Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts
Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts

Wednesday, May 31, 2017

Serang Muhyiddin - Akibat Tidak Puas Hati Tuntutan Peribadi Ditolak


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  Terengganu kesal dengan tindakan pihak tertentu mempersoalkan kewibawaan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan Muhyiddin dengan kepincangan yang berlaku dalam PPBM di peringkat kebangsaan dan Perak.

Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris menegaskan, pihaknya mengutuk dan menolak sebarang perbuatan mensabotaj kepimpinan serta menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan juga timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membawa parti ke arah yang lebih teguh dan cemerlang.

Beliau mendakwa, pihak yang mendatangkan suasana tidak selesa dalam parti adalah pemimpin di peringkat negeri dan bahagian tertentu yang tidak berpuas hati disebabkan tuntutan mereka bersifat peribadi tidak dilayan.

“Sewajarnya kita sebagai ahli dan pemimpin bawahan menghormati dan memahami arah dan matlamat kepimpinan atasan, bukan mengkritik secara terbuka.

Kenyataan Razali di Sinar Harian semalam.
“Sebarang pendapat atau pandangan kedua perlu dikemukakan dan dibincangkan pada mesyuarat dalaman parti, bukan mengkritik secara terbuka dan menggunakan media bagi mencari populariti diri,” katanya kepada Sinar Harian, di Kuala Terengganu.

Razali berkata sebagai mengulas mengenai Ketua Pendaftar PPBM Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar kononnya seluruh bahagian PPBM Perak membuat desakan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan ekoran kepincangan di peringkat kebangsaan dan Perak.

Azrul Suhadi juga didakwa turut menyatakan Muhyiddin tidak pernah ikhlas kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyokong dan pendokong parti.

Mengulas lanjut, Razali menolak dakwaan berhubung sikap tidak ikhlas Muhyiddin sambil menyifatkan ia bertujuan memecahbelahkan parti dengan sengaja.

Jelasnya, berdasarkan kenyataan ditunjukkan oleh 3M atau Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, ternyata ketiga-tiganya menunjukkan semangat setia kawan dan persefahaman padu dalam meningkatkan maruah dan perjuangan parti.

“Tuduhan bahawa sepanjang masa Tan Sri Muhyiddin ‘menangguk di air yang keruh’ dengan mengambil kesempatan di atas populariti Tun Mahathir bagi mencatur parti adalah pandangan cetek dan dipengaruhi akal yang sempit dan berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, dakwaan yang mengaitkan Muhyiddin mahu bersekongkol dengan PAS disifatkan tuduhan untuk memperkecilkan usaha bertujuan memenangi pilihan raya.
Sedangkan sebagai presiden parti katanya, Muhyiddin sudah tentu arif dalam membentuk formula dan hala tuju parti untuk menang pilihan raya.


“Semua pihak perlu bergerak secara berpasukan dan meletakkan nilai serta situasi menang-menang untuk kestabilan parti,” katanya.

Friday, November 11, 2016

Penyertaan PPBM Dalam Pakatan Harapan Tidak Berlaku Esok?


Harapan diletakkan begitu tinggi kepada Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam pagi esok.

Ia penting untuk membincangkan penubuhan gabungan pembangkang yang lebih besar dan kuat bagi merealisasikan pertandingan satu lawan satu untuk menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Perjanjian itu juga menyatakan pendirian mereka mengenai Perlembagaan Persekutuan, Islam, Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu, bahasa Melayu, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, perjanjian itu juga menyatakan bahawa Pakatan Harapan akan terus berunding dengan parti-parti pembangkang lain dan agenda Reformasi akan dihormati.

Pakatan Harapan yang akan menggantikan Pakatan Rakyat, yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS, secara rasmi telah berkubur pada Julai tahun lalu.


Bagaimanapun dilaporkan oleh The Star hari ini, rancangan untuk menandatangani 'perjanjian kerjasama' antara Pakatan Harapan  dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada konvensyen parti itu, mungkin tidak akan menjadi kenyataan ketika ini.

The Star melaporkan Presiden PPBM,  Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta penangguhan.

Sejauh ini tiada kenyataan daripada Muhyiddin mengenai perkara itu.

Presiden PPBM yang sebelum ini telah bersetuju untuk turut serta, dipercayai telah meminta penangguhan kerana inginkan lebih banyak masa untuk berfikir tentang kerjasama yang dirancang.

