Sunday, August 15, 2010

SELANGOR PERLU TUBUH SEMULA 'BLUE TEAM'

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, semalam berkata kerajaan negeri Selangor perlu menubuhkan pasukan penguatkuasa khas bagi membanteras kecurian pasir jika ia serius ingin menghapuskan kegiatan itu.

Dr Khir berkata, semasa beliau menjadi Menteri Besar dahulu sepasukan 40 penguatkuasa yang dikenali sebagai "Blue Team" telah ditubuhkan bagi memerangi kegiatan kecurian pasir di Selangor tetapi pasukan itu telah dibubarkan oleh kerajaan negeri sekarang.

Beliau juga menafikan dakwaan EXCO Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, bahawa pasukan Blue Team ditubuhkan di zaman Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi Menteri Besar dan telah dibubarkan apabila beliau menjadi Menteri Besar.

"Pembubaran Blue Team ini baru setahun, iaitu di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di Kuala Selangor.

Beliau mendakwa dengan pembubaran pasukan penguatkuasa ini, maka kurang pemantauan mengenai kegiatan mencuri pasir ini di peringkat bawah kerana anak syarikat kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd hanya menguruskan perniagaan pasir dan tidak mempunyai kuasa untuk membendung kegiatan mencuri pasir.

Dr Khir berkata, kalau kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk membanteras kegiatan mencuri pasir, ia perlu menubuhkan satu pasukan penguatkuasaan baru yang dikendalikan oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Beliau juga berkata, kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah perlu digerakkan untuk mengawal selia kawasan lombong pasir sah milik Kumpulan Semesta bagi memastikan tiada pasir yang diangkut keluar dari lombong itu di luar waktu operasi iaitu dari pukul lima pagi hingga tujuh malam atau pukul lapan pagi hingga enam petang.

Dr Khir berkata beliau khuatir jika perlombongan pasir haram atau yang tidak terkawal berleluasa akan mencemarkan sungai dan mempercepatkan krisis bekalan air di Lembah Klang.

Ditanya mengenai pandangan Pengarah Eksekutif Kumpulan Semesta, Ir Ramli Abdul Majed, bahawa lubang bekas lombong boleh digunakan sebagai kolam simpanan air, beliau berkata kajian Kumpulan Darul Ehsan Bhd sebelum ini menyatakan 80 peratus lombong di Selangor airnya tidak boleh diminum kerana dicemari oleh bahan kimia atau arsenik.

Pada 15 Julai lalu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar kiri) , berkata kerajaan Pusat dilihat enggan memberi kerjasama membanteras beberapa kes curi pasir di Selangor walaupun kerajaan negeri telahpun menyerah maklumat berwajib sehari sebelum itu.

Beliau berkata demikian ekoran melihat kengganan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima surat maklum balas daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Dah terima surat tentang siapa curi pasir, kroni pemimpin Umno bahagian mana yang terbabit, kenapa Muhyiddin dan Hishammuddin tak terima dan diam," soal beliau pagi di lobi Parlimen.

Difahamkan, Khalid turut menyerah surat maklum balas yang sama kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar supaya membanteras sendikit curi pasir itu.

Katanya lagi, kerajaan Pusat sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama membanteras sindiket mencuri pasir memandangkan pihak berkuasa di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Beliau yang juga AJK Pemuda PAS Pusat turut menasihatkan Dr.Khir supaya tidak melindungi pihak terbabit memandangkan aktiviti curi pasir dilihat mula giat sejak beliau menjadi Menteri Besar.

"Jangan setakat fitnah itu dan ini, dia (Mohamad Khir) kena dedah sindiket itu sekiranya dia masih ingat," beliau menambah.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat tidak terkeliru dengan dakyah-dakyah Umno yang mahu merampas kerajaan negeri daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Pada 14 Julai,Menteri Besar mengaku bahawa pengurusan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. masih lemah walaupun syarikat itu adalah syarikat berkaitan kerajaan negeri itu.

Ini kerana, beliau di DUN Selangor berkata, kerajaan negeri kurang mendapat kerjasama daripada pihak penguatkuasaan berwajib yang nyata di bawah bidang kuasa pusat.

Namun, Muhyiddin pada satu kenyataan media yang lain mengetepikan alasan Khalid itu dengan mendakwa bahawa kerajaan Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat tidak mampu menguruskan isu pasir sebagaimana era Umno BN memerintah negeri.

Pun begitu, Mohamad Khir sendiri sehingga kini difahamkan masih belum menyatakan kesediaan untuk mendedahkan sindiket curi pasir yang berlaku ketika beliau menjadi Menteri Besar dulu.

No comments: