Tempoh dua minggu kempen PRK Parlimen Sungai Besar menyaksikan Barisan Nasional (BN) menabur pelbagai bentuk janji dan pemberian daripada bantuan berupa wang ringgit sehingga rumah kepada penduduk setempat sebelum hari mengundi esok.
Popular dipanggil "dedak" termasuk kerap
disebut oleh Tun Mahathir, pemantauan Malaysia Dateline sepanjang kempen BN
mendapati wujudnya penglibatan secara langsung menteri dan agensi kerajaan
selain penggunaan bangunan dan kenderaan milik kerajaan untuk tujuan kempen
parti.
Bahkan walaupun belum terpilih, calon BN, Budiman Zohdi
merasmikan pembukaan Pusat Komuniti Pendidikan Budiman di Bagan Sungai Besar,
Rabu lalu.
Program berkenaan yang dilihat disasarkan kepada pengundi
Cina turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Chong Sin Woon.
Lebih mengejutkan, Sin Woon dilapor bahawa pihaknya
mengalu-alukan pembabitan "wakil rakyat" dalam kononnya membantu
meningkatkan taraf pendidikan penduduk.
Sementara itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)
mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.56 juta subsidi bagi program Rumah Mesra
Rakyat 1Malaysia (RMR1M) kepada 78 pemohon yang layak di seluruh kawasan
Parlimen Sungai Besar.
Pengerusinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata demikian
pada Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja Kepada Kontraktor
Program RMR1M di Sungai Leman, Sekinchan.
Turut dihadiri pemimpin BN, Latiff dalam ucapannya di
hadapan penerima RMR1M menganggap Najib Razak sebagai "satu-satunya
Perdana Menteri yang kuat iltizamnya hingga kami (SPNB) diminta untuk membina
sekurang-kurangnya 10,000 unit RMR1M dalam tempoh setahun."
Walaupun sudah wujud Pusat Transformasi Luar Bandar
(RTC), Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri
Hamzah Zainuddin melancarkan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak
(Mobile CTC), 11 Jun lalu.
Sekali lagi pemilihan Sungai Besar sebagai lokasi pertama
di Selangor dilihat bagi mengisi tentatif kempen BN memandangkan Program Mobile
CTC dilancarkan sejak tiga tahun lalu.
Pengumuman Hamzah pada majlis perasmian program himpunan
pengguna bersama KPDNKK dan Mobile CTC itu turut dihadiri calon BN, Budiman dan
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar selain "orang kuat" Putrajaya
iaitu Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah.
"Dedak" berupa janji pembinaan prasarana pula
ditabur oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
dengan meluluskan peruntukan kira-kira RM5 juta bagi kegunaan pihak Majlis
Daerah Sabak Bernam (MDSB).
Mendakwa dana tersebut diluluskan sebelum pengumuman PRK
Sungai Besar, Abdul Rahman yakin peruntukan itu mampu menyelesaikan masalah
parit tersumbat, jalan berlubang, pokok tumbang dan lampu jalan tidak menyala.
Selain itu, kempen BN juga tidak melepaskan segmen
kritikal pengundi muda yang mewakili kira-kira 40 peratus pemilih di Sungai
Besar.
Lebih 1,000 peluang pekerjaan dijanjikan kepada golongan
muda di parlimen itu pada Karnival Kerja Belia Negara, 11 Jun lalu.
Program anjuran Pemuda Umno dengan kerjasama Jabatan
Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber
Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Sesuai dengan pertanian padi yang sinonim dengan latar
sosio-ekonomi Sungai Besar, ribuan pesawah juga dijanjikan durian runtuh pada
minggu kempen PRK.
Pada 10 Jun lalu, dilaporkan Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani menyatakan seramai 7,669 pesawah di Sungai Besar yang
berdaftar dengan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) bakal menikmati Insentif
Input Pengeluar Padi (IIPP) melebihi RM1 juta.
Sasaran kempen BN juga dilihat meliputi semua kelompok
usia pengundi termasuk warga emas dengan peranan aktif Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilaporkan
berkata, pihaknya telah mengunjungi enam rumah didiami warga emas menerusi
program Homehelp.
Mereka terbabit diberikan sumbangan berupa makanan,
barangan keperluan dan penjagaan diri serta pemeriksaan kesihatan.
Tidak cukup pengundi Melayu dan Cina, BN juga menyasarkan
kempen kepada pengundi India yang merangkumi hanya 1.92 peratus daripada jumlah
keseluruhan 42,655 pengundi.
Kali ini, melibatkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam
slot kempen dipanggil Program Keusahawanan Sahabat India oleh AIM di Sekin
Resort, Sekinchan, 13 Jun lalu.
Sekurang-kurangnya RM7 juta jumlah keseluruhan pojek
diumumkan oleh menteri dan agensi kerajaan sepanjang kempen BN di Sungai Besar
tidak termasuk angka peruntukan yang tidak dilaporkan media.
No comments:
Post a Comment