Laporan Joceline Tan yang sebelum ini menimbulkan berbagai kontroversi dan sering dipersoalkan kebenaran laporannya bagaimanapun menyebut, keputusan Muhyiddin itu akan memberi tamparan hebat kepada konvensyen Pakatan Harapan.

Ia diadakan kali pertama sejak ia ditubuhkan tahun lepas bagi menggantikan Pakatan Rakyat.


Seperti biasa, Joceline yang gemar memetik sumber mengatakan majlis menandatangani perjanjian untuk mengalu-alukan PPBM ke dalam keluarga Pakatan Harapan sepatutnya menjadi acara kemuncak konvensyen di mana Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama.

Sumber Pakatan Harapan dipetik sebagai berkata Muhyiddin mulanya bersetuju dengan rancangan itu pada mesyuarat dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan pada petang Selasa.

Bagaimanapun, sehari selepas mesyuarat itu, Muhyiddin diberitakan berucap pada satu ceramah di Sijangkang, Kuala Langat, di samping Ahli Dewan Undangan Negeri 9ADUN) Meru,  Dr Rani Osman dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dari PAS.

ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari (PKR), juga menjadi salah seorang penceramah.

Menurut The Star, keesokan harinya, Muhyiddin telah menghubungi pemimpin Pakatan Harapan bagi meminta penangguhan perjanjian kerjasama, bagaimanapun beliau menekankan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan kandungannya.

Difahamkan Muhyiddin mahukan  lebih banyak perbincangan dengan pemimpin Pakatan Harapan mengenai hubungan mereka dengan DAP dan AMANAH.

Apakah laporan Joceline melalui akhbar yang dimiliki MCA itu untuk menggambarkan bahjawa PPBM menolaj AMANAH dan DAP?

Apakah The Star berusaha membawa perkhabaran buruk bahawa PBBM tidak dapat duduk semeja dan bekerjasama antara mereka?

Apakah kerjasama sementara seperti ditunjukkan pada pilihan raya kecil dua Parlimen – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – sebagai sesuatu yang sudah berakhir?

Malah menurut Joceline, Muhyiddin difahamkan lebih berminat untuk membentuk pakatan pembangkangnya sendiri yang terdiri daripada PPBM, PKR dan PAS.


Gabungan itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Harapan tidak menerima cadangan itu.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan  konvensyen yang kali pertama diadakan itu akan turut diisi dengan perbahasan oleh beberapa lapisan pemimpin Pakatan Harapan termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Muhamad Sabu.


Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yasin akan menyampaikan  ucapannya iaitu bersama-sama dengan tiga pimpinan utama Pakatan Harapan.

Konvensyen itu  dijangka dihadiri 1,000 anggota daripada tiga parti gabungan Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Amanah serta tetamu undangan.

PAS menolak kehadiran di konvensyen berkenaan dan hari ini Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut mengesahkan mereka tidak menghadiri konvensyen itu.

Thursday, June 16, 2016

Dakwaan Raja Petra Mengenai Skandal Cukup Jijik, Kata Muhyiddin


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap dakwaan dibuat penulis blog Raja Petra Kamaruddin dalam beberapa siri entrinya sejak beberapa hari lalu sebagai berniat jahat dan tidak berasas.

Kata Muhyiddin, tuduhan berkenaan sengaja dilemparkan kepadanya semata-mata untuk merosakkan integriti dan berbaur politik yang "cukup menjijikkan".

Dalam kenyataan terbukanya hari ini anggota parlimen Pagoh itu berkata tuduhan itu lebih tidak wajar kerana dibuat pada bulan Ramadan.

"Segala tohmahan tersebut adalah fitnah jahat dan sangka buruk yang disebarkan semata-mata untuk merosakkan integriti saya serta berbaur politik yang cukup menjijikkan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Sempena bulan Ramadan yang juga bulan keampunan dan kerahmatan, seharusnya orang yang membuat fitnah ini beristighfar dan berdoa semoga dihapuskan segala dosa-dosanya," kata Muhyiddin.

Sebelum ini beberapa artikel disiarkan blog Raja Petra mengaitkan Muhyiddin dengan skandal terlarang.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak memberi sebarang reaksi sehinggalah hari ini.
Kata Muhyiddin, jika Raja Petra sedar terhadap kesalahannnya penulis blog itu seharusnya memohon maaf.

Timbalan presiden Umno yang digantung tugas sejak 26 Februari lalu itu berkata, beliau percaya semua tohmahan tersebut bertujuan untuk menjejaskan reputasinya.

"Tohmahan ini bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya setelah saya tidak lagi berada di dalam kabinet dan terus lantang bersuara untuk mencari kebenaran.

"Dugaan Allah kepada saya amat besar di bulan Ramadan ini. Saya harus bertenang, bersabar dan berdoa mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan kita," katanya.


Sunday, April 4, 2010

RAKYAT KELANTAN PERLU SEDIA HADAPI PERUBAHAN

Rakyat Kelantan perlu bersedia menghadapi perubahan baru dengan menerima Barisan Nasional (BN) bagi mempastikan kebajikan dan pembangunan untuk Kelantan sentiasa terjamin.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebagai pemimpin daripada parti politik Melayu iaitu UMNO beliau cukup sedih dengan tahap pembangunan yang diusahakan kerajaan negeri pimpinan PAS.

Katanya, selama ini kerajaan negeri hanya bergantung harap kepada peruntukan Kerajaan Pusat yang mana dalam tempoh lima tahun sebanyak RM7.5 bilion disalurkan kepada Kelantan dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Beliau berkata, rakyat Kelantan sememangnya terkenal dengan sifat kerajinan mereka dan mempunyai potensi untuk maju.

"Tetapi ia tidak mencukupi kerana kurangnya usaha kerajaan negeri. Kelantan ini ramai Melayu. Saya juga Melayu Islam. Kita tidak mahu rakyat Melayu terasing.

"Tanggungjawab kerajaan negeri (melaksanakan pembangunan) tetapi semuanya diserahkan kepada Kerajaan Pusat," katanya semasa merasmikan program Juara Rakyat dan pemberian pertama wang ihsan yang dihadiri 5,000 pengunjung, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Pusat berhasrat untuk membasmi golongan miskin tegar sehingga penghujung tahun ini dengan memberikan bantuan kepada golongan itu.
Namun, katanya, apa yang lebih dikesali, kerajaan negeri dilihat tidak mempunyai inisiatif untuk menjayakan hasrat Kerajaan Pusat dengan membantu 3,500 miskin tegar sebaliknya berharap kepada agensi pusat untuk menguruskan perkara itu.

"Ini komitmen pemimpin BN dan bukannya PAS. Dia tidak boleh abaikan kerana ini tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Muhyiddin turut mempersoalkan jumlah dana yang telah diperuntukkan kerajaan negeri untuk menjaga soal kebajikan dan pembangunan untuk rakyat sedangkan dalam tempoh sama sudah berbilion ringgit diperuntukkan Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar bahawa pembangunan kepada negeri adalah perkara yang dituntut oleh agama kerana ianya menjamin kekuatan rakyat itu dari aspek ekonomi yang sekaligus membolehkan rakyat berdikari, menunaikan ibadat dan menjaga keluarga.

Muhyiddin juga kesal tindakan PAS memprbesar-besarkan isu tuntutan royalti minyak Kelantan sedangkan kebajikan dan pembangunan untuk rakyat negeri itu terabai.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah merujuk isu royalti minyak itu dengan pakar undang-undang dalam Perlembagaan dan sememangnya Kelantan tidak mempunyai hak untuk mendapatkan royalti minyak itu kerana kawasan carigali berada lebih daripada tiga batu nautika daripada persisiran pantai Kelantan.

Namun, katanya, Kerajaan Pusat tetap memberikan wang ihsan sebagai ganti kepada bayaran royalti minyak kerana kerajaan mementingkan hal kebajikan rakyat negeri itu.

"Tidak kira apa nama sekalipun, wang ihsan atau royalti, ia adalah pitih (wang) rakyat perlukan bantuan dan kita hendak tolong. Jadi apa yang tok guru (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) cakap tidak mahu wang ihsan. Semua hendak wang ihsan. Ini soal nasib rakyat miskin, kita mesti tolong," katanya.

Katanya, pasti banyak lagi yang boleh diberikan kepada rakyat Kelantan jika mereka memilih untuk mendokong BN pada pilihan raya akan datang.

KELANTAN DAPAT SEKOLAH VOKASIONAL


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama sebahagian daripada pelajar miskin yang menerima bantuan wang ihsan selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah I, Machang semalam. Ia merupakan antara rangka lawatan kerja seharinya ke negeri itu.

Kelantan bakal mendapat sebuah Sekolah Menengah Vokasional (SMV) baru yang bakal dibina di Pasir Puteh di bawah RMK-10.

Seramai 800 pelajar akan dapat mengikuti pengajian di SMV di tapak seluas 98 hektar ini nanti yang diharap mampu melahirkan pelajar berwawasan untuk generasi muda masa depan.
Demikian ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan Gala Ko-Kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010 di Pusat Ko-Kurikulum Kem Tangok, Bachok semalam.
Mengenai pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran ekoran kesan kegawatan ekonomi global, beliau berkata ia sama sekali tidak menjejaskan aktiviti ko-kurikulum pelajar di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata kementerian itu sama sekali tidak akan meminggir keperluan pelajar, agar perkembangan mereka selari dengan aspirasi meningkatkan mutu pendidikan seterusnya merealisasikan hasrat pemupukan ke arah perpaduan kaum.

"Aktiviti ko-kurikulum adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat, bermula di peringkat sekolah apabila semua pelajar berbilang bangsa dan agama dapat bersama-sama dengan satu semangat perpaduan.

"Walaupun dengan perlaksanaan langkah penjimatan, kerajaan yakin ia tidak akan menjejaskan hasrat untuk mewujudkan negara yang harmoni," katanya pada majlis berkenaan.
Lebih 5,000 pelajar, guru dan pemimpin masyarakat hadir pada majlis itu yang turut dihadiri isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran akan terus menambah bilangan pusat ko-kurikulum di setiap daerah dalam negara secara berperingkat, dan sehingga kini 34 pusat itu sudah mula beroperasi.

"Saya lihat minat pelajar terhadap aktiviti ko-kurikulum semakin bertambah dan ini menggambarkan minat dan kecenderungan pelajar menyertai aktiviti seperti ini," katanya.

Menurutnya Kementerian Pelajaran akan turut memperkenalkan pelbagai kaedah baru, terutama di sekolah-sekolah vokasional bermula awal Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menjadi seorang usahawan.

"Sebagai contoh mereka akan terbabit dalam bidang pertanian, aktiviti yang dikira sebagai aktiviti ko-kurikulum, mereka kemudiannya akan memasarkan hasil itu sendiri sebagai hasil tabungan kepada sekolah bagi meningkatkan aktiviti ko-kurikulum," katanya.

Wednesday, July 29, 2009

PUSAT TAK PERNAH ANIAYA KELANTAN

Kerajaan pusat tidak pernah menganiayai kerajaan mana-mana negeri yang diperintah oleh pembangkang termasuk Kelantan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, kerajaan pusat telah melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan Dialog Perkongsian Pintar di Munyonyo, (Uganda) hari ini.

Sambil mengambil contoh peruntukan untuk negeri Kelantan, beliau berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM7 bilion bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri itu menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan.

"Kita tak pernah abaikan Kelantan. Misalnya kerajaan Persekutuan menyediakan RM600 juta dalam bentuk pinjaman mudah untuk membantu kerajaan Kelantan membiayai projek bekalan air bersih.

"Sebenarnya tidak ada negeri pun yang dianiaya atau tidak diberi peruntukan. Maknanya daripada segi tanggungjawab pusat kepada negeri, kita telah laksanakannya," katanya.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa kerajaan Kelantan hanya mahu merapatkan hubungan dengan kerajaan pusat dan bukan dengan Umno, Muhyiddin berkata kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri tidak boleh dielakkan.

"Secara langsung atau tak langsung mesti ada kerjasama...tak boleh dielakkan kerana dasar kerajaan BN ialah pembangunan untuk semua.

"Memang agak sukar untuk membezakan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri. Kita tidak boleh asingkan. Lebih baik, contohnya, kalau kita ada persefahaman daripada segi soal politik, barulah kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan boleh jalin kerjasama," katanya.

Muhyiddin turut menyifatkan kerjasama di peringkat kerajaan sahaja tanpa kerjasama politik sebagai sesuatu tidak wajar dan tidak pernah berlaku.

"Jadi terserah pada mereka (kerajaan Pas Kelantan). Kita berniat baik dan kita buat benda yang baik. Itu tujuan kita respon untuk kebaikan bukan untuk faedah parti...bukan untuk pemimpin tetapi untuk negara.

"Bila kita cakap (beri reaksi), dia (Nik Aziz) cakap lain pula...saya tidak tahu mana satu yang betul," katanya. BERNAMA