akaun Tanore ke akaun milik Malaysian Official 1,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin DAP itu berkata perenggan berkenaan secara langsung mengaitkan wang RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dengan 1MDB tetapi digambarkan sebagai derma dari keluarga diraja Arab Saudi.

Lim juga membetulkan kenyataan Apandi berhubung rasal kesal peguam negara itu terhadap sindiran DoJ terhadap Perdana Menteri.


Apandi semalam membidas DoJ atas "sindiran" terhadap perdana menteri dalam saman sivil pelucuthakan terbaru yang difailkannya minggu ini.

"Kami ingin menyuarakan keprihatinan yang amat sangat terhadap sindiran salah laku jenayah terhadap perdana menteri.

"Tidak ada langsung dalam saman sivil itu perdana menteri dinamakan sebagai defendan atau telah didakwa melakukan sebarang salah laku jenayah," kata Apandi dalam satu kenyataan semalam.

Apandi bertegas bahawa pihak berkuasa Malaysia mendapati tiada salah laku berkaitan dengan 1MDB seperti yang didakwa dalam saman pelucuthakan itu.

Menurut beliau, pihaknya mengambil perhatian bahawa tidak ada bukti dari sebarang penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan bahawa wang telah disalahgunakan dari 1MDB, dan bahawa tidak ada sebarang tuduhan jenayah terhadap mana-mana individu berhubung dakwaan penyelewengan dana dari 1MDB.

"1MDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan telah menjadi subjek beberapa siasatan dalam Malaysia, termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Selepas semakan, kami mendapati bahawa tidak ada jenayah  dilakukan.

"Pada masa ini masih terdapat penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai 1MDB," kata Apandi.

Peguam Negara menyatakan "kekecewaan bahawa sekali lagi Jabatan Peguam Negara tidak diberitahu atau dimaklumkan oleh DOJ berhubung tindakan itu."
  


Lim menegaskan, maklumat DoJ itu menyatakan perdana menteri berbohong mengenai wang RM2.6 bilion yang heboh diperkatakan sebelum ini.

"Untuk maklumat Apandi, DoJ bukan menyindir tetapi secara terbuka dan langsung, kerajaan kerajaan AS berkata perdana menteri telah berbohong apabila mendakwa wang RM2.6 bilion itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi," katanya.

"Saya belum selesai membaca semua 251 muka surat saman kleptocratik DOJ itu yang bertujuan untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion berkaitan 1MDB, tetapi saya boleh berkata, bahawa Apandi pastinya salah ketika beliau mengatakan bahawa tiada apa yang baru dalam saman itu.

"Selain daripada maklumat yang menggiurkan tentang apa yang dilakukan oleh Jho Low dengan AS$ 620 juta yang sepatutnya dikembalikan Najib kepada penderma Arab Saudi itu, Apandi harus menyoal sama ada Najib boleh terus menjadi pebagai perdana menteri jika beliau tidak mencabar sepuluh perenggan maut dalam saman itu," katanya.

Najib berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menggulingkannya.

Pada Januari tahun lalu, Apandi membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Juga menarik, pada pemfailan kali ini, DoJ tidak lagi menggunakan rujukan “Putera Saudi” dalam saman sivil pelucuthakan 1MDB terbarunya, berbanding pemfailan tahun lalu.


Sebaliknya, pemilik akaun Bank Riyad itu dirujuk sebagai “Saudi Associate 1” dan “Saudi Associate 2”, yang dinyatakan sebagai seorang warganegara Saudi yang bersekutu, hartawan Low Taek Jho dan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Akaun Saudi itu didakwa digunakan untuk memindahkan dana daripada 1MDB kepada Malaysian Official 1 – pegawai kanan kerajaan Malaysia yang dikatakan Najib sendiri.

Najib sudah berulang kali menafikan sebarang salah laku.

Pemfailan terkini itu dibuat pada 7 Jun untuk mendapatkan pelucuthakan sivil sebuah emper di London yang sepatutnya diperoleh Low menggunakan dana 1MDB.

Ini susulan beberapa siri saman pelucuthakan sivil serupa difailkan pada Julai tahun lepas, untuk merampas hak harta intelek filem The Wolf of Wall Street, sebuah pesawat, lukisan-lukisan dan harta tanah yang didakwa DOJ kononnya diperoleh secara salah.

Dalam pemfailan mahkamah DOJ itu dibuat pada 20 Julai 2016, pemegang akaun di Bank Riyad itu dirujuk sebagai seorang putera Saudi yang bersama mengasaskan PetroSaudi International bersama ketua pegawai eksekutif (CEO).

Laporan media sebelum ini menamakan Putera Turki Abdullah Abdel Aziz dan bekas pegawai bank Tarek Obaid sebagai pengasas bersama PetroSaudi. Tarek kini menjadi CEO PetroSaudi.

DOJ mendakwa akaun bank itu digunakan untuk memindahkan AS$20 juta kepada akaun AmBank Malaysian Official 1 pada 2011 dan AS$681 juta lagi pada Mac 2013.

Setakat ini, masih tidak jelas siapa Saudi Associates 1 dan Saudi Associates 2 dan kenapa perubahan itu dibuat serta sama salah seorang daripada pemilik kod nama itu masih merujuk kepada putera Saudi itu.

Sementara itu, pemfailan terbaru DOJ juga menyebut lukisan Claude Monet yang lain berbanding pemfailannya pada 2016.

DOJ kini mahu merampas lukisan cat minyak atas kanvas bertajuk “Nympheas” yang bersaiz 88.5 × 100 sentimeter, berbanding “Nympheas avec Reflets de Hautes Herbes” bersaiz 130 × 200 sentimeter yang disebut sebelum ini.


Perubahan itu susulan laporan Wall Street Journal.

Sumber - Malaysiakini

Tuesday, February 28, 2017

Beza Pas Versi Nik Aziz Berbanding Hadi Daripada Kacamata Kit Siang


Sepanjang tempoh 48 jam lalu, kita diperlihatkan dengan satu lagi aspek perbezaan ketara antara PAS versi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan PAS versi Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Suatu sandiwara penyebaran berita palsu dan fitnah telah berlangsung dalam penyampaian memorandum kononnya oleh akar umbi PAS kepada Ketua Penerangan PAS, Nasarudin Hassan yang meminta Jawatankuasa Pusat PAS supaya memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang mempunyai pertalian dengan DAP dan AMANAH, diiringi beberapa poster menyerang pimpinan Pakatan Harapan dan Bersatu.

Banner yang mahal dan berwarna-warni, menyerang pemimpin Pakatan Harapan dan Bersatu – termasuk satu yang memaparkan wajah saya dan menyerang saya sebagai ‘Musuh Melayu/Islan (Rasis)’ – dipamerkan di luar Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur bagi menyampaikan rasa tidak suka dan benci yang bersangatan terhadap pimpinan DAP, AMANAH dan Bersatu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan saya sendiri.

Ini adalah sesuatu yang tidak akan terjadi dalam PAS versi Nik Aziz, kerana tidak akan ada Ketua Penerangan PAS yang akan berani mengatur dan menjalankan aksi politik nakal sedemikian, kerana PAStinya akan mengundang kemarahan Nik Aziz.

Tetapi Nik Aziz sudah tiada dan apa yang ada hari ini ialah PAS versi Abdul Hadi.

Nik Aziz tidak akan merelakan sebarang muslihat atau pengkhianatan politik, terutamanya oleh pemimpin PAS.

Jika DAP dan pemimpin DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam, kenapa PAS menganggotai Pakatan Rakyat sepanjang 2008 ke 2013 dan mendapat sokongan majoriti undi popular pada PRU13 dan hampir menghalau UMNO/BN keluar dari Putrajaya?

Sekiranya sistem pilihan raya adalah benar-benar adil dan demokratik; daripada membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri?

Kalau DAP dan pemimpin DAP anti-Melayu dan anti-Islam, adakah Nik Aziz akan menziarahi bekas Pengerusi Kebangsaan DAP, mendiang Karpal Singh, di kediamannya di Pulau Pinang semasa perayaan Thaipusam pada Januari 2013, di mana hari jadi Nik Aziz yang ke-82 turut disambut dengan kek ‘Pakatan Rakyat’?

Kenapa begitu banyak sekali perubahan terhadap PAS setelah kematian Nik Aziz pada Februari 2015?


Sekiranya Nik Aziz masih hidup, saya tidak fikir PAS akan teragak-agak untuk menyertai pergerakan patriotik parti-parti politik dan NGO untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah kleptokrasi global dan menuju nasib sebuah negara gagal.

Malah, sekiranya Nik Aziz masih hidup, PAS akan berada di barisan paling hadapan mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam skandal kleptokratik pengubahan wang berbilion dolar 1MDB, berbanding melihat Presiden PAS semakin selesa dengan Presiden UMNO.

Walaupun sandiwara 48 jam lalu didakwa berpunca dari akar umbi PAS Selangor yang menyerahkan memorandum kepada pimpinan PAS bagi memutuskan hubungan dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Serangan terhadap DAP, AMANAH dan Bersatu adalah suatu deklarasi perang oleh kepimpinan PAS terhadap DAP, Pakatan Harapan dan Bersatu.

Walaupun sandiwara serangan kepimpinan PAS terhadap DAP, AMANAH dan Bersatu itu cuba dialas, kononnya berpunca dari akar umbi PAS Selangor, senario sebenar adalah sangat berbeza.

Hakikatnya, akar umbi PAS Selangor sudah sangat tidak berpuas hati dan bergolak ekoran pendirian garis keras PAS versi Abdul Hadi yang selesa bersama UMNO.

Ini menjelaskan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS minggu lalu bahawa kalau pun Jawatankuasa Pusat PAS dan Majlis Syura memutuskan untuk berpisah dengan PKR, Exco-exco PAS di Selangor, anggota GLC, ahli majlis dan ketua kampung tidak akan meletakkan jawatan sehinggalah keputusan dibuat dalam Muktamar PAS pada bulan April nanti.

PAS Selangor berkemungkinan tewas kesemua 15 kerusi Dun yang dimenanginya dalam PRU13 pada PRU akan datang, memandangkan para pengundi Islam dan bukan-Islam kecewa dengan hala tuju baru PAS.

Saya percaya Nik Aziz tidak akan mempunyai masalah menyokong kenyataan dan aspirasi saya bahawa rakyat Malaysia tidak boleh bersifat anti-Melayu, atau anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan atau anti-Iban atau anti mana-mana agama, lantas mengkhianati aspirasi Malaysia yang menyifatkan setiap warga Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah, kelas, gender atau usia sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Tetapi Abdul Hadi sangat berbeza dan saya akan sangat terkejut sekiranya beliau mampu menyokong kenyataan dan aspirasi tersebut secara terbuka.


Lim Kit Siang ialah Ahli Parlimen Gelang Patah dan bekas Setiausaha Agung DAP (27 Februari 2017)