Showing posts with label Sungai Besar. Show all posts
Showing posts with label Sungai Besar. Show all posts

Friday, June 17, 2016

Tidak Kurang RM7 Juta 'Dedak' DiTabur Barisan Nasional Di Sungai Besar


Tempoh dua minggu kempen PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan Barisan Nasional (BN) menabur pelbagai bentuk janji dan pemberian daripada bantuan berupa wang ringgit sehingga rumah kepada penduduk setempat sebelum hari mengundi esok.

Popular dipanggil "dedak" termasuk kerap disebut oleh Tun Mahathir, pemantauan Malaysia Dateline sepanjang kempen BN mendapati wujudnya penglibatan secara langsung menteri dan agensi kerajaan selain penggunaan bangunan dan kenderaan milik kerajaan untuk tujuan kempen parti.

Bahkan walaupun belum terpilih, calon BN, Budiman Zohdi merasmikan pembukaan Pusat Komuniti Pendidikan Budiman di Bagan Sungai Besar, Rabu lalu.


Program berkenaan yang dilihat disasarkan kepada pengundi Cina turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Chong Sin Woon.

Lebih mengejutkan, Sin Woon dilapor bahawa pihaknya mengalu-alukan pembabitan "wakil rakyat" dalam kononnya membantu meningkatkan taraf pendidikan penduduk.

Sementara itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.56 juta subsidi bagi program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) kepada 78 pemohon yang layak di seluruh kawasan Parlimen Sungai Besar.

Pengerusinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja Kepada Kontraktor Program RMR1M di Sungai Leman, Sekinchan.

Turut dihadiri pemimpin BN, Latiff dalam ucapannya di hadapan penerima RMR1M menganggap Najib Razak sebagai "satu-satunya Perdana Menteri yang kuat iltizamnya hingga kami (SPNB) diminta untuk membina sekurang-kurangnya 10,000 unit RMR1M dalam tempoh setahun."

Walaupun sudah wujud Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melancarkan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC), 11 Jun lalu.

Sekali lagi pemilihan Sungai Besar sebagai lokasi pertama di Selangor dilihat bagi mengisi tentatif kempen BN memandangkan Program Mobile CTC dilancarkan sejak tiga tahun lalu.

Pengumuman Hamzah pada majlis perasmian program himpunan pengguna bersama KPDNKK dan Mobile CTC itu turut dihadiri calon BN, Budiman dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar selain "orang kuat" Putrajaya iaitu Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah.

"Dedak" berupa janji pembinaan prasarana pula ditabur oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan meluluskan peruntukan kira-kira RM5 juta bagi kegunaan pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Mendakwa dana tersebut diluluskan sebelum pengumuman PRK Sungai Besar, Abdul Rahman yakin peruntukan itu mampu menyelesaikan masalah parit tersumbat, jalan berlubang, pokok tumbang dan lampu jalan tidak menyala.

Selain itu, kempen BN juga tidak melepaskan segmen kritikal pengundi muda yang mewakili kira-kira 40 peratus pemilih di Sungai Besar.

Lebih 1,000 peluang pekerjaan dijanjikan kepada golongan muda di parlimen itu pada Karnival Kerja Belia Negara, 11 Jun lalu.

Program anjuran Pemuda Umno dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Sesuai dengan pertanian padi yang sinonim dengan latar sosio-ekonomi Sungai Besar, ribuan pesawah juga dijanjikan durian runtuh pada minggu kempen PRK.

Pada 10 Jun lalu, dilaporkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan seramai 7,669 pesawah di Sungai Besar yang berdaftar dengan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) bakal menikmati Insentif Input Pengeluar Padi (IIPP) melebihi RM1 juta.

Sasaran kempen BN juga dilihat meliputi semua kelompok usia pengundi termasuk warga emas dengan peranan aktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilaporkan berkata, pihaknya telah mengunjungi enam rumah didiami warga emas menerusi program Homehelp.

Mereka terbabit diberikan sumbangan berupa makanan, barangan keperluan dan penjagaan diri serta pemeriksaan kesihatan.

Tidak cukup pengundi Melayu dan Cina, BN juga menyasarkan kempen kepada pengundi India yang merangkumi hanya 1.92 peratus daripada jumlah keseluruhan 42,655 pengundi.

Kali ini, melibatkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam slot kempen dipanggil Program Keusahawanan Sahabat India oleh AIM di Sekin Resort, Sekinchan, 13 Jun lalu.


Sekurang-kurangnya RM7 juta jumlah keseluruhan pojek diumumkan oleh menteri dan agensi kerajaan sepanjang kempen BN di Sungai Besar tidak termasuk angka peruntukan yang tidak dilaporkan media.

Tuesday, June 7, 2016

PRK Sungai Besar - Tiga Agenda Di Sebalik Tiga Penjuru


"Kali pertama melihat bendera oren berkibar, ia sudah boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan. Bendera oren terang memancar yang berkibar di Sungai Besar ibarat memanggil atau menjemput masyarakat setempat yang tidak pernah tahu tentang kewujudannya..."


PAS dan Amanah, kalau tidak banyak, mungkin sedikit sudah dapat mencongak siapa akan jadi juara pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Tetapi sebenarnya dalam pertandingan kali ini, siapa kalah siapa menang tidaklah begitu penting bagi dua parti ini, begitu juga dengan Barisan Nasional (BN).


Jika BN kecundang, kesannya hampir sifar, tiada apa pun yang akan berubah dalam kerajaan Persekutuan, mahu pun kerajaan Selangor.

Jika PAS tewas pun, ia bukan luar biasa kerana mengikut rekod PAS memang tidak pernah menang di kerusi tradisinya ini. Apatah lagi jika Amanah yang pertama kali bertanding ini kalah, memang tiada siapalah yang akan kata apa-apa.

Tetapi, di Sungai Besar, ketiga-tiga parti dilihat mempunyai agenda tersendiri yang bersifat parti dan peribadi sebaik sahaja gelanggang PRK dibuka. Masing-masing turun ke gelanggang dengan memandang ke arah yang lebih ‘jauh tapi dekat’, iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Namun harus diingat, jika BN menang sekali pun, kegembiraannya mungkin hanya dua hingga tiga minggu sahaja. Berlabuhnya tirai PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar, bermaksud semua kita menunggu pentas PRU-14 dibuka. Tiada lagi PRK lain selepas ini.

Tetapi, ketika berceramah, Budiman tidak lupa mengingatkan pengundi tentang pentingnya PRK kali ini kerana dalam sejarah, ia merupakan PRK yang diadakan paling hampir dan singkat jaraknya menuju ke sebuah PRU.

Andai kata-kata Budiman itu ‘masuk’ ke hati sanubari pengundi, sekurang-kurangnya, jika BN menang kali ini, mereka dapat melangkah ke arah PRU-14 dengan lebih yakin dan bersemangat selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Barangkali itulah agenda BN pada kali ini, mahu jadikan kemenangan di Sungai Besar sebagai modal kempen dan rekod baik parti untuk diceritakan kepada pengundi ketika PRU-14 kelak.

Lain pula halnya dengan PAS dan Amanah di mana Sungai Besar seolah-olah menjadi tempat mereka beradu  sama ada ‘kau atau aku lebih hebat’. Ini berlaku selepas rundingan demi rundingan dibuat dengan Pakatan Harapan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru gagal.

PAS langsung tidak mahu berundur dan beri peluang kepada Amanah atau PKR untuk menentang BN atas pendirian ‘ini kerusi tradisi kami’.

Sudahnya, mereka bertemu di tiga penjuru!

Dan, selepas bilangan penjuru dimuktamadkan dalam proses penamaan calon, barisan pimpinan kedua-dua parti ini mula mahu melupakan konflik kerusi sebelum ini dengan mengeluarkan kenyataan kononnya mereka mahu terus bergerak ke hadapan dan beri fokus untuk jatuhkan BN.

Hakikatnya ia tak ubah sebagai retorik atau ‘ayat penyedap’ sidang media sahaja kerana secara logiknya BN memang sukar untuk jatuh bila terjadinya pertembungan tiga penjuru.

Kesimpulannya, dua parti pembangkang ini lebih rela membuka laluan mudah untuk BN menang.

Apabila berlaku situasi seperti ini, jumlah undi yang terpecah inilah yang menjadi agenda dan mahu dilihat sangat oleh PAS dan Amanah.

Daripada jumlah undi yang diperolehi nanti, PAS sudah pasti akan melakukan sesuatu untuk mengukuhkan kedudukannya.

Mungkin dengan keputusan yang diumumkan nanti, mereka sedar akan hakikat bahawa PRU mendatang bakal memberikan banyak kebarangkalian dan kemungkinan, lebih kepada yang tidak baik buat mereka selepas mereka keluar daripada Pakatan Rakyat.


Kali pertama melihat bendera oren berkibar, ia sudah boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan. Bendera oren terang memancar yang berkibar di Sungai Besar ibarat memanggil atau menjemput masyarakat setempat yang tidak pernah tahu tentang kewujudannya untuk mengenali parti itu dengan lebih dekat.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa komitmen dan kejayaan ini bakal memberikan pemangkin kepada kebolehan untuk melakar sebuah naratif melawan Umno dan BN.

“Bila masa idealisme dikumpulkan dan digarap dalam gagasan Pakatan Harapan, sebenarnya agenda kita melangkaui PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semata-mata.

“Sudah tentu bila kita mengguna pakai jentera-jentera tempatan yang kita harap untuk memenangi hati pengundi sempena bulan Ramadan, niat kita bukan untuk mengasari sesiapa pun, tapi niat kita untuk mempelopori langkah menuju usaha menyelamatkan Malaysia dalam PRU-14 nanti.

“Jika kita tidak berani mengorak langkah sekarang, bila lagi?,” katanya.

Bagi Amanah, yang membawa nama Pakatan Harapan, mereka tenang-tenang sahaja!

Selalu sangat kedengaran calon BN Budiman Mohd Zohdi berkata dirinya adalah calon ‘underdog’ walaupun beliau nampak yakin dengan kelebihannya sebagai calon tempatan. Hal ini memang ketara dan semua orang nampak!

Bagi BN yang setengah pihak katakan sudah ‘tenat’, kemenangan di Sungai Besar penting bagi membuktikan kepada rakyat bahawa tanggapan itu dusta.

Dengan kemampuan mempertahankan kerusi Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, ia juga dapat membuktikan dacing yang menjadi simbol parti masih ‘berfungsi’ dengan baik.