Monday, August 15, 2016

Isu 1MDB, Kos Sara Hidup Ibarat 'Bom Atom' Bagi UMNO...


Ada mengatakan persidangan Perwakilan UMNO Bahagian serta sayap - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri - seharusnya menjadi platform bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih mendapat sokongan padu dalam kalangan anggota.

Kesempatan ini dilihat sebagai cara terbaik untuk buktikan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa  bahawa UMNO masih tetap kukuh dan bersatu padu meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran masa ini.

Sudah-sudahlah dengan soal menyokong ketua. Tidak cukupkah lagi dengan pernyataan sokongan yang dibuat sejauh ini sehingga persidangan Bahagian UMNO juga perlu membuat pendirian demikian.

Apakah melalui persidangan itu boleh menghapuskan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa bahawa UMNO kini sedang berdepan cabaran getir dan menguji ketabahan dan integriti pemimpinnya?

Tahniah kepada Ketua UMNO bahagian Shah Alam, Datuk Zahari Shaari kerana berani memperkatakan apa yang pemimpin Bahagian UMNO lain takut untuk menyatakannya secara terbuka.

Semalam Zahari mengeluh setelah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diibaratkan menimpa UMNO ibarat 'bom atom'.

Datuk Zahari Shaari sedang berucap...
Bagi Zahari, amat nyata Isu 1MDB ini berada dalam antara senarai teratas yang perlu diberikan perhatian oleh UMNO.

"Ini 'mengena' kami seperti bom atom...Tolong selesaikannya dengan segera," ujar beliau di Dewan Seri Budiman, Universiti Institut Teknologi Mara di Shah Alam.

Beliau berkata demikian dalam rayuan kepada pimpinan UMNO untuk selesaikan isu berkenaan seberapa segera semasa majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Shah Alam yang dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bukan mudah untuk mendapatkan seorang pemimpin seperti Zahari yang berani berterus-terang, apa lagi di hadapan pemimpin besar UMNO.

Jika yang lain, mungkin mereka akan mengelakkan daripada menyebut isu 1MDB yang kini sebagai sesuatu yang amat menakutkan pemimpin tertinggi UMNO, tetapi bukan kepada Zahri.

Isu 1MDB kini bukan sekadar isu derma RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri tetapi 1MDB  juga disabitkan dengan hutang yang begitu besar, integriti, tadbir urus selain dibimbangi akan menyebabkan UMNO, kerajaan dan rakyat menanggung musibahnya.

Banyak laporan, termasuk Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam diedarkan pada bulan April lepas, menyebut bahawa  hutang 1MDB setakat Januari 2016 berjumlah RM50 bilion.

Sebuah badan kajian ekonomi berpusat di United Kingdom meramalkan Malaysia menghadapi risiko diturunkan taraf unjuran kredit disebabkan hutang syarikat milik kerajaan termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Nikkei Asian Review 7 Jun lalu.

Menurut Oxford Economics, pelabur asing semakin kurang minat terhadap pasaran saham tempatan walaupun dengan aliran masuk tunai ke dalam pasaran serantau.

Selain itu 1MDB turut berdepan dengan saman firma pelaburan Abu Dhabi berhubung pertikaian lebih AS$6.5 bilion yang ditetapkan bermula untuk proses timbang tara antarabangsa bulan depan.

Dr Ahmad Zahid....beri kerjasama sepenuhnya.
Pertikaian 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi melalui pengurusan kes di Mahkamah Timbang Tara London (LCA) turut merisaukan rakyat.

Apa yang diharapkan ialah  kerajaan (ramai pemimpin penting UMNO di dalamnya) membuat keputusan mengenai tindakan undang-undang terhadap pengurusan 1MDB yang terbabit, termasuk yang sebelum ini  dan lembaga pengarahnya, jika terbukti mereka punca kelemahan dan penyelewengan.

Malah ada pertanyaan dariada pembangkang dari mana duit bakal dikorek Kementerian Kewangan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya International Petroleum Investment Company (IPIC) berjaya tuntut RM26.5 bilion?

Di sebalik isu berkenaan, yang paling mengejutkan ialah apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat pada Julai lalu, memfailkan tindakan undang-undang, bertujuan merampas berpuluh-puluh hartanah yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB).

Menurut dokumen difailkan itu ia bernilai lebih AS$3.5 bilion (RM14,00 Juta) dikatakan disalahguna daripada institusi berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan pada 21 Julai lalu, tindakan undang-undang tersebut yang difailkan di Los Angeles bertujuan membuat rampasan aset yang 'terlibat dalam dan boleh dikesan berhubung konspirasi antarabangsa untuk menggubal wang haram disalah gunakan dari 1MDB'.

Timbalan Perdana Menteri berkata 24 Julai lalu, Malaysia menyambut baik usaha DOJ Amerika Syarikat dalam memerangi rasuah antarabangsa dan menggesa semua pihak terlibat supaya memberi kerjasama sepenuhnya supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.

DR Ahmad Zahid yang kini memangku Timbalan Presiden UMNO berkata  sebagai anggota bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat global, menghormati proses perundangan bagi bidang kuasa yang berbeza dan kekal komited sepenuhnya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan laporan DOJ mengenai 1MDB adalah tindakan sivil semata-mata, tetapi ada pihak mengatakan ia berkait dengan perbuatan jenayah.

Pemimpin pembangkang menyatakan walaupun istilah ‘sivil’ digunakan, sejumlah 17 aset yang disebut di dalam dokumen itu disita kerana melibatkan penyelewengan dan salah laku melibatkan 1MDB dan wang rakyat Malaysia.

Secara lebih jelas, ia bermaksud jenayah telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga DOJ bertindak demikian.

Tidak cukup dengan itu, pada Khamis lepas, bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan dengan ADUN Salor, Datuk Husam Musa (kiri) memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York, menurut The Hollywood Reporter.

Ini sebahagian sahaja permasalahan yang wujud berkaitan 1MDB. Belum pasti apa lagi yang muncul selepas ini.

Zahari pada mesyuarat semalam turut menekankan kebimbangan masyarakat bandar termasuk kenaikan kos sara hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan proses rasionalisasi subsidi.

Umno Shah Alam menuntut kerajaan memansuhkan tol Batu Tiga dan tol Sungai Rasau yang dilihat membebankan pengguna sejak dulu lagi.

Amat wajar jika Ketua UMNO Bahagian Shah Alam itu menyatakan kebimbangannya terhadap tekanan masyarakat bandar dan seharusnya ketua UMNO Bahagian lain turut memperkatakan isu yang melanda di kawasan mereka sendiri.

Mesyuarat UMNO Bahagian bukan medan untuk memuji atau mengagungkan pemimpin tertentu, juga bukan untuk memperkatakan sesuatu yang tidak berpijak di alam nyata.

Sewajarnya Ketua Bahagian UMNO bertindak seperti Zahari menyatakan pendirian mereka dala isu rkayat dan sumbangan besar ini pastiya akan menyumbang kepada kekuatan UMNO, bukan melemahkan.

Tidak bermakna apabila mengatakan sesuatu isu yang menghimpit rakyat bermakna ia kritikan terhadap pemimpin.

Juga tidak bermakna apabila menyatakan sokongan terhadap seseorang dalam mesyuarat Bahagian, ia akan meyakinkan rakyat ramai. Yang mungkin yakin, mungkin yang hadir pada mesyuarat itu sahaja. Itupun belum pasti.

Lagipun, UMNO perti terbuka dan setiap permasalahan perlu diselesaikan melalui cara dalaman.

 Jadi, apa yang dilakukan Zahari adalah bertepatan dengan semangat ‘penyelesaian masalah masyarakat melalui UMNO’.

Malah, Zahari ‘bercakap  di alam nyata’ apabila mengatakan wujudnya  kebimbangan di kalangan masyarakat bandar termasuk kenaikan kos sara hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan proses rasionalisasi subsidi.

Ternyata sebagai pemimpin sebuah parti pemerintah yang kesekian lama MEMBELA RAKYAT, Zahari berani memperkatakan yang benar tanpa berselindung mengenai  hakikat kehidupan dan kebimbangan rakyat ketika ini.

No comments: