Wednesday, June 21, 2017

Isu FGV - SPRM Panggil Isa Hari ini, 60 Sudah DiRakam Percakapan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakamkan percakapan 60 orang saksi dalam siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) setakat ini.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad berkata SPRM cuba menyelesaikan siasatan itu secepat mungkin agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan seterusnya dalam masa terdekat.

Hari ini SPRM turut memanggil bekas Pengerusi FGV Tan Sri Isa untuk direkodkan keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa Mohd Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid akan berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi ini (Rabu).

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Mohd Isa dan lembaga pengarahnya mengarahkan  Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti bermula 6 Jun lalu.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti adalah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan itu, SPRM juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat senaraian awam itu.

Pada 19 Jun, Mohd Isa meletakkan jawatan. Beliau 'berhenti daripada pelantikannya sebagai pengarah yang dilantik kerajaan untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab peribadinya.

Sementara itu, Dzulkifli juga menegaskan bahawa siasatan badan bebas itu tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dilakukan oleh kerajaan mahupun FGV berhubung penstrukturan semula syarikat berkenaan.


"Siasatan SPRM bebas daripada arrangement (percaturan) kerajaan dan FGV. Kita tidak terikat. Siasatan dibuat mengikut bukti yang ada kerana kita bukan hanya menyiasat tentang Delima Oil Products (anak syarikat FGV) tetapi ada enam isu lain," katanya.

Dzulkifli berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Wisma Sri Pahang di Kuantan, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, semua exco kerajaan negeri dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.


Pada Selasa FGV mengumumkan pengunduran Tan Sri Isa Samad selaku Pengerusi syarikat berkuat kuasa serta-merta dan jawatan itu kini dipangku oleh Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

No comments: