Friday, February 11, 2011

RAKYAT PERLU TOLAK KERAJAAN PKR SELANGOR KERANA BELA PENDERHAKA

Penunjuk perasaan desak Shuhaimi letak jawatan eskoran episod penderhakaannya.

Ada dua perkara penting yang perlu rakyat Selangor fikir masak-masak.

Pertama, demi seorang individu, Kerajaan Selangor sanggup biayai kos perundangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Tindakan kerajaan Selangor itu amat pelik bin ajiab kerana Shuhaimi bukan penjawat awam tetapi orang politik.

Langkah itu bukan sahaja pelik kerana memilih Shuhaimi yang ‘menderhaka’ kepada Sultan Selangor tetapi dengan membiayai kos perundangan, ia adalah penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Yap Pian Hon berkata kelmarin, ini kerana membiayai kos perundangan Shuhaimi yang kini menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana dakwaan menghasut, bukanlah satu urusan rasmi kerajaan negeri.

Shuhaimi sebelum ini dituduh membuat kenyataan menghasut dan juga menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui blognya.

"Sewajarnya, dana kerajaan negeri atau mana-mana dana awam tidak dibazirkan bagi tujuan seperti itu," katanya dalam satu kenyataan.

Pian Hon berkata, tindakan kerajaan pakatan pembangkang itu adalah tidak wajar dan tidak tepat untuk dilakukan dalam pengurusan sumber kewangan kerajaan negeri.

Kenapa Shuhaimi mesti dibantu? Sepatutnya menanggung sendiri kos perundangan tersebut tanpa melibatkan dana awam memandangkan perbuatannya itu dilakukan secara peribadi.

"Sekiranya ahli politik PKR itu tidak mampu mendapatkan khidmat peguam, beliau boleh memohon kepada Biro Bantuan Guaman. Dana wang kerajaan negeri tidak seharusnya digunakan bagi membiayai kos perundangan ahli politik yang membuat kenyataan peribadi seperti itu," jelas beliau.

Amatlah wajar kerajaan negeri perlu menarik balik keputusan membantu ADUN Sri Muda tersebut dan pada masa sama, memohon maaf kepada rakyat Selangor atas kesilapan berkenaan.

Perkara kedua ialah, pengumuman kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membiayai kos perundangan Shuhaimi membuktikan mereka bersubahat sekali gus merestui perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia bukan satu tuduhan sebaliknya merupakan fakta yang tidak perlu dipertikaikan. Dan sekiranya Kerajaan PKR Selangor tidak mahu dilihat bersekongkol, sudah pasti mereka membiarkan sahaja Shuhaimi menanggung kos perundangan sendiri sepanjang kesnya dibicarakan di mahkamah.

"Jika ini keputusan Kerajaan PKR Selangor, kes yang melibatkan Shuhaimi bukan berbentuk peribadi sebaliknya ia turut membabitkan kerajaan negeri. Saya bercakap atas fakta. Sekiranya tiada kepentingan kerajaan negeri tidak mungkin membiayai segala kos perundangan Shuhaimi. Ini tidak, mereka bersungguh mahu membela Shuhaimi," kata Noh.

Pada 4 Februari lalu, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memberitahu, Kerajaan PKR Selangor akan memberi sokongan penuh kepada Shuhaimi yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Bagaimanapun, langkah Selangor itu dibidas oleh beberapa pihak kerana peruntukan yang akan digunakan itu bakal membabitkan wang rakyat.

Noh sempat menceritakan pengalamannya apabila beliau disaman oleh seorang guru pada 1999. Pada masa itu beliau memegang jawatan Setiausaha Parlimen. Dalam kes itu Kerajaan Pusat tidak pula membiayai kos perbicaraannya. Ini kerana kes itu bersifat peribadi dan situasinya serupa dengan Shuhaimi.

"Segala kos perundangan pada masa itu ditanggung sepenuhnya oleh saya," kata Noh.
Berikutan itu, Noh meminta semua rakyat Selangor supaya menilai dengan bijak tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri itu.

Amat jelas kerajaan PKR Selangor menunjukkan pendiriannya (menyokong Shuhaili) dalam isu ini walaupun secara tidak rasmi.

Mereka jelas menyokong tindakan Shuhaimi yang kini berhadapan dengan dakwaan menghasut.

No comments: