Thursday, June 16, 2016

Dakwaan Raja Petra Mengenai Skandal Cukup Jijik, Kata Muhyiddin


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap dakwaan dibuat penulis blog Raja Petra Kamaruddin dalam beberapa siri entrinya sejak beberapa hari lalu sebagai berniat jahat dan tidak berasas.

Kata Muhyiddin, tuduhan berkenaan sengaja dilemparkan kepadanya semata-mata untuk merosakkan integriti dan berbaur politik yang "cukup menjijikkan".

Dalam kenyataan terbukanya hari ini anggota parlimen Pagoh itu berkata tuduhan itu lebih tidak wajar kerana dibuat pada bulan Ramadan.

"Segala tohmahan tersebut adalah fitnah jahat dan sangka buruk yang disebarkan semata-mata untuk merosakkan integriti saya serta berbaur politik yang cukup menjijikkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Sempena bulan Ramadan yang juga bulan keampunan dan kerahmatan, seharusnya orang yang membuat fitnah ini beristighfar dan berdoa semoga dihapuskan segala dosa-dosanya," kata Muhyiddin.

Sebelum ini beberapa artikel disiarkan blog Raja Petra mengaitkan Muhyiddin dengan skandal terlarang.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak memberi sebarang reaksi sehinggalah hari ini.
Kata Muhyiddin, jika Raja Petra sedar terhadap kesalahannnya penulis blog itu seharusnya memohon maaf.

Timbalan presiden Umno yang digantung tugas sejak 26 Februari lalu itu berkata, beliau percaya semua tohmahan tersebut bertujuan untuk menjejaskan reputasinya.

"Tohmahan ini bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya setelah saya tidak lagi berada di dalam kabinet dan terus lantang bersuara untuk mencari kebenaran.

"Dugaan Allah kepada saya amat besar di bulan Ramadan ini. Saya harus bertenang, bersabar dan berdoa mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan kita," katanya.


No comments: