Showing posts with label Azmin. Show all posts
Showing posts with label Azmin. Show all posts

Wednesday, June 22, 2016

Bantuan Khas, Kebajikan Penjawat Awam Ikut Telunjuk Najib?


“Tidak wajarlah sekadar ucapan terima kasih atas komitmen penjawat awam tanpa sebarang insentif. Maka, kita bersetuju memberikan tiga insentif termasuk bantuan kewangan aidilfitri, kenaikan gaji sebanyak dua kali bagi 2016 dan kenaikan imbuhan tetap perumahan.” 

Tahniah Selangor!

Pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelmarin (20 Jun 2016) bahawa bantuan khas sempena Aidilfitri sebanyak 1.5 bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri Selangor satu tindakan yang memang dinanti-nantikan.

Ia pasti disambut baik oleh penjawat awam negeri berkenaan.

Dan pastinya terngangga dan terloponglah  penjawat awam di negeri-negeri lain, termasuk Terengganu yang kononnya Baget Negeri selalunya melebihi RM2 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor akan membuat pembayaran mulai  1 Julai 2016.


Ituah sebaik-baiknya jika mahu menghargai bakti dan jasa penjawat awam, bukan sekadar bercakap menghargai tetapi terpaksa mematuhi jumlah seperti yang diumumkan oleh Putrajaya.

Logiknya Putrajaya ialah kerana ia terpaksa membayar kerpada jumlah yang banyak di kalangan penjawat awam.

Namun di negeri-negeri yang ‘berduit’ mereka sepatutnya melakukan yang berbeza.


Kenapa Menteri-Menteri Besar di negeri-negeri yang agak ‘berduit’ seperti Johor, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka jelas  takut untuk mengumumkan bayaran yang lebih.

Kenapa mesti ikut Putrajaya? Takut kenapa Najib melebihi melakukan kebajikan kepada penjawat awam?

Atau sudah nyata negeri-negeri di bawah kepimpinan BN kini tidak berduit?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Jun lalu  mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata bantuan khas RM250 akan turut dinikmati 743,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini dibuat pada 13 Jun lalu, melibatkan anggaran peruntukan kewangan RM1 bilion.

Jumlah itu adalah lebih kecil daripada permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus raya sebulan gaji.

Selain bantuan khas itu Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa penjawat awam akan menikmati satu kenaikan gaji tahunan (KGT) pada Julai ini yang melibatkan anggaran implikasi kewangan RM1.1 bilion.

Di Selangor pembayaran bantuan khas tersebut melibatkan seramai 17, 528 orang penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM45.6 juta.

Selain itu, bagi meringankan beban tanggungan di samping menghargai perkhidmatan penjawat awam, dua insentif lain turut diumumkan.

“Tidak wajarlah sekadar ucapan terima kasih atas komitmen penjawat awam tanpa sebarang insentif. Maka, kita bersetuju memberikan tiga insentif termasuk bantuan kewangan aidilfitri, kenaikan gaji sebanyak dua kali bagi 2016 dan kenaikan imbuhan tetap perumahan,” katanya di hadapan lebih 1,000 penjawat awam.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rapat Ramadan Bersama Perkhidmatan Awam Selangor di SUK kelmarin.

Kerajaan negeri setuju beri dua kenaikan gaji tahun ini iaitu kenaikan biasa dan kenaikan khas yang melibatkan sebanyak RM6.83 juta bagi satu kenaikan.

Bayaran imbuhan tetap perumahan bagi penjawat awam Gred 41 ke bawah sebanyak RM180 turut dinaikkan hingga RM300 melibatkan peruntukan sebanyak RM11.2 juta.

Penjawat awam yang bijak akan bertanya diri sendiri, mana lebih baik pentadbiran antara Selangor dengan negeri mereka?

Kenapa Menteri-Menteri Besar sangat penakut dengan Najib sehingga membiarkan kebajikan mereka terbiar?


Kerajaan Pulau Pinang pula mengumumkan penjawat awam negeri akan menerima bonus 3/4 bulan atau minimum RM700 yang akan diberikan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, 'Insentif Bantuan Istimewa' itu adalah sebagai mengiktiraf sumbangan penjawat awam ke arah transformasi dalam pelaksanaan dan perkhidmatan yang disampaikan melalui tugas-tugas harian mereka.

"Insentif ini akan diberikan kepada 4,178 kakitangan Perkhidmatan Awam negeri dan akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri," kata Guan Eng. Beliau berkata jumlah pembayaran bonus melibatkan jumlah RM7.95 juta.

Adalah tidak keterlaluan utuk dikatakan, jika pembangkang memerintah di negeri-negeri lain, selain Selangor, kecuali Kelantan yang memang PAS tidak mampu melakukannya, kebajikan penjawat awam dijangka akan lebih baik.

Mereka sudah membuktikannya pada ketika kerajaan negeri lain yang berduit memberi alasan masalah ekonomi dan mengikut langkah Putrajaya.

Persoalannya kalau ada duitpun, siapa berani menongkah arus Najib?

Wednesday, June 15, 2016

Azmin Sokong AMANAH, Perang Psikologi Khairy Kantoi?


"...turun berkempen hari-hari adalah cara UMNO. Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung...kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008."

"Media tanya saya, Khairy Jamaluddin tanya saya mana pergi Azmin Ali dia tak datang maknanya dia tak sokong Amanah dan Pakatan Harapan.

""Itulah mentaliti Umno. Saya tak payah pulun kerja di Sungai Besar semata-mata kerana PRK. Kita dalam kerajaan negeri sebelum ini dari 2008, atas semangat Pakatan Rakyat dan sekarang Pakatan Harapan, kita kerja sepanjang masa sama ada pilihan raya, tak ada pilihan raya kita turun kerja beri khidmat kepada rakyat.”

Itulah penegasan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab kritikan dan tuduhan mengenai ketidakhadirannya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kata Azmin, turun berkempen hari-hari adalah cara UMNO. “Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung," katanya.

Sebaliknya menurut  Azmin kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008. Pada majlis itu juga Azmin menyerahkan peruntukan bernilai RM30,000 untuk Masjid Binjai Jaya. Permohonan mendapatkan peruntukan itu dibuat sebelum musim pilihan raya kecil akan diadakan.

Kemunculan Azmin petang semalam adalah yang pertama untuknya sejak hari penamaan calon pada 5 Jun lalu.


Ketiadaan Azmin berkempen di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan sesetengah pihak termasuk PAS dan Umno mendakwa ADUN Bukit Antarabangsa itu tidak memberikan sokongan padu kepada AMANAH.

Pada 10 Jun lalu, Khairy mengemukakan tanggapanya pada satu majlis: "Menteri Besar tidak menunjukkan komitmen kepada kawasan Sungai Besar.”

Sebaliknya, Khairy berkata perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain datang ke Sungai Besar menunjukkan komitmen mereka terhadap pilihan raya kecil ini.

"Saya lihat tiap-tiap hari ada seorang menteri datang, saya rasa timbalan perdana menteri hampir setiap hari di Sungai Besar. Maka pilihan satu saja kalau kita nak pilih calon yang menunjukkan komitmen dengan kehadiran menteri, kalau kita menang akan terus menyokong rakyat Sungai Besar," katanya.

"Saya rasa selepas media melaporkan ucapan saya hari ini, esok menteri besar Selangor akan datang," kata Khairy lagi.


Berucap di Majlis Iftar Perdana Bersama Menteri Besar di Sungai Panjang di Sungai Besar semalam, Azmin berkata, beliau tidak turun berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar disebabkan perlu mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam program bersama rakyat hampir setiap malam pada bulan Ramadan.

"Sebagai menteri besar saya bertanggungjawab untuk mengiringi tuanku. Pada malam ini (semalam) tuanku di masjid Jeram. Saya bisik pada tuanku malam tadi izinkan patik turun ke Sungai Besar dan tuanku perkenankan saya turun. InsyaAllah Jumaat saya akan turun lagi, Khamis di Kuala Kangsar," katanya.

Lagipun, menurutnya, beliau sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat walaupun tanpa pilihan raya.

Bukan sekadar turun padang, Azmin turut menegaskan sokongannya terhadap calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Ab Shukur.

"Saya percaya dengan latar belakang agama, kredibiliti dan latar belakang keluarga, Ustaz Azhar akan dapat menjadi suara kita di Parlimen Sungai Besar," katanya.

Kepada calon Pas beliau turut berharap dapat terus menyembung persahabatan.

"Dr Rani, jangan sedih, kita masih rakan di Dewan Undangan Negeri, anda telah menyumbang banyak saya berdoa agar anda akan terus berjaya dan menyumbang," katanya

Selain Dr Rani, Azhar berdepan saingan daripada calon BN Budiman Mohd Zohdi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan arwah Datuk Noriah Kasnon.

Kini Azmin sudah menyatakan dengan jelas, beliau menyokong calon Pakatan Harapan dalam PRK itu selepas mengadakan perbincangan panjang lebar.

Bagaimanapun Azmin tidak mengetepikan terus lawan AMANAH dari PAS, Dr Rani Osman, yang dianggapnya seorang rakan di DUN Selangor.

"Saya doakan dia (Dr Rani) terus maju untuk sama-sama dalam satu tekad melawan kezaliman di Putrajaya," katanya. Di majlis anjuran Pakatan Harapan itu, Dr Rani turut hadir kerana beranggapan ia terbuka untuk semua.

Katanya, Dr Rani telah banyak membantu menyokong dasar-dasar kerajaan negeri sejak 2008.
Walaupun bersaing dalam pilihan raya kecil kali ini kehadiran Dr Rani disambut mesra oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.


Pilihan raya kecil Sungai Besar - dan Kuala Kangsar - akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.

Tuesday, May 24, 2016

Tuduhan Rasuah Kerajaan Selangor - Kenapa Ke PKR Bukan SPRM?


Negara dan khususnya Selangor digemparkan dengan isu kononnya terdapat amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor beberapa hari lalu.

Laporan itu dibuat berikutan pendedahan perbualan aplikasi WhatsApp Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang didakwa mendedahkan wujud permintaan "untuk mendapatkan wanita" sebagai habuan dalam urusan dengan kerajaan negeri.

Laporan ini hanya beberapa bulan selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Disember tahun lalu mengingatkan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya agar tidak menyalahgunakan kuasa sekaligus terlibat dalam kegiatan rasuah.

Titah baginda, sekiranya rasuah berlaku ia akan mendorong kepada kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan politik dan wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

“Jika tidak dibendung gejala rasuah ini dengan serius, maka akan timbul ketidakpuasan hati rakyat, yang mana ekonomi negeri akan menurun dan timbul pula kemiskinan serta berlaku politik yang tidak stabil.


“Apabila rasuah ini dibiarkan berleluasa, maka hasil negeri akan disalahgunakan dan pendapatan negeri akan lesap … justeru rakyat tidak akan berpuas hati, negeri akan menjadi kacau bilau dan rakyat tidak dapat hidup dengan selesa dan harmoni,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bersempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-70 yang disambut semalam, di Istana Alam Shah.

Menurut laporan, Rafizi dalam perbualan itu didakwa mengatakan menerima aduan bahawa selain wang yang diminta untuk urusan dengan kerajaan negeri, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan wanita.

Namun, hairan juga apabila Rafizi mahu menyerahkan bukti berlakunya rasuah kepada pemimpin tertinggi PKR, bukannya terus kepada Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM).

Apakah Rafizi melihat isu ini sebagai isu parti atau kepemimpinan dalam PKR semata-mata atau menyelamatkan pentadbiran pembangkang negeri Selangor?

Atau apakah Rafizi melihat kepentingan menyelamatkan parti PKR di Selangor lebih penting daripada mendedahkan berlakunya rasuah di negeri yang ditadbirkan oleh antara pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?

Setiausaha Agung PKR itu berkata semalam , dia akan mengemukakan bukti berhubung dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor kepada presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada mesyuarat PKR hari ini.

Rafizi berkata, setiap kes berkaitan disiplin akan dibawa kepada biro disiplin parti dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

"Saya akan menyerahkan segala bukti kepada beliau (presiden) dan kita akan menunggu perbincangan dalam parti sebelum membuat keputusan untuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen semalam.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dalam kenyataan 20 Mei lalu menafikan tuduhan salahlaku membabitkan pentadbirannya susulan pendedahan transkrip perbualan WhatsApp Rafizi itu.

Azmin menyifatkan tindakan tersebut sebagai kempen cubaan memburukkan pentadbirannya yang diusahakan oleh pihak tertentu.

“Ini merupakan satu tuduhan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti. Ia juga satu kempen fitnah yang terancang terhadap kerajaan serta kakitangan awam di Selangor.

“Dalam melaksanakan serangan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri,” kata Azmin.

Hendaknya jika benar-benar Rafizi atau yang ‘sewaktu’ dengannya mempunyai maklumat, rasuah perlu dibanteraskan.


Bukankah ini akan membawa keyakinan kepada rakyat Selangor dan Malaysia amnya bahawa partin dan pemimpin PKR tidak akan bertolak ansutr dengan rasuah?

Sunday, March 2, 2014

Amanah dan Dedikasi Senjata Khalid Lawan Azmin


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang akan menentang musuhnya, Azmin Ali bagi merebut jawatan nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei, menganggap amanah dan dedikasi dirinya sebagai kekuatan peribadi.

"Saya mempunyai rekod prestasi dalam semua bidang. Saya jujur ​​dan sangat berdedikasi. Paling penting, saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak mempunyai agenda peribadi, "kata Khalid sinis kepada Azmin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden bagi penggal kedua .

Khalid yang ditemui selepas merasmikan Karnival Silat Melayu Selangor, Senjata dan Warisan di Shah Alam hari ini berkata demikian selepas ditanya mengenai kekuatan beliau untuk menentang Azmin yang merupakan sekutu rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid yang mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan parti pada Jumaat memberitahu, beliau tidak akan membincangkan perkara itu sehingga 23 Mac iaitu tarikh pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Anwar yang merupakan penasihat parti itu akan bertanding dalam PRK Kajang bagi membuka laluannya ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Saya hanya membuat pengumuman awal tetapi tidak mahu mengganggu tugas utama parti yang sedang berkempen untuk PRK Kajang," jelasnya.

Ditanya adakah Anwar telah memberikan restu untuk mengambil alih kedudukan Azmin, Khalid berkata penasihat PKR itu memahami usaha yang dilakukan demi mengukuhkan parti.

"Sebagai rakan sekerja parti, dia menggalakkan saya untuk bekerja lebih keras bukan sahaja sebagai pentadbir tetapi juga untuk parti," kata Khalid.

Katanya, keputusan untuk bertanding dibuat atas desakan ramai ahli parti itu sendiri.

"Mereka memerlukan menteri besar yang bukan sahaja boleh mentadbir negeri tetapi juga bertindak dalam parti," luahnya.

Mengenai kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang baru-baru ini bahawa PRK Kajang berlaku kerana pertengkaran dalaman PKR, Khalid menjelaskan, pergaduhan bukan sesuatu yang pelik dalam semua parti politik.

"Jika kamu mahu memberi saya satu contoh politik yang stabil, saya fikir kita masih bernaib baik," kata Khalid sambil menambah bahawa politik Malaysia adalah lebih baik daripada keadaan politik luar yang huru-hara termasuk Thailand, eropah timur , Venezuela dan Mesir.

Mengenai isu air, Khalid mengakui bahawa memorandum persefahaman (MoU) mengenai penyusunan semula industri air negeri tidak boleh ditarik balik seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.

"Ia satu perjanjian yang mengikat kedua-dua belah pihak," katanya sambil memberitahu kerajaan negeri telah meminta perkataan 'tidak boleh ditarik balik' untuk dimasukkan ke dalam MoU itu.

Beliau berkata, selain Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga menganggap MoU itu sebagai komitmen yang perlu dipatuhi.

Muhyiddin pada Jumaat berkata MoU itu tidak boleh dibatalkan walaupun terdapat perubahan dalam kepimpinan Selangor.

Menurut Khalid, sebagai wakil rakyat Selangor, misi kerajaan negeri adalah memastikan bahawa ia diterima demi kebaikan rakyat.

Monday, January 20, 2014

Azmin Tetap Gugur - Penjelasan Khalid Semakin Mengelirukan


Isu mengenai kedudukan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali sebagai anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semakin mengelirukan apabila Menteri Besar menegaskan penguggurannya adalah kekal seperti yang diputuskan badan itu sebelum ini.

Keputusan pemecatan Azmin Ali kekal sementara menunggu siasatan lanjut berhubung perkara itu, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam masa yang sama Pengurus Besar Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif PKNS Norita Mohd Sidek dipindahkan serta merta ke pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) sepanjang siasatan dilakukan.

Menteri Besar Selangor itu berkata, siasatan itu dibuat kerana surat pemecatan Azmin yang dikeluarkan oleh Othman dibuat pada 8 Januari lalu tanpa pengetahuan beliau.

"Sementara itu kedudukan ahli lembaga pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh pengurus besar PKNS pada 8 Januari lepas untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan," katanya.

Khalid berkata, beliau telah berbincang dengan pegawai kanan kerajaan tentang perkara itu dan menyerahkan surat kuasa kepada SUK Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk melaksanakan tindakan pentadbiran.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan medianya dalam satu sidang akhbar media khas berhubung isu ini petang ini. Khalid sebelum itu bermesyuarat panjang kira-kira empat jam sehingga jam 7 petang bersama PKNS hari ini.

Azmin telah digugurkan sebagai anggota lembaga pada 8 Januari kononnya atas kehendak pengurus besar perbadanan tersebut. Namun begitu pihak media difahamkan bahawa Azmin pada Sabtu lalu telah menerima sepucuk surat daripada PKNS yang menyatakan yang kedudukannya sebagai anggota lembaga pengarah telah dikembalikan berkuatkuasa 16 Januari lalu.

Adalah difahamkan, surat satu paragraf yang dihantar kepada Azmin itu antara lain menyebut bahawa PKNS telah menerima arahan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan keputusan menguggurkannya sebagai anggota lembaga pengarah pada 8 Januari itu dan mengembalikannya ke dalam lembaga bermula 16 Januari.

Bagaimanapun, Azmin kemudiannya dimaklumkan pula yang dia tidak perlu menghadiri mesyuarat lembaga pengarah PKNS pada jam 3 petang Isnin atas arahan pejabat menteri besar.

Pada lewat petang tadi, Khalid telah memaklumkan bahawa PKNS dalam mesyuarat lembaganya membuat keputusan untuk mengekalkan arahan pengguguran Mohamed Azmin seperti yang diarahkan Pengurus Besarnya, Othman Omar pada 8 Januari lalu.

"Kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal (digugurkan) bagi mengelakkan sebarang komplikasi perundangan," katanya.

Selain itu Khalid juga berkata, kerajaan negeri turut membuat keputusan untuk menggugurkan Othman dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek daripada perbadanan itu berkuat-kuasa Isnin sehingga siasatan dalaman mengenai kontroversi ini selesai.

"Bagi melaksanakan siasatan menyeluruh adalah amat sukar jika kedua-duanya masih bertugas di PKNS. "Justeru setiausaha kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kedua-dua pegawai ini ditukarkan sementara ke ibu pejabat SUK bermula hari ini (Isnin)," ujarnya.

Tambah Khalid, antara perkara yang perlu disiasat ialah mengenai bagaimana surat pemecatan Mohamed Azmin dikeluarkan oleh Othman tanpa pengetahuannya selaku pengerusi PKNS.

Isu pengguguran Mohamed Azmin menjadi hangat apabila kerajaan negeri dan PKNS menuding jari antara satu sama lain. Abdul Khalid sebelum ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam membuat keputusan menggugurkan Mohamed Azmin dan menjelaskan perkara itu dicadangkan Othman yang mahu menamatkan khidmat Ahli Parlimen Gombak itu pada penghujung bulan ini.

Bagaimanapun kenyataan Menteri Besar itu disangkal oleh Norita yang memaklumkan kuasa melantik anggota lembaga pengarah adalah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Abdul Khalid dan bukan pengurus besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

Norita turut berkata, pengguguran Mohamed Azmin itu juga disahkan oleh MMKN pada Disember lalu.


Tetapi kemudian pada Khamis, 16 Januari, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula cuba campur tangan dengan mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa pengugguran jawatan Azmin itu adalah tidak sah dan menganggap yang Azmin masih kekal sebagai ahli lembaga pengarah PKNS.

Sementara itu, dalam reaksi segera di laman Twiternya, Azmin, timbalan presiden PKR dan ahli parlimen Gombak berkata: "#PKNS Board; Jangan buat spekulasi. Saya masih terkeluar."

Thursday, April 11, 2013

Khalid Tidak Kekal MB Selangor Akibat 'Lawan Azmin'


Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin boleh fikir untuk kemas fail dan dokumen rahsia yang dimilikinya ketika menjadi Menteri Besar. Atau memang dia dah kemas awal-awal!

Jangka hayat politiknya di Selangor kini tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Dia mungkin tidak bertanding di DUN Ijok gara-gara perbuatannya sendiri.

Apakah puncanya? Rasuah? Derhaka kepada Sultan Selangor? Pembangunan tidak seimbang? Krisis Air?

Bukan. Bukan. Bukan. Itu semua belum dibuktikan.

Abdul Khalid tidak akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor kerana melawan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Itu dosa-dosanya. Pperselisihan pendapat yang dikatakan wujud antara beliau dan Azmin yang menjadi punca segala-gala.

Jangan sesiapa menentang Azmin, akan padah politik dan jawatan mereka.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini turut membayangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin tidak akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor sekiranya pakatan PKR-DAP-PAS terus mentadbir negeri ini selepas pilihan raya umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata PKR mempunyai beberapa calon berpotensi untuk menyandang jawatan itu, selain Abdul Khalid.

"Tak kisahlah siapa yang akan menjadi MB di Selangor, asalkan dia mempunyai dasar yang baik," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Dr Wan Azizah berkata demikian apabila diminta mengulas kedudukan Abdul Khalid berikutan pengumuman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa Abdul Khalid akan hanya mempertahan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Ditanya tentang calon yang berpotensi untuk menyandang jawatan tertinggi di Selangor itu, beliau hanya berkata: "Mereka yang bertanding bagi kerusi negeri di Selangor."

Azizah turut mengakui punca Khalid akan ditamatkan riwayatnya sebagai Menteri Besar kerana 'melawan Azmin'. Fullstop!

Wednesday, May 30, 2012

Azmin Hanya Berdosa Kerana Lawan UMNO...Bukan Rasuah?


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sudah pasti menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau terlibat dalam siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit.

Siapa mahu mengaku dan bersetuju dengan dakwaan Raja Petra Kamaruddin itu?

Azmin menyifatkan pendedahan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan kes rasuah membabitkannya dihentikan pada 1995 adalah tidak berasas.

"Tidak berasas, 17 tahun dulu. Baca buku Datuk Shafee Yahaya bekas Ketua Pengarah BPR (Badan Pencegah Rasuah)," katanya menerusi akaun twitternya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap teman twitternya mengenai kes rasuah yang didedahkan Raja Petra yang berlaku 17 tahun lalu sewaktu beliau menjadi Setiausaha Sulit Anwar.

Media hari ini melaporkan Pengarang portal Malaysia Today itu mendakwa Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan BPR tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) ke atas Mohamed Azmin dan menghapuskan fail siasatan walaupun mempunyai cukup bukti untuk menahan dan mendakwanya.

Raja Petra berkata, maklumat itu diperoleh daripada seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerahkan dokumen sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi itu di London bulan lalu.

Sementara itu dalam reaksi lain terhadap seorang lagi pengguna twitter, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menggambarkan bahawa dakwaan yang turut mengaitkan beliau dan isterinya, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek adalah fitnah.

"Persetankan mereka. Nabi Musa dan Nabi Yusuf juga difitnah. Saya manusia kerdil. Pohon kekuatan dari Allah SWT," katanya. "Saya hanya insan kerdil. Dosa saya ialah saya lawan Umno," kata Mohamed Azmin dalam tweet balas kepada seorang lagi teman twitternya.

Utusan Malaysia melaporkan, Raja Petra tampil sekali lagi mendedahkan bagaimana Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak menutup kes rasuah membabitkan Azmin.

Dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995 mengarahkan pegawai kanan BPR menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki Azmin dan Shamsidar walaupun hanya bergaji RM2,442 sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.

Dakwanya, penglibatan Anwar dalam kes rasuah Ahli Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden Parti PKR itu didedahkan sendiri oleh bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut dalam satu pertemuan di London.

Katanya, satu fail sulit bertarikh 15 Mei 1995 yang diserahkan bekas pegawai kanan BPR itu kepadanya jelas menunjukkan Azmin memiliki kekayaan yang tidak seimbang berbanding pendapatannya selaku penjawat awam dan ia disokong pula dengan bukti pemilikan saham oleh Shamsidar bernilai lebih RM7 juta.

Antara kekayaan Azmin pada ketika itu dakwa Raja Petra adalah memiliki sebuah kereta mewah BMW 325i (RM160,529), Proton Perdana 2.0 SE (RM80,767), rumah banglo dua tingkat di Setapak (RM284,118), rumah berkembar di Taman Melawati (RM210,000) serta sejumlah 1,000 unit saham dalam Hicom.

Selain itu Azmin juga memiliki dua buah kereta lagi iaitu Proton Wira 1.6 Xli dan Proton Satria 1.6 Xli manakala pemeriksaan ke atas salah satu akuan bank Shamsidar mendapati terdapat kemasukan deposit cek berjumlah RM7.2 juta serta wang tunai bernilai RM708,800 dari November 1992 hingga Mei 1995.

"Tidak terkecuali siasatan BPR juga mendapati terdapat kemasukan cek dari bank-bank tempatan ke atas akuan milik Shamsidar berjumlah RM628,552 selain baki dalam akaun bank beliau yang pernah satu ketika mencecah angka lebih RM300,000," katanya sebagaimana dipetik dari portal http://www.malaysia-today.net hari ini.

Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia ke atas fail sulit yang dimuat naik Raja Petra mendapati laporan hasil siasatan Pegawai Siasatan, Cawangan Siasatan Am, Ibu Pejabat BPR menyarankan supaya tindakan tatatertib diambil ke atas Azmin kerana terbukti beliau memiliki kekayaan tidak seimbang.

"Hasil daripada siasatan yang dibuat mendapati jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh Azmin dan isterinya adalah jauh tidak seimbang terutama bagi tahun 1993 dan 1994. Hasil siasatan setakat ini juga mendapati isteri Azmin terlibat dalam pembelian saham bernilai jutaan ringgit sedangkan Shamsidar tidak bekerja.

"Memandangkan jumlah perbelanjaan yang dibuat Azmin jauh tidak seimbang, saya syaki wang dan harta dimiliki datang dari hasil perlakuan rasuah.

Saya cadangkan Azmin diambil tindakan tatatertib," lapor pegawai berkenaan tetapi BPR tidak mengarahkan sebarang tindakan lanjut diambil ke atas Azmin.

Sementara itu, dalam kenyataannya, bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab mendedahkan segala fail sulit berkenaan kepada Raja Petra pula berkata, hanya orang yang pekak, buta serta tuli sahaja yang sengaja mengatakan segala cerita tentang rasuah membabitkan Azmin hanya suatu rekaan atau konspirasi.

Di samping itu, beliau turut menegaskan, perbuatan pegawai kanan BPR mengarah siasatan ke atas Azmin dihentikan melanggar undang-undang jenayah di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan kerana beliau tiada hak untuk mengarah melainkan arahan pendakwaraya.

"Semasa siasatan dibuat gaji Azmin hanya RM2,442 sebulan tetapi mampu menjelaskan bayaran bulan rumah di Setapak sebanyak RM3,376 dan rumah di Taman Melawati sebanyak RM1,110.

Jumlah bayaran ini sahaja menunjukkan hutang Azmin melebihi gaji.

Di mana Azmin dapat wang tambahan untuk hutang ini?

"Ini belum masuk bayaran deposit yang dibuat ke atas rumah dan kereta, bayaran bulan kereta BMW berjumlah RM875 dan Proton Perdana pula RM700 sebulan. Bukankah ini sahaja sudah mencukupi untuk menunjukkan Azmin mempunyai pendapatan yang lain," katanya juga dipetik dari portal Malaysia Today.

Saturday, September 18, 2010

PKR KINI PARAH, KRITIKAL

Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini nampaknya dalam keadaan cacamarba dan parah. Kenapa penulis katakan demikian?

Sebelum ini ia dilabelkan parti kaum keluarga. Namun kini sejak wujudnya Datuk Zaid Ibrahim, parti itu terserlah semakin berpecah.
Dalam keluarga Penasihat dan Presiden PKR sendiri, perpecahan semakin jelas gara-gara pemilihan PKR November depan.

Pada ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong Azmin Ali untuk bertanding Timbalan Presiden PKR, anak Anwar, Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai) terang-terangan menyokong Zaid.

Apakah ini sendiriwara?

Penulis yakin tidak. Walaupun Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak menjelaskan sokongan, namun Wan Azizah tidak akan menyebelahi Azmin.
Semua tahu rahsia apa yang menyebabkan Azizah tidak akan menyokong Azmin.

Rosli Ismail, dalam analisisnya bertajuk “Kenapa ni Nurul?” dalam Agendadaily berkata Pelik bukan mengenangkan pendirian Nurul Izzah,Ahli Parlimen Lembah Pantai anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bab pemilihan jawatan PKR.

Tempoh hari bersungguh-sungguh kata tak memihak antara Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim yang dijangka berentap jawatan Timbalan Presiden.

Sebaliknya bila Senator Dr Syed Husein Ali secara rasmi umum undur diri dari jawatan Timbalan Presiden Rabu,beliau terus ubah nada dan ‘tunjuk belang’ sebenar.

Nurul secara terbuka istihar beliau sokong Zaid semasa sidang akhbar di Kuching Khamis sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur setelah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli PKR negeri itu.

Beliau tidak lagi berselindung dengan menilai Zaid sebagai pemimpin yang berwawasan dan PKR memerlukan pemimpin seperti ini.

Malah dalam ucapannya pada malam sebelumnya beliau mengingatkan ahli parti itu agar tidak memilih mereka yang musang berbulu ayam.

Siapa agaknya yang beliau maksudkan kerana dalam sidang akhbarnya Nurul menjelaskan beliau tidak merujuk kepada Zaid sebagai musang berkenaan?

Apakah ini bermakna Azmin adalah musang berbulu ayam. Berbulu ayam dalam konteks keluarga Anwar atau dalam konteks PKR?

Semuanya nanti akan terserlah kerana jika keluarga Anwar sendiri pun sudah tidak sehaluan, PKR kini berada dalam keadaan parah dan kritikal.

Sunday, September 5, 2010

ANWAR - RAHSIA APA YANG TERLALU BESAR

Bekas Ketua Wanita PKR negeri Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata kelmarin, Azmin Ali mempunyai 'kunci' terhadap segala rahsia utama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Aminah yang lebih dikenali sebagai Kak Min berkata’kunci’' tersebut menjadi senjata utamaK kepada Azmin untuk mendapatkan apa sahaja yang diingininya tanpa dapat dihalang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Aminah yang juga Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) sehingga ini enggan mendedahkan rahsia berkenaan Cuma berkata "Biarlah masa menentukannya."

Jika demikianlah halnya maka Azmin yang kini Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa mempunyai kuasa yang besar mempengaruhi Anwar dalam banyak perkara.

Namun Kak Min yakin rahsia utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang selama ini disimpan oleh Azmin itu akan terbongkar tidak lama lagi.

Kenapa? Menurut Kak Min, perkara seperti itu tidak mampu bertahan kerana lama-kelamaan ia akan diketahui juga oleh umum.

"Dalam masa terdekat, 'kunci' sudah boleh membukanya. Ia akan terbongkar juga apabila tiba masa nanti. Pihak tertentu sudah tahu rahsia ini, begitu juga orang PKR, biarlah nanti umum pula yang tahu," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada penyerahan sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan berbuka puasa anjuran di Pulau Pinang malam semalam.

Apakah rahsia yang cuba diungkitkan oleh Kak Min ini yang orang PKR semua sudah tahu?

Apakah dalam konteks perbuatan liwat oleh Anuar atau tuduhan Anwar mempunyai anak ‘luar nikah’ atau hubungan Anwar dengan isteri Azmin sendiri, iaitu Shamsidar Taharin?

Hakikatnya semakin lama pintu itu tidak dibuka kuncinya akan semakin banyaklah spekulasi.

Hairannya, jika sudah ramai orang PKR tahu hal ini, semestinya Senator Ezam Mohd Nor tahu hal ini.

Begitu juga pemimpin lain yang sudah meninggalkan PKR seperti Dr Chandra Muzaffar, Marina Yusof atau juga pemimpin seperti Zahid Mat Arip.

Tetapi hairannya kenapa mereka menutup mulut rapat-rapat. Masih sayangkan ‘Anwar’?

Atau kerana perkara itu terlalu peribadi dan mereka tidak sanggup memperkatakannya?

Kita menunggu bila dan apa yang ada di sebalik pintu selepas ‘kunci’ dibuka. Namun sebelum itu persoalannya, siapa yang memegang kunci itu?

Friday, September 3, 2010

TIMBALAN PRESIDEN PKR – BERANIKAH ZAID BERDEPAN AZMIN?

Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim kini menyatakan beliau bersedia bertanding untuk jawatan nombor dua dalam Parti Keadilan Rakyat.

Tetapi dengan syarat Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak berminat merebut jawatan yang sama.

Menulis dalam blognya Zaid menjelaskan walaupun beliau tidak mahukan apa-apa jawatan, beliau terpaksa membuat keputusan baru ekoran asakan demi asakan terhadapnya.

"Kalau dah kena serang bertubi-tubi, baik saja masuk gelanggang. Kata orang, kalau nak kena tempeleng biar berbaloi.

"Tapi itu pun kalau Tan Sri Khalid tak mahu jawatan tersebut," katanya dalam perenggan terakhir artikelnya berjudul 'Ibrahim Ali patut Berdialog'.

Walaupun berterus terang, Zaid cakap berlapis. Tetapi orang masih ingat apa kata Zaid sebelum ini.

Beliau pernah mengatakan tidak berminat bertanding apa-apa jawatan dalam PKR.

Namun kini beliau menukar fikiran dan kenyataan sedia bertanding akan dilihat sesuatu yang serius bagi pemilihan parti November depan.

Menurut Zaid yang pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO, Senator dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri , “Kalau dia (Khalid) mahu, saya lebih selesa memberi laluan kepada beliau kerana dia banyak pengalaman yang boleh membantu parti.”.

Ini kerana, menurut Zaid, Khalid merupakan seorang pemimpin yang tidak suka menghentam atau memburukkan orang lain, sebaliknya lebih minat bekerja.

Siapa Zaid maksudkan sebagai “pemimpin yang suka menghentam atau memburukkan orang lain dan kurang minat bekerja?”

Mudah saja. Pemimpin mana dalam PKR yang sering mengkritik atau bertelagah dengan Khalid sebelum ini?

Dan siapa pula yang dikatakan berura-ura menggantikan Khalid dalam kemelut PKR di Selangor?
Persoalannya, kenyataan Zaid ini memberi amaran kepada ahli parlimen Gombak, Azmin Ali yang turut berminat bertanding jawatan itu?

Jawatan nombor dua parti itu kini disandang Syed Husin Ali sejak PKR bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebelum ini.

Ramai melihat Syed Husin kini semakin tersisih dan peranannya tidak lagi penting berbanding ketika PKR mula bergabung dengan PRM.

Azmin dilihat berusaha menduduki tangga kedua PKR walaupun tidak diketahui sama ada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui atau sebaliknya.

Berbanding Zaid yang banyak membela Khalid (malah Anwar pun tidak memecat Khalid sebagi Menteri Besar), Azmin dilihat lebih memberikan tekanan terhadap Anwar dan Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah.

Pertandingan sama ada tiga penjuru atau dua penjuru menjadi menarik kepada pihak yang kalah dijangka akan menerima kesan besar daripada pertandingan ini.

Malah, sama ada Syed Husin kalah dalam pertandingan atau menarik diri, bekas ahli PRM akan mula merasai ‘kehangatan’ bahawa mereka bagaikan ‘polong’ yang sudah tidak bertuan.

Apakah ‘polong-polong’ ini akan mengganggu tuannya?

Pertembungan Zaid dan Azmin dilihat akan menyukarkan Anwar kerana kedua-duanya penting bagi Anwar dalam konteks peribadi dan politik.

Mungkin selepas November, PKR akan bertambah goyah jika Anwar gagal mengimbangi pertelingkahan penyokong kesan pertandingan besar itu.