Friday, October 6, 2017

Boy Iman Direman Lagi, Penipuan Semakin Hangat


Mahkamah Majistret di Muar membenarkan tahanan reman selama dua hari bermula semalam (Khamis) terhadap Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Nor'iza Mohamad di Kompleks Mahkamah Muar di Muar Khamis.

Sebelum ini, pelakon berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Boy Iman, direman di Ampang selama dua hari bermula Selasa lalu (3 Oktober) kemudiannya ditahan semula petang semalam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar (IPD).

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di perkarangan mahkamah pada 9 pagi diiringi anggota polis.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah laporan terhadap kes tersebut  bertambah daripada 188 kepada 201 berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources (SJKGR).

Katanya, pihak polis akan akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Selasa, polis juga menahan dua suspek berusia 29 dan 45 tahun dan merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, sebuah kereta BMW E92, tiga unit telefon bimbit, sijil ijazah doktor falsafah (PhD) dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties dan Juta Kelulut.

Pada 3 Oktober lalu, Astro Awani melaporkan, seorang pelakon dan usahawan berpangkat Datuk dan dua lagi rakannya ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan berkaitan penipuan jualan rumah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelakon itu yang juga Pengarah Urusan syarikat perumahan dan dua lagi suspek utama iaitu pemilik sebuah lagi syarikat perumahan ditahan petang semalam.

“Pihak kami telah menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan oleh dua syarikat berkenaan melibatkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.2 juta.

“Syarikat ini menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

“Bagaimanapun, setelah bayaran dilunaskan, pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Hasil pemeriksaan polis di Wisma DBI turut merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, BMW E92, tiga unit telefon bimbit, sjilij doktor falsafah daripada Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties.

Turut dirampas barangan daripada dua suspek utama iaitu dua unit telefon bimbit dan pelbagai dokumen dari kedua-dua syarikat tersebut.

Kesemua suspek kini direman dua hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah Acryl, sindiket penipuan kini semakin bijak memanipulasi kehendak serta keperluan masyarakat untuk mewujudkan pelbagai skim bagi menarik perhatian mangsa.

Justeru orang ramai diingatkan agar menyemak dengan terperinci skim yang berbeza daripada kebiasaan yang ditawarkan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

No comments: