Showing posts with label fitnah. Show all posts
Showing posts with label fitnah. Show all posts

Wednesday, May 30, 2012

Azmin Hanya Berdosa Kerana Lawan UMNO...Bukan Rasuah?


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sudah pasti menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau terlibat dalam siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit.

Siapa mahu mengaku dan bersetuju dengan dakwaan Raja Petra Kamaruddin itu?

Azmin menyifatkan pendedahan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan kes rasuah membabitkannya dihentikan pada 1995 adalah tidak berasas.

"Tidak berasas, 17 tahun dulu. Baca buku Datuk Shafee Yahaya bekas Ketua Pengarah BPR (Badan Pencegah Rasuah)," katanya menerusi akaun twitternya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap teman twitternya mengenai kes rasuah yang didedahkan Raja Petra yang berlaku 17 tahun lalu sewaktu beliau menjadi Setiausaha Sulit Anwar.

Media hari ini melaporkan Pengarang portal Malaysia Today itu mendakwa Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan BPR tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) ke atas Mohamed Azmin dan menghapuskan fail siasatan walaupun mempunyai cukup bukti untuk menahan dan mendakwanya.

Raja Petra berkata, maklumat itu diperoleh daripada seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerahkan dokumen sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi itu di London bulan lalu.

Sementara itu dalam reaksi lain terhadap seorang lagi pengguna twitter, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menggambarkan bahawa dakwaan yang turut mengaitkan beliau dan isterinya, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek adalah fitnah.

"Persetankan mereka. Nabi Musa dan Nabi Yusuf juga difitnah. Saya manusia kerdil. Pohon kekuatan dari Allah SWT," katanya. "Saya hanya insan kerdil. Dosa saya ialah saya lawan Umno," kata Mohamed Azmin dalam tweet balas kepada seorang lagi teman twitternya.

Utusan Malaysia melaporkan, Raja Petra tampil sekali lagi mendedahkan bagaimana Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak menutup kes rasuah membabitkan Azmin.

Dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995 mengarahkan pegawai kanan BPR menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki Azmin dan Shamsidar walaupun hanya bergaji RM2,442 sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.

Dakwanya, penglibatan Anwar dalam kes rasuah Ahli Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden Parti PKR itu didedahkan sendiri oleh bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut dalam satu pertemuan di London.

Katanya, satu fail sulit bertarikh 15 Mei 1995 yang diserahkan bekas pegawai kanan BPR itu kepadanya jelas menunjukkan Azmin memiliki kekayaan yang tidak seimbang berbanding pendapatannya selaku penjawat awam dan ia disokong pula dengan bukti pemilikan saham oleh Shamsidar bernilai lebih RM7 juta.

Antara kekayaan Azmin pada ketika itu dakwa Raja Petra adalah memiliki sebuah kereta mewah BMW 325i (RM160,529), Proton Perdana 2.0 SE (RM80,767), rumah banglo dua tingkat di Setapak (RM284,118), rumah berkembar di Taman Melawati (RM210,000) serta sejumlah 1,000 unit saham dalam Hicom.

Selain itu Azmin juga memiliki dua buah kereta lagi iaitu Proton Wira 1.6 Xli dan Proton Satria 1.6 Xli manakala pemeriksaan ke atas salah satu akuan bank Shamsidar mendapati terdapat kemasukan deposit cek berjumlah RM7.2 juta serta wang tunai bernilai RM708,800 dari November 1992 hingga Mei 1995.

"Tidak terkecuali siasatan BPR juga mendapati terdapat kemasukan cek dari bank-bank tempatan ke atas akuan milik Shamsidar berjumlah RM628,552 selain baki dalam akaun bank beliau yang pernah satu ketika mencecah angka lebih RM300,000," katanya sebagaimana dipetik dari portal http://www.malaysia-today.net hari ini.

Dalam pada itu, semakan Utusan Malaysia ke atas fail sulit yang dimuat naik Raja Petra mendapati laporan hasil siasatan Pegawai Siasatan, Cawangan Siasatan Am, Ibu Pejabat BPR menyarankan supaya tindakan tatatertib diambil ke atas Azmin kerana terbukti beliau memiliki kekayaan tidak seimbang.

"Hasil daripada siasatan yang dibuat mendapati jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh Azmin dan isterinya adalah jauh tidak seimbang terutama bagi tahun 1993 dan 1994. Hasil siasatan setakat ini juga mendapati isteri Azmin terlibat dalam pembelian saham bernilai jutaan ringgit sedangkan Shamsidar tidak bekerja.

"Memandangkan jumlah perbelanjaan yang dibuat Azmin jauh tidak seimbang, saya syaki wang dan harta dimiliki datang dari hasil perlakuan rasuah.

Saya cadangkan Azmin diambil tindakan tatatertib," lapor pegawai berkenaan tetapi BPR tidak mengarahkan sebarang tindakan lanjut diambil ke atas Azmin.

Sementara itu, dalam kenyataannya, bekas pegawai kanan BPR yang bertanggungjawab mendedahkan segala fail sulit berkenaan kepada Raja Petra pula berkata, hanya orang yang pekak, buta serta tuli sahaja yang sengaja mengatakan segala cerita tentang rasuah membabitkan Azmin hanya suatu rekaan atau konspirasi.

Di samping itu, beliau turut menegaskan, perbuatan pegawai kanan BPR mengarah siasatan ke atas Azmin dihentikan melanggar undang-undang jenayah di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan kerana beliau tiada hak untuk mengarah melainkan arahan pendakwaraya.

"Semasa siasatan dibuat gaji Azmin hanya RM2,442 sebulan tetapi mampu menjelaskan bayaran bulan rumah di Setapak sebanyak RM3,376 dan rumah di Taman Melawati sebanyak RM1,110.

Jumlah bayaran ini sahaja menunjukkan hutang Azmin melebihi gaji.

Di mana Azmin dapat wang tambahan untuk hutang ini?

"Ini belum masuk bayaran deposit yang dibuat ke atas rumah dan kereta, bayaran bulan kereta BMW berjumlah RM875 dan Proton Perdana pula RM700 sebulan. Bukankah ini sahaja sudah mencukupi untuk menunjukkan Azmin mempunyai pendapatan yang lain," katanya juga dipetik dari portal Malaysia Today.

Thursday, September 29, 2011

Sebutan Semula Kes Saman Umno Terhadap PAS Pada November

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes saman bernilai RM10 juta yang difailkan oleh Umno Selangor terhadap tiga pemimpin tertinggi Pas atas dakwaan memfitnah parti itu dalam artikel berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU).

Timbalan Pendaftar, Sara Zuriati Zaharifudin menetapkan tarikh itu kelmarin, dan peguam Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Umno memberitahu, semua defendan yang dinamakan dalam saman terbabit diarahkan untuk memfailkan pembelaan sebelum tarikh tersebut.

Pada 14 September lalu, Umno Selangor yang diwakili oleh Setiausaha Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed memfailkan saman tersebut dengan menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali selaku defendan pertama kerana mendakwa beliau telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah parti itu di dalam akhbar Harakah.

Mohd Zin selaku plaintif turut menamakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Muhammad Sabu sebagai defendan diikuti pencetak, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd yang merupakan pencetak akhbar milik PAS, Harakah.

Selain itu, turut dinamakan sebagai defendan ialah penyunting Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan akhbar terbabit, Khairul Azlam Mohamad yang bertanggungjawab menulis berita bertajuk 'PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi JAIS' yang disiarkan dalam edisi bertarikh 19 hingga 21 Ogos lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Mustafa telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah wadah dan perjuangan politik plaintif semasa ditemuramah oleh Khairul Azlam pada 15 Ogos lalu dengan mengetahui bahawa kenyataan itu akan disiarkan di dalam Harakah.

Dakwa plaintif, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa Umno memainkan peranan penting dalam serbuan tersebut dan seolah-olah 'mengawal pentadbiran' JAIS yang merupakan agensi kerajaan di bawah kawalan Kerajaan Negeri Selangor.

Seterusnya, plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh defendan pertama juga membawa maksud Umno mengamalkan dasar politik yang kotor dan sempit serta boleh mengarah-arahkan mana-mana agensi kerajaan, pegawai atau agensi untuk membuat sesuatu tindakan atau keputusan atas arahan pihak luar dan membelakangkan undang-undang dan peraturan agensi terbabit.

Plaintif juga mendakwa, kenyataan itu boleh membawa maksud bahawa plaintif telah terlibat dalam rasuah salah guna kuasa, tidak boleh dipercayai, dalang dalam mencetuskan ketegangan antara Islam dengan bukan Islam serta JAIS adalah kuda tunggangan plaintif dalam mencapai objektif tersebut.

Oleh itu, plaintif mendakwa penerbitan kata-kata fitnah tersebut telah menyebabkan merosakkan reputasi mereka dan membawa kehinaan dan keaiban yang akan berlangsung selama bertahun-tahun kerana penerbitan dan pengedaran Harakah yang meluas.

Dakwa plaintif lagi, defendan pertama juga tidak mengendahkan dan mengabaikan surat plaintif bertarikh 25 Ogos lalu yang menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat dan pampasan sebanyak RM10 juta kepada plaintif.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM10 juta daripada setiap defendan termasuk ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan, faedah pada kadar 4 peratus setahun yang mula dibayar dari tarikh keputusan sehingga pembayaran penuh serta perintah injunksi bagi menghalang defendan pertama atau ejennya untuk meneruskan kenyataan fitnah tersebut,

Plaintif juga menuntut defendan pertama untuk menerbitkan permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar dan majalah dalam istilah yang ditetapkan oleh plaintif serta defendan dimohon untuk menjelaskan kos mahkamah.

Sementara itu, Hafarizam ketika ditemui memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 28 September ini sebagai pengurusan saman tersebut.

Pada 3 Ogos lalu, JAIS membuat serbuan ke atas gereja terbabit selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam yang menghadiri majlis yang diadakan di situ.

Media juga melaporkan, serbuan yang diadakan pada pukul 9 malam turut mendapati seseorang sedang berucap dengan menyelitkan perkataan al-Quran dan terdapat percubaan untuk memurtadkan umat Islam.

Thursday, August 25, 2011

PERKASA, Ezam Dakwa MB Fitnah, Tipu Sultan Selangor


Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Selangor dan Pusat, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Senator Ezam Mohd Noor semalam membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Laporan dibuat ke atas Abdul Khalid kerana didakwa memfitnah dan menipu Sultan Selangor (untuk lebih jelas baca di sini) dalam isu penubuhan Majlis Penasihat Syura untuk menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama http://www.blogger.com/img/blank.gifpada 3 Ogos lalu.

Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin semasa ditemui di Balai Polis Seksyen 6 di Shah Alam di mana mereka membuat laporan berkata tindakan Abdul Khalid adalah suatu kesalahan besar mengikut Akta Hasutan 1948 dan badan itu mahu Menteri Besar Selangor itu disiasat mengikut akta itu.

"GAPS mempunyai pandangan bahawa institusi Raja di Selangor harus dipertahankan sebagai institusi yang unggul untuk menyatukan dan membawa perpaduan rakyat dan bukan bahan untuk ditertawakan diperkotak-katikkan dan dipermainkan," katanya.

Ezam pula berkata beliau merasa bertanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Negara dan Institusi Asas Negara dan beliau bersama teman-teman seperjuangan mempercayai ada agenda halus di sebalik tindakan Abdul Khalid yang didalangi oleh pihak-pihak tertentu untuk merosakkan institusi Istana dan Raja Berperlembagaan.

Bukan sahaja institusi Raja diserang, malah JAIS yang menjaga hal ehwal kebajikan orang Islam juga turut diserang, kata Ezam.

Kelmarin Setiausaha Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan Abdul Khalid bahawa penubuhan Majlis Penasihat Syura itu telah dicadangkan oleh Baginda, adalah tidak benar sama sekali.

Tuesday, June 2, 2009

ADUN BN MOHON MAAF PADA HUSAM

Malaysiakini (2 Jun 2009)

ADUN Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) memohon maaf kepada exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa kerana telah membuat laporan tidak benar dan tidak berasas kepada naib presiden PAS itu pada 2007.

"Saya dengan ini menarik balik segala tuduhan tersebut dan seterusnya menyatakan rasa kesal yang mendalam kerana pertuduhan tersebut telah menyebabkan tekanan kepada beliau dan keluarga beliau serta memburukkan keperibadian beliau," kata Nozula dalam notis permohonan maaf itu yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Nozula dan seorang lagi ADUN BN Kelantan, Muhd Adhan Kechil (Bukit Bunga) telah membuat laporan tersebut terhadap Husam pada akhir November 2007.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek yang mewakili Husam berkata, antara lain laporan mereka adalah mengenai:

-Laporan mengenai buku dan salah guna kuasa oleh ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Hussam Musa.

-Laporan mengenai penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn Bhd

-Isu kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd.

-Isu Kedai Majlis Daerah Machang.

-Isu Jamnapari membabitkan dana KPK.

-Penyelewengan kawasan balak untuk ladang getah serta penyelewengan Pas mengutip dana.

-Penyelewengan pembelian lot tanah mukim Gual Periuk, Pasir Mas oleh Syarikat Galeri Tanah.

-Laporan ke atas Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad dan Pengarah Urusan Kompleks Perkayuan Kelantan.

-Isu Perbadanan Baru Tanjung cuba menjual rezab Melayu kepada Syarikat Kind Network Sdn. Bhd.

Ahmad Shabrimi berkata, tindakan kedua-dua ADUN tersebut antaranya, telah meletakkan Husam dalam kancah pertikaian umum dan mengheret beliau dalam suatu skandal, fitnah konspirasi, jenayah, kebencian dan buruk sangka umum dan kehinaan awam.

Berikutan katanya, Husam telah mengarahkam tindakan undang-undang diambil terhadap kedua-dua ADUN BN tersebut serta akhbar New Straits Times (M) Berhad.

"Akhirnya pihak ADUN berkenaan telah bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka kepada anakguam kami serta menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan.

"Dengan notis permohonan maaf ini, maka terbukti bahawa segala tuduhan liar yang dibuat terhadap anakguam kami adalah fitnah semata-mata, tidak benar dan tidak berasas.

"Ini juga bermakna kerajaan negeri juga bersih dari segala salahlaku yang didakwa. Pihak kami akan membuat tindakan seterusnya bagi membersihkan nama baik anakguam kami.

"Kami juga dalam proses rundingan penyelesaian dengan para defendan lain," kata Ahmad Shabrimi.