Segala-galanya dijangka ditentukan pada akhir Julai depan.
Pada 22 Jun lalu ada laporan mengatakan Putrajaya
cuba membatalkan saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu
yang dibunuh 2 anggota polis.
Kenapa kerajaan mahu membatalkannya? Dan kenapa
dibuat selepas lebih 10 tahun kes ini berlegar di mahkamah Malaysia?
Persoalan juga, kenapa Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya masih tidak diekstradisi ke Malaysia, sehingga kini?
Malah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut digesa mengesahkan jika
kerajaan bercadang mengekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.
Perkara ini disifatkan menjadi kepentingan
awam dan memerlukan perhatian segera kerana sudah dua tahun sejak Sirul
didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan.
Berkaitan hasrat Putrajaya membatalkan sama itu, di pihak keluarga Altantuya, mereka menyifatkan permohonan
kerajaan itu sebagai melampau, remeh dan menyusahkan.
Ini kerana bagi mereka kerajaan Malaysia turut bertanggungjawab
kerana ia adalah majikan kepada polis terbabit.
Menurut peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal
Singh, liabiliti defendan hanya boleh ditentukan selepas perbicaraan penuh, di
mana bukti akan diserahkan.
Ramkarpal berkata, kerajaan akan membalas
afidavit Shaariibuu dan kedua-dua pihak akan terus memfailkan penghujahan
bertulis.
“Hakim Mahkamah Tinggi (Ahmad Nasfy Yasin)
dijangka membuat keputusannya pada 26 Julai ini,” katanya.
Kerajaan dikatakan memfailkan permohonan itu
pada Mac lalu atas alasan saman itu tidak mendedahkan tindakan betul terhadap
mereka.
Kerajaan yang merupakan defendan ke-4 dalam
afidavitnya berkata, plaintif gagal menyatakan ia bertanggungjawab terhadap
tindakan anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Peguam bagi pihak keluarga Altantuya, Ramkarpal
Singh berkata bapa Altantuya (Shaariibuu Setev) memfailkan 1 afidavit untuk
membantah permohonan itu pada minggu lalu.
Shaariibuu berkata, saman yang mula difailkan
pada 6 Jun 2007 mempunyai asas dan merit.
“Selain kuasa tindakan dalam tort, saman itu
juga terdiri daripada tuntutan tanggungan dan ganti rugi oleh semua defendan,”
katanya dalam afidavit yang dilihat FMT.
Shaariibuu bersama isterinya, Altantsetseg
Sanjaa dan dua cucu menyaman kerajaan,
penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang disabitkan
kesalahan membunuh.
Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam
pembunuhan Altantuya.
Perbicaraan saman itu ditangguhkan sementara
menunggu penyelesaian kes pembunuhan berkenaan di Mahkamah Tinggi. Selain itu,
ada rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sirul dan Azilah disabitkan bersalah oleh
Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya yang dikatakan ialah
penterjemah dan model.
Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di
Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada awal 2015
mengembalikan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-duanya.
Sirul tidak muncul untuk mendengar keputusan
akhir itu dan kemudiannya dia didapati sudah meninggalkan Malaysia. Mahkamah
Persekutuan kemudiannya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Razak yang merupakan kekasih Altantuya, dituduh
bersubahat dalam pembunuhan itu dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak
dapat dibuktikan dan kerajaan bagaimanapun tidak membuat rayuan, tindakan yang
mengundang kritikan awam.
Ramkarpal berkata, Sirul yang kini ditahan di
sebuah pusat tahanan Australia dan Azilah pula menunggu hukuman mati di Penjara
Kajang, tidak mencabar saman itu.
Katanya, peguam mereka sudah menarik diri
daripada saman sivil itu, manakala Razak melantik peguam untuk mencabar saman
berkenaan.
No comments:
Post a Comment