Showing posts with label Khalid. Show all posts
Showing posts with label Khalid. Show all posts

Monday, May 29, 2017

‘Pakatan Harapan Tidak Akan Jadi Barisan Nasional 2.0 - Mukhriz


Pada satu ceramah baru-baru ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menceritakan pertemuannya dengan seorang penyokong yang bertanyakan apakah jaminan Pakatan Harapan tidak akan jadi seperti Barisan Nasional (BN).

Pembangkang kebelakangan ini menuduh pakatan pemerintah menyalah urus wang rakyat.
Timbalan presiden PPBM cuba meyakinkan penyokong itu yang PH tidak akan mengikut langkah kerajaan BN.

Hujahnya? Jika PH memenangi Putrajaya, ia bermakna pengundi menolak rasuah dan pemimpin yang merompak rakyat.


“Jika pengundi menghukum kerajaan lama yang melakukan perkara itu, kami tidak berani mengulangi kesalahan itu, kerana kita tidak mahu dihukum pada pilihan raya nanti.”
Bukan Mukhriz sahaja yang berfikiran begitu.

Rakannya dari DAP, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran berkata BN dan PH seperti oren dan epal, yang tidak patut dijadikan perbandingan.

“Sama sekali berbeza. Kami berazam menghapuskan rasuah. Kami mahu kewangan negara diurus dengan lebih baik dan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan banyak lagi,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat kepada FMT.

Kulasegaran berkata Pakatan Harapan merupakan gabungan parti setara, berbeza dengan BN, di mana “abang sulung”, Umno, memutuskan semua perkara.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad juga bersetuju dalam Pakatan Harapan walaupun ada perbezaan pendapat dalam kalangan komponen, tiada “abang sulung” yang membuat kata putus.

“Kerana kita tidak ada pendekatan ‘abang sulung’ dalam gabungan ini, saya fikir kita akan terselamat daripada budaya politik BN.

“Kita mahu menggantikan BN tetapi tidak mahu meniru mereka.

“Dalam mesyuarat kami ditekankan berulang kali Pakatan Harapan ialah gabungan setara,” kata Ahli Parlimen Shah Alam kepada FMT.

“Kita tidak mahu jadi BN 2.0.”

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke membangkitkan isu itu 27 Mac lalu, menegaskan Pakatan Harapan gabungan parti setara tanpa parti teraju.

“Kami gabungan setara. Tidak ada isu parti mana yang menerajui gabungan ini.

“Tidak ada satu parti yang mendominasi gabungan ini. Ini yang membezakan Pakatan daripada BN. Kita bukan BN 2.0,” kata Loke dalam satu laporan.

Sumber - FMT


Monday, October 10, 2016

‘Parang Terbang’ - Apa Tindakan Polis Terhadap Pemimpin Baju Merah?


Kita mahu melihat sejauh mana kata-kata Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa tindakan akan diambil ke atas pemimpin kumpulan Baju Merah ekoran kenyataan disiarkannya di Facebook semalam.

PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan mengambil tindakan tegas dengan segera, demikian tegas Ketua Polis Negara melalui Twitter malam semalam.

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membayangkan tragedi rusuhan 13 Mei dan "parang terbang" akan berulang jika BERSIH 5 dilangsungkan mengikut jadual asal.

Demonstrasi BERSIH 5 dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

"Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIH 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 Novembr ini," kata Jamal.

Khalid melalui Twitter melampirkan  kemas kini Jamal - dalam tweet ketua Umno Sungai Besar itu yang berkaitan
.
Khalid  menegaskan pihak berkuasa tidak boleh menerima sebarang kenyataan bersifat menghasut.

Sebelum ini Ketua gerakan Baju Merah itu mendakwa polis memberi 'layanan istimewa dan luar biasa' terhadap peserta BERSIH 5 yang kini mengadakan konvoi di seluruh negara.

Sebaliknya, Jamal mendakwa, pihak berkuasa itu melayan kumpulannya seperti 'anjing kurap'.

Dalam kenyataannya Jamal berkata kumpulan BERSIH 5 bukan sahaja dijaga rapi, malah pihak polis turut mengiringi setiap konvoi BERSIH 5 mengalahkan escort Perdana Menteri Malaysia.


Katanya, walhal tindakan BERSIH 5 telah terbukti bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah agenda kotor mereka menghasut rakyat untuk menggulingkan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mencabul sistem demokrasi menerusi turun ke jalan raya.

"Sebaliknya, layanan yang diberikan kepada Gerakan MERAH V2 saya sifatkan seperti anjing kurap," kata Jamal dalam kenyataan.

Kelmarin, media sosial serta  Malaysiakini melaporkan dua lelaki memakai baju BERSIH dilempar telur oleh kumpulan Baju Merah di Sabak Bernam, Selangor. Kedua-duanya yang menunggang motosikal diserang apabila mereka melintasi jalan masuk ke kawasan yang dipenuhi kumpulan Baju Merah.

Salah seorang daripada peserta BERSIH itu turut ditendang sebanyak dua kali oleh anggota kumpulan berkenaan.

Jamal mendakwa polis menyekat kumpulan Baju Merah di setiap lokasi dan menahan tiga daripada mereka.

"MERAH V2 ditahan hampir di setiap tempat dan kami diarahkan pihak polis menghentikan serta merta konvoi kami. Malah seramai tiga penyokong MERAH V2 telah ditahan," kata Jamal.

"Layanan (ke atas) kami amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan BERSIH 5.


Bagi Jamal, kumpulan BERSIH inilah yang selama ini menghasut rakyat dan menghina pihak polis di sepanjang kempen yang diadakan sejak sekian lama.

Malah BERSIH sebelum inilah yang mencetuskan keganasan melampau sehingga menggugat keselamatan negara, menyerang pihak polis dan memecahkan kereta polis.

Rentetan kepada BERSIH 5, Pemuda UMNO meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kepada kumpulan Baju Merah yang melakukan kekerasan fizikal kepada peserta BERSIH kelmarin.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut meminta individu yang memimpin gerakan tersebut memberi nasihat kepada anggotanya supaya tidak melakukan kekasaran dan keganasan.

"Saya tidak boleh terima dan saya harap mereka yang ada di belakang gerakan ini (Baju Merah dan BERSIH) dapat memberi nasihat kepada ahli mereka supaya tidak lagi melakukan kekasaran dan keganasan," tegasnya seperti dilapor Astro Awani.


Khairy mengecam perbuatan itu dan menegaskan, amalan demokrasi di negara ini tidak membenarkan keganasan serta kekerasan fizikal sebagai penyelesaian dalam berhadapan pandangan berbeza.

"Saya melihat video semalam, tindakan sekumpulan Baju Merah itu yang menyerang aktivis Bersih (dengan) menendang dan melakukan kekasaran fizikal. Ini kita tidak boleh terima. Siapa sahaja yang terlibat, tindakan ganas perlu kita kecam.


"Untuk menunjukkan pendirian masing-masing, kita perlu terima dalam demokrasi. Namun, jangan sehingga mencetuskan tindakan ganas yang boleh mencetuskan ancaman keselamatan terhadap individu-individu yang terlibat," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan Pertandingan Akhir Kejohanan Badminton Asics 2016 di Subang semalam.

Friday, September 9, 2016

Khalid Dedahkan Kenapa DAP Akrab Dengan AMANAH, Tidak PAS...


Oleh KHALID SAMAD
(Ahli Parlimen Shah Alam)

Saya begitu tersentuh dengan tulisan YB Liew Chin Tong yang telah disiarkan di akhbar Amanah keluaran ke 12 iaitu untuk tempoh 14 – 20 Ogos 2016.

Dalam penulisan beliau amat jelas bahawa antara sebab utama DAP begitu selesa dalam berkerjasama dengan Amanah adalah kemampuan berkomunikasi dan kejujuran dalam berpakat.

Sebenarnya kedua-dua sifat ini sepatutnya merupakan sifat semulajadi bagi mana-mana organisasi, lebih-lebih lagi yang memperjuangkan Islam.

Tetapi malangnya cara ia dinyatakan oleh Liew seolah-olah ia merupakan sesuatu yang amat sukar dijumpai di kalangan organisasi politik dewasa ini.

Sememangnya persoalan komunikasi adalah penting bagi sebuah organisasi yang ingin membawa aspirasi Islam.

Dalam suasana Islam diberikan imej yang ganas dan buruk, kemampuan kita menjelaskan prinsip Islam dalam bahasa yang mudah dan meyakinkan adalah antara cabaran terbesar mana-mana jemaah Islam.

Kecenderungan untuk merempuh, mengugut, memaksa dan sebagainya, sepertimana yang ditunjukkan oleh sebahagian ‘gerakan Islam’ hanya berlaku apabila kurangnya kemampuan untuk memberi penjelasan dan pencerahan yang meyakinkan.

Akal dan komunikasi

Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “bercakap dengan manusia mengikut kemampuan akal dan kefahaman mereka”.

Ini merupakan hadis masyur yang sering diguna-pakai dalam sesi tarbiah untuk membentuk para duat atau pendakwah.

Apabila dibicarakan maksud hadis ini, sering ditekankan bahawa tiada satu corak penjelasan yang sama untuk semua golongan manusia.

Tetapi kadang-kadang dilupai bahawa turut terkandung dan sama penting dalam hadis tersebut adalah bahawa tujuan penerangan ialah untuk memberikan kefahaman melalui akal orang yang mendengar.

Ini adalah kerana mengikut tanpa kefahaman atau ‘taqlid’ secara membabi buta bukan kehendak dakwah Islam. Oleh itu, kemampuan berkomunikasi, dalam bahasa yang difahami, melalui kaedah yang diyakini, secara logikal dan rasional yang boleh diikuti minda pendengar adalah sesuatu yang penting bagi semua pendakwah dan pejuang Islam.

Malangnya ramai yang terlibat dalam gerakan Islam diasuh dengan budaya “dengar dan patuh”.

Dan atas sebab kononnya usaha mereka berpaksikan ‘keimanan’ maka kefahaman melalui akal seolah-olah tidak diutamakan.

Malahan ada yang menganggap penggunaan akal sebagai sesuatu yang hina dan bercanggah dengan keimanan! Kerana iman adalah kepercayaan tanpa adanya bukti mahupun logik yang membawa kepada kefahaman.

Dan apabila sesebuah gerakan Islam diasuh dengan kefahaman sebegitu rupa, bagaimana ahli-ahlinya akan mampu berkomunikasi?

Selama ini ianya sekadar dilatih untuk “dengar dan taat”, “mereka ulama kamu jahil, maka ikut sahaja” dan “jangan banyak tanya, beriman sahaja”.


Maka tidak hairan bagi saya apabila Liew menyebut keselesaannya apabila berbincang dengan pimpinan Amanah, walaupun Amanah sebuah parti Islam.

Akal bukan musuh keimanan

Bagi Amanah, akal adalah antara pemberian Allah yang paling berharga. Pegangan ini terbukti benar apabila ‘Hifzul aqal’ atau ‘penjagaan akal’ disenaraikan sebagai salah satu dari lima perkara utama yang ingin dijaga syariah dalam ilmu Maqasid Syariah.

Akal yang dibebaskan dari pengaruh hawa nafsu mampu membawa manusia kepada kefahaman yang menghasil dan menambahkan keimanan. Akal bukan musuh keimanan. Akal sendiri boleh mengakui kewujudan yang ghaib yang diimani orang-orang yang beriman.

Melalui akal ini dapat juga dihasilkan perbahasan dan komunikasi yang baik samada dengan orang beriman mahupun yang tidak beriman akan sesuatu persoalan.

Oleh kerana ia berpaksikan logik dan rasional tanpa bergantung kepada keimanan, maka komunikasi yang logikal dan rasional seperti yang dinyatakankan di atas mudah difahami semua.

Oleh itu ia menjadi alat perhubungan, dakwah dan penerangan yang paling berkesan samada terhadap yang beriman atau yang sebaliknya.

Oleh itu, antara sebab mengapa pimpinan Amanah mampu berkomunikasi dengan baik dengan pimpinan DAP dan juga parti lain kerana Amanah tidak menuntut supaya ‘diimani’ apa sahaja yang di katakan.

Sebaliknya apa yang dikatakan dikupas dan dibentang secara logikal dan rasional sehingga yang baik terserlah kebaikannya dan begitu juga yang buruk untuk semua yang mendengar menilai.

Kata-kata atau hujjah yang dikemukakan tidak perlu ‘diimani’ walaupun diyakini ianya pandangan yang mantap dan tepat. Kerana ia tetap sekadar pandangan.

Dan sekiranya sebaliknya, iaitu sekiranya dibuktikan bahawa pandangan Liew atau sesiapa sahaja, secara logikal dan rasional, adalah lebih tepat, maka Amanah akan tetap sanggup juga menimbangkannya.

Pemimpin bukan qat’iyah

Perlu difahami bahawa yang sering dibahas adalah bukan persoalan aqeedah atau kepercayaan tetapi pendekatan untuk menyelesaikan masalah khusus yang dihadapi rakyat, iaitu persoalan muamalah dan siasah.

Banyak darinya merupakan persoalan ijtihadiyah atau pandangan. Namun semestinya ijtihad itu dipandu dan selari dengan kehendak dan matlamat syariah.

Dan di sini terletaknya kelemahan sebahagian gerakan Islam! Bagi mereka, semua pandangan pimpinan mereka adalah qat’iyah semuanya di mana ia tidak boleh dipertikai atau disoal oleh yang lain. Kerana apa? Kerana ia ‘pandangan ulama’.

Maka dengar dan patuh kerana “ulama adalah pewaris nabi”. Begitulah dilatihnya ahli-ahli mereka dan begitulah dikehendakinya dari pihak lain.

Kalau pandangan ahli sendiri tidak dihormati, apakah mungkin dihormati pandangan pihak lain?

Sedangkan Nabi sendiri membezakan antara pandangan peribadi Baginda (SAW) dan wahyu. Tetapi bagi sebahagian, pandangan ulama dianggap bagaikan wahyu yang wajib diimani!

Kejujuran dalam berpakat


Kejujuran berpakat juga dinyatakan oleh YB Chin Tong sebagai antara sebab utama mengapa DAP selesa berkerjasama dengan Amanah. Amanah dilihat berpegang kepada janji kerana dahulu, apabila pemimpin PAS melanggar janji, mereka yang sekarang ini berada dalam Amanah telah menegur pemimpin tersebut.

Apabila berlakunya peristiwa Kota Damansara, sebagai contoh, setelah bersetuju di semua peringkat ia ditandingi Keadilan, yang berada dengan Amanah sekarang ini telah menegurnya.

Dan begitu juga dalam begitu banyak keadaan dan situasi, apabila PAS melanggar janji, maka yang sekarang berada dengan Amanah jugalah yang telah menegurnya.

Maka bagi Liew, ini adalah bukti kejujuran dalam berpakat. Sedangkan yang lain sekadar berdiam diri dan mengikut sahaja.

Sehinggakan ada seorang Pesuruhjaya Negeri yang ditukarnya selepas muktamar 2013 kerana disyaki atas sebab beliau bersama dalam sidang akhbar menyokong Dr Nasir sebagai calon rasmi Pakatan Rakyat di Kota Damansara!

Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “Orang mukmin berada atas (berpegang pada) janjinya”.

Samada berjanji dengan orang Islam atau yang bukan Islam, janji dipegang dengan tepat. Dan apabila janji dilanggar, maka orang beriman mesti bersuara membantah sambil menjauhkan diri mereka dari pihak yang melanggar janji dan mengutuk tindakan melanggar janji itu.

Ada yang menganggap janji kepada yang bukan Islam boleh dilanggar begitu sahaja kerana mereka bukan Islam. Sikap sebegini bukan dari Islam.

Mungkin ia dari ajaran Yahudi yang menganggap selain berbangsa dan beragama Yahudi adalah manusia yang tidak berhak dan boleh dizalimi mereka?

Kalau dilihat dari sudut ajaran Islam, bertindak khianat terhadap rakan yang bukan Islam adalah dikutuk dan diancam Allah dengan azab seksaan yang amat pedih!

Ini adalah kerana tindakan sebegitu menyebabkan yang bukan Islam terhalang dari melihat kebenaran Islam. Akhlak yang hodoh dan rosak di kalangan orang Islam menjadikan yang bukan Islam lari dari Islam.

Kesimpulan

Sebenarnya apa yang dijelaskan oleh YB Chin Tong bukanlah sesuatu yang pelik. Komunikasi adalah penting dalam semua jenis hubungan, dari hubungan antara dua sahabat sehingga ke hubungan antara organisasi.

Dengan adanya komunikasi yang jelas dan baik maka akan terjalin hubungan yang mantap. Komunikasi antara rakan merupakan bukti saling menghormati kerana yang diinginkan adalah keadaan saling memahami dan bukan dominasi satu pihak atas satu pihak yang lain.

Kedua-dua sifat yang diutamakan YB Chin Tong merupakan aspek yang pernah dipesan Nabi.

Sebagai sebuah parti Islam tiada panduan yang lebih utama selain Al-Quran dan Sunnah Nabi.


Saya yakin sekiranya dua sumber ini terus dipegang sebagai panduan Amanah, maka sokongan terhadapnya akan terus bertambah dan YB Chin Tong sebagai bukti akan kebenaran dakwaan ini.

Saturday, November 7, 2015

DEIG - Azmin Perlu Jawab 3 Perkara, Benarkan Siasatan Menyeluruh


Ini bukan asak sebarang asak. Ini asakan yang dibuat berfaktakan maklumat tepat.

Asakan bukan sahaja menuntut jawapan tetapi juga membenarkan siasatan termasuk oleh Jabatan Audit Negara.

Memang wajar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan ADUN Bebas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Selangor mengenai beberapa perkara meragukan membabitkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Malah Mohamed Azmin Ali juga digesa agar memberi perhatian serius terhadap semua isu yang dibangkitkan mengenai DEIG kerana ia sangat kritikal dan melibatkan soal ketelusan, tanggungjawab, kejujuran dan integriti.

Pada 4 November lalu Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sela­ngor, Budiman Mohd. Zohdi menuntut Azmin memaklumkan kepada sidang DUN Selangor bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi.

Bercakap  dalam sidang media di lobi bangunan Annex, Shah Alam,  ADUN Sungai Panjang itu mempersoalkan tiga perkara mengenai DEIG:

1.     Bagaimana DEIG dan anak-anak syarikatnya yang masih belum beroperasi boleh mendapat  mendapat pinjaman bank;

2.     Apakah pinjaman sejumlah RM 500 juta (setengah billion) itu untuk ‘menyelamatkan’ sebuah anak syarikat kerjaan negeri yang lain; dan

3.     Mana ‘kertas putih’ mengenai DEIG yang sepatutnya dibentangkan pada sidang DUN?

DEIG Land, anak syarikat DEIG ketika itu baru ditubuhkan dua bulan - 19 Mei – tetapi mendapat pinjaman daripada sebuah bank tempatan pada bulan Julai lalu.

Ketika DEIG Land mula ditubuhkan, syarikat itu hanya mempunyai dua lembaga pengarah, iaitu lembaga pengarah yang sama dengan DEIG.

Selain itu, apakah pinjaman yang diperoleh DEIG Land itu  bertujuan untuk melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) terhadap kerajaan negeri?

Azmin memberitahu DUN Selangor, sebanyak RM413.2 juta hutang masih belum dibayar KDEB terhadap kerajaan negeri. Jumlah pinjaman KDEB yang terkini termasuk caj pembiayaan empat peratus setahun ialah RM429.728 juta.

Ia menjadikan hutang KDEB kini sebanyak RM424.728 juta setelah ditolak RM5 juta jumlah yang dibayar sebelum ini.

Bukan Budiman sahaja mempersoalkan status DIEG ini, malah bekas Menteri Besar Selangor semalam turut mempersoalkan tindakan kerajaan PKR Sela­ngor menubuhkan DEIG.

Menurut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, DEIG  mencetuskan pelbagai persoalan dan kontroversi.

ADUN  Pelabuhan Klang itu berpendapat siasatan menyeluruh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Kete­lu­san Selangor (Selcat), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Pi­li­han Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) hendaklah diadakan, terutama isu tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada satu anak syarikat kumpulan tersebut.

Abdul Khalid  berkata, menerusi siasatan itu, Selcat harus membuktikan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau perlanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran berlaku walaupun DEIG telah tampil mengaku kewujudan tawaran pinjaman tersebut yang kemudiannya ditolak.

Menurutnya, isu tersebut tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sepatutnya menjadi satu alasan kukuh bagi Selcat untuk memulakan siasatan.

“Tidak dapat disangkal lagi bahawa wujudnya merit bagi Jabatan Audit Negara untuk menjalankan kajian secara mendalam demi menentukan ke­sa­hihan semua dakwaan yang telah dibuat terhadap DEIG.

“Di peringkat negeri pula, dalam bidang kuasa Selcat atau JP-ABAS untuk menghubungi Bank Negara dan memohon satu siasatan bagi mendapatkan kepastian bagaimana pihak bank komersial boleh menawarkan sejumlah pinjaman yang besar kepada sebuah syarikat (dan anak syarikatnya) yang didakwa masih belum bero­perasi,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam semalam.

Menurutnya, melalui siasatan menyeluruh itu sahaja semua persoalan dan kontroversi itu  dapat diselesaikan.


Budiman berkata beliau dimaklumkan pada 22 Julai 2015, DEIG Land telah menerima daripada kumpulan perbankan utama di Malaysia tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta untuk mengambil alih dan melunaskan hutang KDEB.

Hutang tersebut diluluskan DUN pada 2013 bertujuan bagi membiayai pengambilalihan sepenuhnya pegangan saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) yang gagal menguruskan lebih 7,000 ekar tanah di Selangor bernilai lebih RM6 bilion.

Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah. Semasa permohonan pinjaman bank tersebut dibuat dan diluluskan dengan kedudukan di mana DEIG Land hanya mempunyai dua orang ahli lembaha pengarah dan dua orang pemegang saham.

Selain itu persoalan menarik yang ditimbulkan Budiman ialah, kenyataan Azmin berhubung hutang KDEB itu menunjukkan seolah-oleh kumpulan tersebut tidak mampu menyelesaikan hutang pinjaman itu.

Kenyataan Menteri Besar sebelum ini menggambarkan seolah-olah KDEB tidak mampu menyelesaikan hutang tersebut sedangkan proses mengambil alih pegangan saham dalam KHSB masih berjalan.

"Kenyataan tersebut seolah-olah membawa maksud tersirat dan memberi kepercayaan kepada maklumat yang diterima bahawa DEIG bakal mengambil alih hutang KDEB dengan memindahkan DEIG Land Sdn Bhd - anak syarikat DEIG – terhadap kuasa dan kawalan ke atas bank tanah milik KHSB yang amat bernilai,” kata Budiman.

Berkaitan DEIG ini juga Budiman mempersoalkan ketelusan membabitkan pembentangan kertas putih yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) dalam satu pe­nyata Bil. 48/2015 sebelum ini.

“Bagaimanapun, dalam sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini termasuk pembentangan Bajet Selangor 2016, Menteri Besar tidak menyentuh atau menyebut berhubung pembentangan kertas putih mengenai DEIG.

“Sedangkan, kertas putih tersebut merupakan salah satu daripada syor JP-ABAS. Apakah Menteri Besar tidak menghormati syor jawatankuasa berkenaan atau beliau membuat keputusan menubuhkan DEIG sebelum ini secara bersendirian bukannya secara kolektif?” soalnya.

Beliau berpendapat,  segala operasi dan aktiviti DEIG terutama dengan pihak swasta harus ditangguhkan selagi kertas putih itu tidak dikeluarkan manakala penstrukturan anak-anak syarikat boleh diteruskan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Isu penubuhan DEIG ini  mencetuskan kontroversi apabila syarikat bernilai RM2 itu didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.


Ketika sesi DUN Selangor pada Ogos lalu, beberapa ADUN termasuk daripada DAP turut mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekali gus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.

Monday, April 14, 2014

Perempuan Simpanan Tuntut RM3j - Sudah Sah Bukan Khalid, MB Mana Ya?


Kesian Rahimah bt Kamaruddin, PA Kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tidak pasal-pasal, dia turut menerima tempias daripada berita ‘Perempuan Simpanan Tuntut RM3 Juta daripada Menteri Besar’.

Hingga kini belum jelas siapa Menteri Besar berkenaan.

Rahimah yang memegang jawatan Pegawai Koordinasi Kepada MB Selangor dikatakan sebagai ‘wanita yang menuntut wang sebanyak itu daripada Khalid’.

Bagi seseorang yang kenal Khalid, apalah dengan RM3 juta itu. Dia boleh bayar jumlah itu tanpa perlu Rahimah bising-bising kalau betul Khalid berhutang dengan pegawainya.

Dan jika betul dia mahu berikan Rahimah, lebih daripada itupun dia mampu sebenarnya.

Khalid bukan tidak berharta. Lagipun, tak mungkin dia mahu menjejaskan reputasinya pada ketika menjelang pemilihan partinya.

Itu satu perkara. Satu perkara lagi, tidak logik Rahimah akan membuat kerja seperti itu kepada bosnya.

Dia amat setia kerja dengan Khalid. Soal orang mahu kata apa, itu terpulang.

Bagi Rahimah yang mengenali Khalid begitu lama tidak mungkin akan berbuat sedemikian.

Rahimah pun bukan jenis yang suka ‘membuka rahsia’ kerana jika dia melakukan sedemikian, akan hilanglah mata pencarian dan ‘kemewahannya’ selama ini.


Khalid sendiri pun sudah menafikan tahu menahu mengenai perkara itu kelmarin. Cuma, untuk tidak memanjangkan kontroversi, pegawai akhbar Khalid minta jangan diheboh-hebohkan dan tidak mahu penafian Khalid itu disiarkan.

Menurut Zabidi Saidi melalui facebooknya, beliau mengatakan Menteri Besar Selangor itu tidak tahu menahu mengenai perkara berkenaan.

Cuba sesekali kita ‘percaya’ dengan cakap Khalid. Dia mungkin benar.

Dan jika dia berkata benar, siapa pula MB yang sedang diburu oleh perempuan simpanannya itu?

Ulasan theunspinners beberapa hari lalu menarik untuk dibaca semula.

Tanya unspinners, “Siapa agaknya MB yang ada perempuan simpanan dan dijanjikan kontrak RM3 juta tapi baki RM2.2 million tak dibayar lagi?”

Negeri-negeri yang pakai nama MB adalah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, dan Selangor.

Menurut theunspinners:

MB Perlis terlalu baru dan tak mungkin baru jadi MB dah sempat berperangai dan begitu mudah nak kasi projek.

MB Kedah terlalu sayang isteri dan keluarga yang duduk di KL untuk buat kerja gini. Lagi pun, buat apa dia susahkan diri nak kasi projek RM3 juta.

MB Kelantan pun tak mungkin walaupun dia PAS.

MB Terengganu tak pandai sorok dan selindung, dia kahwin terus dan rumah isteri kedua dia tak jauh dari rumah isteri pertama. Berlaku adil pulak itu.

MB Pahang dikatakan suka berseluruh tapi orang cakap banyak selalu tak buat kerja gini. Projek dia ada untuk kasi tapi dia tak akan mahu susahkan diri. Kalau dia suka, dia kahwin saja lagi.

MB Perak pula tak hensem ... black metal :)

MB Johor pulak tak mungkin lakukan sedemikian atas sebab-sebab tertentu. Tak pernah ada angin cerita dia ada hal dengan perempuan.

Jadi dalam ramai-ramai tu,  siapa nampaknya yang agak-agaknya  PALING BERANI, selain mempunyai mirip atau tendency ke arah menyimpan 'perempuan simpanan' akibat takut untuk berkahwin lagi atau sebab-sebab lain?

Mudah dan sukar...mungkin akan ada pencerahan selepas ini!

Thursday, March 6, 2014

PR Sekat Khalid Tandatangan Perjanjian Air Dengan Pusat


Nasib Memorandum Persefahaman (MoU) perjanjian pengstrukturan semula air di Selangor dan Wilayah Persekutuan kini menjadi tanda tanya selepas pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) semalam mengarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan kerajaan pusat tanpa kelulusan mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khalid perlu menjelaskan beberapa butiran perjanjian MoU serta mendengar pandangan-pandangan daripada Majlis Pimpinan PR sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

"Kita minta Tan Sri Abdul Khalid lebih teliti terutama dalam kenyataannya tentang perjanjian yang bakal ditandatangani.

 "(Khalid) Harus diberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang kesan (perjanjian) kepada Selangor, soal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ditandatangani...kalau lepas tandatangan (penjelasan) tak ada makna dah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur, semalam.

 Hadir sama Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kongres Khas DAP, Anthony Loke.

Anwar berkata, tiga wakil PR telah dihantar untuk mengadakan perbincangan dan menyatakan pandangan mengenai perjanjian air dengan Khalid.

Mereka ialah Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir pada mesyuarat sebelum sidang media diadakan.

"Ketiga-tiga mereka kini dalam perjalanan bertemu Tan Sri Abdul Khalid," katanya. Anwar berkata, ketika sidang media berlangsung, Khalid sedang memberikan taklimat terperinci kepada ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun di Selangor mengenai MoU penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, PR secara dasarnya menyokong rundingan penstrukturan semula air di Selangor dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau juga mengakui tanpa rundingan, kepentingan rakyat Selangor dari segi bekalan air akan terjejas dalam jangka masa panjang. "Tetapi kita juga ada kebimbangan dan faktor-faktor yang perlu dipertimbang "Pandangan bebas perlu dilihat. Ini bukan setakat MOU tetapi perjanjian dikepilkan bersama.

Persefahaman di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu, kita sokong secara prinsipnya," katanya. 

Mengenai MoU tersebut, Anwar mengakui belum melihat kandungannya. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau telah menasihatkan Khalid sebelum ini supaya berhati-hati dalam memeterai perjanjian kerana ia melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Selangor.

Tambahnya, PR tidak bermaksud untuk menyulitkan lagi keadaan.

"Jangan sulitkan lagi keadaan, bukan semua (perkara) kena rujuk (Majlis Pimpinan PR), kita tak pernah ganggu tetapi ini melibatkan manifesto, melibatkan Langat 2.

"Ada beberapa perkara perlu diteliti...peruntukan yang masih lagi samar-samar," tegasnya.

Dalam pada itu Anwar juga memberitahu bahawa beliau telah memaklumkan kepada Khalid supaya meminta tempoh daripada Kerajaan Persekutuan sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu munasabah dalam menetapkan tempoh perjanjian.

"Takkan malam pukul 11 telefon, esok pagi pukul 10 suruh tandatangan dokumen perjanjian yang melibatkan nilai RM9.6 bilion atau 11 bilion," katanya.

Sunday, March 2, 2014

Amanah dan Dedikasi Senjata Khalid Lawan Azmin


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang akan menentang musuhnya, Azmin Ali bagi merebut jawatan nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei, menganggap amanah dan dedikasi dirinya sebagai kekuatan peribadi.

"Saya mempunyai rekod prestasi dalam semua bidang. Saya jujur ​​dan sangat berdedikasi. Paling penting, saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak mempunyai agenda peribadi, "kata Khalid sinis kepada Azmin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden bagi penggal kedua .

Khalid yang ditemui selepas merasmikan Karnival Silat Melayu Selangor, Senjata dan Warisan di Shah Alam hari ini berkata demikian selepas ditanya mengenai kekuatan beliau untuk menentang Azmin yang merupakan sekutu rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid yang mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan parti pada Jumaat memberitahu, beliau tidak akan membincangkan perkara itu sehingga 23 Mac iaitu tarikh pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Anwar yang merupakan penasihat parti itu akan bertanding dalam PRK Kajang bagi membuka laluannya ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Saya hanya membuat pengumuman awal tetapi tidak mahu mengganggu tugas utama parti yang sedang berkempen untuk PRK Kajang," jelasnya.

Ditanya adakah Anwar telah memberikan restu untuk mengambil alih kedudukan Azmin, Khalid berkata penasihat PKR itu memahami usaha yang dilakukan demi mengukuhkan parti.

"Sebagai rakan sekerja parti, dia menggalakkan saya untuk bekerja lebih keras bukan sahaja sebagai pentadbir tetapi juga untuk parti," kata Khalid.

Katanya, keputusan untuk bertanding dibuat atas desakan ramai ahli parti itu sendiri.

"Mereka memerlukan menteri besar yang bukan sahaja boleh mentadbir negeri tetapi juga bertindak dalam parti," luahnya.

Mengenai kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang baru-baru ini bahawa PRK Kajang berlaku kerana pertengkaran dalaman PKR, Khalid menjelaskan, pergaduhan bukan sesuatu yang pelik dalam semua parti politik.

"Jika kamu mahu memberi saya satu contoh politik yang stabil, saya fikir kita masih bernaib baik," kata Khalid sambil menambah bahawa politik Malaysia adalah lebih baik daripada keadaan politik luar yang huru-hara termasuk Thailand, eropah timur , Venezuela dan Mesir.

Mengenai isu air, Khalid mengakui bahawa memorandum persefahaman (MoU) mengenai penyusunan semula industri air negeri tidak boleh ditarik balik seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.

"Ia satu perjanjian yang mengikat kedua-dua belah pihak," katanya sambil memberitahu kerajaan negeri telah meminta perkataan 'tidak boleh ditarik balik' untuk dimasukkan ke dalam MoU itu.

Beliau berkata, selain Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga menganggap MoU itu sebagai komitmen yang perlu dipatuhi.

Muhyiddin pada Jumaat berkata MoU itu tidak boleh dibatalkan walaupun terdapat perubahan dalam kepimpinan Selangor.

Menurut Khalid, sebagai wakil rakyat Selangor, misi kerajaan negeri adalah memastikan bahawa ia diterima demi kebaikan rakyat.

Thursday, February 6, 2014

'Syarikat Kafir Pun Tak Buat Begini...Kita Semua Bukan Binatang"


Daripada teganuku

"Kita semua bukan binatang! kita manusia lagipun kami semua orang Islam. Itu syarikat-syarikat kafir pun tidak akan buat begini."

Demikian kata bekas pengurus kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB), Dr Aliff Aiman dengan wajah yang amat kecewa. Beliau menegaskan, tindakan menamatkan kontrak mereka sebagai tidak adil dan menganiaya golongan profesional yang diambil bagi menaikkan taraf professionalisme Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Siapa bertanggungjawab kepada kami? Adakah ini cara kamu melayan kami?

Beliau berkata demikian di hadapan media selepas mengadakan pertemuan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia MTUC dan Kementerian Sumber Manusia bagi mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap PKNS. 

Semalam PHSB dilapor memecat 30 kakitangannya tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam berkuat kuasa serta-merta.

Kesemua kakitangan PHSB - anak syarikat PKNS - menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa.

Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Bekas ketua bahagian sumber manusia kumpulan PKNS, Rina Sarif yang turut ditamatkan kontrak berkata, 19 pekerja PHSB telah menerima notis semalam manakala baki 19 yang lain bakal menerima nasib sama tidak lama lagi.

Rina berkata kesemua mereka masih mempunyai kontrak antara enam bulan hingga dua tahun yang ditamatkan begitu sahaja. "Saya jadi HR (Sumber Manusia) selama 18 tahun.

Mana ada kontrak yang ditamatkan macam ni. Ini bukan notis pemecatan (termination) 24 jam. Ini serta-merta. Kontrak sepatutnya jaga hidup (livelihood) pekerja. Mana ada kontrak begini," katanya kepada Malaysiakini.
Amat nyata tindakan  PKNS dalam kes ini sangat mudah untuk memberhentikan pekerja apabila merasakan tidak penting buat seseorang atau syarikat.

Apakah sumbangan mereka mereka sebelum ini tidak dapat dinilai dari segi kebaikan dan sumbangan mereka atau bergantung semata-mata kepada 'value for money?'

Benarkah pemberhentian 20 kakitangan kontrak anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) serta-merta pada Selasa bebas campur tangan politik?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan kakitangan PHSB itu.

Katanya, keputusan itu dilakukan sendiri pihak pengurusan PHSB dan menganggap tiada sebarang pemecatan pekerja berlaku melainkan pemberhentian disebabkan mereka tidak melanjutkan kontrak kakitangan terbabit.

"Itu adalah keputusan pengurusan PHSB dan saya percaya pasti ada sebabnya malah pada saya konsep dipecat boleh jadi tiada tetapi konsep tidak diteruskan pelantikan boleh jadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat negeri Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam malam semalam.

Abdul Khalid berkata menerusi nota yang diberikan kepadanya, pihak pengurusan PHSB memaklumkan tindakan itu adalah sebagai langkah untuk menentukan jumlah pekerja yang sesuai dalam organisasi berkenaan.

Ini memandangkan pekerja yang diberhentikan itu adalah pekerja kontrak.

Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyifatkan pemecatan seramai 20 kakitangan anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holding Sdn. Bhd. (PHSB) merupakan langkah perkhidmatan cekap 'value for money'. Keputusan menamatkan kontrak dibuat dalam satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelak pertindihan tugas.

"Perkhidmatan 20 anggota berkenaan di PKNS telah dibuat berperingkat secara kontrak seawal 2010 bertujuan mengisi jawatan dan memperkukuhkan beberapa bahagian baharu di PKNS antaranya pemasaran, strategi dan media, pelaburan serta pengurusan organisasi dan integriti.

"Walaubagaimanapun setelah mengkaji keputusan tersebut, PKNS berpandangan tiada keperluan untuk meneruskan khidmat 20 pegawai tersebut memandangkan kepakaran dan pengalaman yang sama sudahpun sedia ada di kalangan pegawai tetap PKNS," kata kenyataan PKNS hari ini.

Tambahnya, sehubungan itu, PHSB telah membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka menurut terma yang terdapat dalam kontrak masing-masing.

Azis Muda...mereka menjadi mangsa keadaan.
Reaksi kepada pemberhentian itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda meminta supaya penjawat awam tidak dijadikan mangsa kemelut politik.

Cuepacs mendakwa ia dikaitkan dengan isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Azih yang mengulas mengenai 20 kakitangan kontrak anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada Selasa berkata, kemungkinan wujud campur tangan politik sehingga menyebabkan tindakan pemecatan itu.

“Kesemua kakitangan ini hanya menjadi mangsa keadaan. Jika ada masalah lain yang tidak melibatkan pekerja, jangan turut sama heret penjawat awam

Apapun sebab atau masalah yang berlaku, PKNS atau anak syarikatnya perlu melihat dari semua aspek, dalam konteks menyeluruh sebelum membuat keputusan.

Tindakan menamatkan perkhidmatan serta-merta itu adalah tidak adil,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Azih berkata, PKNS sepatutnya mengutamakan kebajikan pekerja yang perlu menyara kehidupan sekeluarga dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. “Ini bukan soal pekerja kontrak atau perkhidmatan cekap atau ‘value for money’, tetapi ini soal kebajikan. Selangor sendiri dikatakan sebagai negeri berkebajikan, utamakanlah kebajikan itu.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya PKNS meneliti semula keputusan menamatkan perkhidmatan kakitangan itu dan memberi peluang kepada mereka untuk menyara kehidupan,” katanya.

Beliau menambah, diharapkan tindakan menamatkan perkhidmatan tidak dijadikan sebagai satu trend melibatkan penjawat awam semata-mata untuk menambahkan keuntungan.

“Sebagai kerajaan atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan), mereka seharusnya berkongsi keuntungan itu dengan mengutamakan kebajikan pekerja,” katanya.

Sebelum ini, Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek ditukar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa serta-merta, berikutan isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 10 Januari lalu.

Wakil pekerja terbabit, Dr Alif Aiman berkata mereka berasa amat terkejut dengan pemecatan itu berikutan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum ini dan menganggap pemberhentian serta-merta itu menganiaya mereka.

"Kejutan yang kami terima semasa hadir bekerja hari ini ibarat penganiayaan malah tiada alasan kukuh. Pemberhentian ini betul-betul menyusahkan kami yang rata-rata pencari nafkah utama keluarga.

"Apa yang kami amat kesalkan adalah sehingga saat ini, kami semua masih tidak tahu mengapa kami diberhentikan sedangkan kami tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap syarikat malah kami sanggup berkorban masa dan tenaga demi membangunkan PHSB," katanya kepada pemberita Selasa.

Dr Alif, yang juga merupakan Pengurus Kanan Pemasaran PKNS, berkata menerusi surat berkenaan mereka hanya dimaklumkan mengenai pemberhentian dibuat selaras dengan perubahan dan hala tuju PKNS dalam menyusun semula organisasi dan sumber manusia termasuk PHSB.

Katanya alasan pihak pengurusan syarikat itu dilihat tidak dinyatakan secara terperinci terutamanya proses penyusunan semula itu sedangkan prestasi PKNS berada dalam kedudukan yang baik malah mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.

"Apa salah kami sehingga diberhentikan serta-merta dan jika ada salah, mengapa tidak diberikan surat tunjuk sebab ataupun adakan siasatan dalaman. Jika kami hilang punca pendapatan begini, bagaimana pula nasib keluarga yang kami tanggung.

"Antara objektif kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat dan kami bekerja keras membantu PKNS menjana pendapatan demi bantu rakyat lain, tapi ini balasan yang PKNS bagi pada kami dan adakah ini negeri berkebajikan yang dicanang kerajaan Selangor," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan pemecatan itu dan berharap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dapat menyatakan sebab pemecatan dan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

Timbalan Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini menganggap tindakan menamatkan kontrak pekerja terbabit sebagai tindakan zalim ibarat negara 'kunta-kinte'.

Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah melanggar Akta Pekerja kerana tidak memberi justifikasi penamatan kontrak justeru melanggar kontrak yang ditandatangani sendiri oleh syarikat dan pekerja.

"Saya difahamkan ada perjanjian kontrak bersamaan seksyen 10 (Akta Pekerja) yang wajib diikuti tak kira siapa pun. Pihak PKNS telah melanggari Seksyen 12 iaitu pelanggaran kontrak," katanya yang juga MP Kuala Langat.

"Ini bukan negara 'kunta-kinte'. Perlu ada undang-undang sebelum berbuat sesuatu," kata beliau lagi di hadapan pejabat Kementerian Sumer Manusia hari ini.

Sementara itu PKNS dalam kenyataan hari ini menafikan memecat sebaliknya hanya 'memulangkan' semula sejumlah 20 anggota PKNS Holdings kembali kepada anak syarikat perbadanan itu.

Ia hanya satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelakkan pertindihan tugas selaras dengan polisi tadbir urus PKNS yang mengutamakan perkhidmatan cekap.

Nota - Sebahagian bahan daripada hambali1

Monday, February 3, 2014

Zul Nordin Beri Nasihat Percuma Kepada Khalid Ibrahim...


Oleh Zulkifli Nordin

Selepas sah diumum yang Anwar Ibrahim dipilih menjadi calon PKR untuk Pilihan Raya Kecil Dun N.25 Kajang (walaupun SPR belum pun buat pengumuman kekosongan kerusi) barulah saya faham mengapa isu PKNS tercetus, mengapa Khalid Ibrahim diserang bertubi-tubi oleh partinya sendiri tanpa belas-ihsan; kenapa kes cerai fasakh Nurul Izzah didedahkan; mengapa kerusi Dun Kajang dikosongkan tanpa sebab dan kenapa Umno/ BN didendangkan dengan Pelan Damai Nasional!

Ada kopi disebalik karipap rupanya yop!

Sejarah berulang - Kes Saiful Bukhari menghantui Anwar

Teringat saya selepas PRU12 tahun 2008 dahulu.

Setelah memenangi kerusi Kulim Bandar-Baharu pada 08.03.2008, berlaku satu insiden yang sangat menakutkan Anwar.

Pada 28.06.2008, Saiful Bukhari Azlan, pembantu peribadi Anwar membuat lapuran polis dia diliwat oleh Anwar pada 26.06.2008.

Ketakutan Anwar masa itu memang agak luar biasa!

Saya tidak bercadang menceritakan secara terperinci apa yang saya sendiri lihat masa itu. Itu lain kali jika perlu.

Tetapi cukup sekadar memberitahu bagaimana Anwar pergi menyembunyikan diri di rumah Duta Turki pada 29.06.2008.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada masa itu ialah Anwar meminta perlindungan kerana ada 'cubaan mahu menembak Anwar'!!!

Anwar baru sahaja bebas daripada penjara pada 02.09.2004 setelah menjalani hukuman 6 tahun penjara di Penjara Sg. Buloh setelah disabitkan pada 14.04.1999 dengan kesalahan menyalahgunakan kuasa sebagai TPM mengarahkan Cawangan Khas PDRM mendapatkan Akuan Bersumpah palsu daripada Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar (pemandunya) yang mendakwa diliwat oleh Anwar pada bulan Mac 1993 di Tivolli Villa.

Anwar tahu kalau dia diheret ke mahkamah dan dikenakan pertuduhan dan disabitkan kesalahan meliwat Saiful, hukuman penjara melebihi 6 tahun menanti beliau.

Segala harapan dia nak menjadi PM akan hancur berkecai; malah pada umur senja, dia mungkin reput dalam penjara!

Salah satu strategi yang dirangka pada masa itu ialah untuk memastikan Anwar menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang; dan dicanangkan kemungkinan Anwar akan menjadi PM melalui konspirasi 16.09.2008.

Dengan 81 Ahli Parlimen dibelakang beliau, dengan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, kemungkinan untuk Anwar disabitkan kesalahan meliwat Saiful agak tipis.

Mana mungkin Anwar akan dihukum penjara. Satu dunia akan bising. Amerika akan bising. Turki akan bising. IPU akan bising. UNHRC akan bising. Amnesty International akan bising. Dan kita ada kerajaan yang takut dengan bunyi bising di luar!

Jadi perancangan untuk melaksanakan agenda itu dimulakan dengan mengenal pasti kerusi mana Anwar hendak bertanding.

Teman yang pada masa itu penuh dengan semangat dan ketaatan mengkhinzir buta telah menawarkan kerusi Parlimen Kulim Bandar-Baharu.

Namun kerja ALLAH tidak siapa dapat mengatasinya.


Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar terhadap kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu menyebabkan kerusi itu tidak dapat dikosongkan mengikut perancangan.

Lalu Wan Azizah isteri tercinta, Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh terpaksa mengorbankan kerusinya demi 'kesejahteraan PKR'.

Dan Anwar memenangi PRK P-044 Permatang Pauh pada 26.08.2008. Setelah mengangkat sumpah pada 28.08.2008, Anwar dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Setelah melalui proses perbicaraan yang meleret-leret dengan jumlah penangguhan yang melayakkan kes dimasukkan kedalam Malaysia Book of Record, pada 10.01.2012, Mahkamah membebaskan Anwar daripada dakwaan meliwat Saiful!

Sekarang Anwar berdepan dengan rayuan kes Saiful.

Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat ini (iaitu 11, 12 & 13 Februari); dan sekali lagi Anwar berdepan dengan risiko hukuman penjara yang panjang jika Mahkamah menerima rayuan Pendakwaraya.

Dan kali ini Pendakwaraya diwakili peguam veteran terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam no-nonsense yang diperakui kehebatan guamannya!

Risiko dipenjarakan menjadi real; risiko impian menjadi PM ke 7 hancur lebur menjadi real; dikala umur 67 tahun dan sudah masuk waktu kubur kata mari, Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang.

Ianya mesti dipintas at all cost!

Siapa yang berani mahu menghukum penjara seorang menteri besar yang berpengaruh atas tuduhan meliwat?  
Siapa yang berani berdepan dengan masyarakat dunia liberal barat sebagai pemimpin negara yang menghukum MB Selangor dengan tuduhan meliwat?

Siapa yang berani nak berdepan dengan kuasa besar Amerika Syarikat?


Siapa mahu berdepan dengan Erdogan dan Turki? Siapa nak berdepan dengan Amnesty International, Human Rights Commission dan negara liberal Eropah yang lain - yang mengamalkan seks bebas terbuka termasuk membenarkan homoseksual!


Matlamatnya - Anwar mesti jadi MB Selangor at all cost untuk memastikan Penjara Sg. Buloh bukan destinasi terakhir Anwar di muka bumi ini! 


Tan Sri Khalid penghalang


Tapi Tan Sri Khalid Ibrahim ada di sana sebagai MB.

Beliau mendapat sokongan penuh DAP; masyarakat peniaga dan korporat Cina dikatakan menyukai cara pentadbirannya yang dikatakan business-friendly, efficient & corrupt free Menteri Besar!

Pas pula tidak senang dengan pendirian Anwar yang liberal, yang menyokong penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian yang bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura Pas\

Dan Khalid bukan jenis yang akan tunduk na'am kepada semua kehendak Anwar. Walaupun beliau diketepikan sebagai Ketua Perhubungan PKR Negeri Selangor, beliau masih lagi berpengaruh.

Bila Anwar menghantar Saifudin Nasution sebagai Liason Director antara pejabat MB dengan PKR, Khalid memperlekehkan perlantikan tersebut dengan menyumbat Saifudin di Tingkat 5 dan 'kami boleh berhubung dengan email' - begitu Khalid memperlekeh duta Anwar ke pejabat MB.

Khalid tahu kekuatannya terletak kepada perlindungan dan pengaruh Presiden, Datin Seri Wan Azizah. 

Selagi Wan Azizah menyokongnya, Anwar dan konco-konconya tidak akan berani melakukan sesuatu terhadap Khalid.

Sebab itu Faekah Husin, panglima kanan Wan Azizah, wanita besi yang paling dibenci oleh segelintir kumpulan anti-Khalid di dalam PKR dilantik memegang beberapa portfolio berpengaruh dan berkuasa di dalam pejabat MB.

Beliau bukan sahaja (bekas) Setiausaha Politik dan Pegawai Khas MB, beliau juga Pengerusi MBI, badan korporat paling berpengaruh dalam negeri Selangor dengan kekuatan dana yang besar!

Saya kenal Faekah Hussin ini. Beliau adik bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Zaki Hussin. Beliau jenis no-nonsense; dan saya cukup yakin beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyundal dan merampok khazanah Negeri Selangor.

Dan Faekah ini jenis tidak gentar dengan sesiapa - almaklumlah dia seorang peguam! Ini antara punca saya percaya Faekah menjadi begitu tidak terkenal, malah dibenci oleh segelintir mereka dalam PKR yang anti Tan Sri Khalid!

Lalu bagaimana nak pastikan Wan Azizah, dan Faekah, tidak lagi melindungi Khalid?

Check-Mate terhadap Wan Azizah dan Nurul Izzah

Tiba-tiba terbongkar kisah juicy permohonan perceraian fasakh oleh Nurul Izzah, anak sulung Wan Azizah dengan suaminya, Raja Ahmad Syahrir.

Sebenarnya permohonan sudah difailkan lama, dan tiada sesiapa pun mengetahuinya kecuali peguam, mahkamah dan beberapa inner-circle dalam PKR.

Tiba-tiba Ahad 26 Januari lepas, berita permohonan perceraian itu terbongkar.

Ada sumber dalaman PKR telah mendedahkannya kepada para blogger dan media arus perdana.

Malah ada yang menerima transkrip terperinci sebab-sebab permohonan perceraian itu dimohon oleh Nurul Izzah, termasuk gambar seorang jejaka yang agak 'jambu' turut disebarkan.

Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan rising star di dalam PKR.

Malah beliau pernah menyatakan hasrat menentang orang kanan Anwar Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan lalu.

Beliau penyokong kuat ibunya Wan Azizah dan Khalid Ibrahim. Sebarang sokongan terbuka daripada Nurul Izzah, disertai sokongan terbuka ibunya Wan Azizah terhadap kepimpinan Khalid sebagai MB akan menyukarkan sebarang cubaan untuk menjatuhkan Khalid.

Jadi Wan Azizah dan Nurul Izzah harus dikekang!

Pembongkaran kes permohonan cerai fasakh oleh Nurul Izzah dengan segala kisah sensasinya menjadi check-mate terhadap Wan Azizah dan Nurul Izzah.

Bagaimana mungkin sekarang Wan Azizah dan Nurul Izzah mahu memberikan sokongan terbuka kepada Khalid - pasti mereka akan dicemuh supaya pergi urus hal rumahtangga engkau sendiri lah!

Lalu Khalid terkonteng-konteng keseorangan, tanpa sokongan Presiden dan Naib Presiden, tanpa sebarang jawatan dalam parti.

Hanya tinggal DAP dan Pas menjadi sandaran akhir Khalid!

Strategi menggusarkan DAP-Pas Tiba-tiba muncul pula isu tuntutan untuk terus mengguna-pakai kalimah ALLAH dalam upacara keagamaan kristian di gereja-gereja mereka di Selangor. Pelik! Hanya di gereja-gereja di Selangor, tidak di Pulau Pinang!

Dalam keadaan mereka sudah pasti tahu Selangor mempunyai Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam.

Bila isu rampasan bible versi Bahasa Melayu yang menyalah-terjemahkan kalimah ALLAH tercetus dan Jais melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang dan merampas bible-bible tersebut, ruang terbuka luas untuk Khalid diserang. Kesempatan ini diambil untuk menakutkan DAP.

Sikap Khalid tiba-tiba membuat kenyataan menyokong titah Tuanku Sultan Selangor melarang penggunaan kalimah ALLAH dan akan terus akur dengan titah itu sudah pasti menggusarkan parti cauvinis DAP ini.

Sikap ini sudah pasti akan mengendurkan sokongan DAP kepada Khalid.

Diwaktu yang sama, tindakan Khalid mengarahkan Jais mengembalikan bible yang dirampas menyebabkan ada penentangan daripada Pas.

Kenyataan Exco Hal Ehwal Islam daripada Pas, YB Solehin Mukhyi dilihat tidak senada dengan kenyataan Khalid.

Saya cukup pasti faktor ini akan digunakan sepenuhnya untuk menakutkan elemen-elemen di dalam Pas Selangor.

Kononnya kalau dibiarkan Khalid terus menajdi MB, Pas akan hilang lebih banyak kerusi dalam PRU nanti, sebab orang Melayu benci! Ini akan pasti menyebabkan Pas berfikir dua tiga kali untuk terus menyokong Khalid!

Akhirnya dengan strategi yang cukup licik dan holistik, Khalid terkonteng-konteng keseorangan. Kali ini Khalid benar-benar terjebak.

Dia sudah tidak boleh lari.

Peletakkan jawatan YB Lee Chin Cheh dan pengosongan kerusi Dun Kajang sekadar pelengkap kepada konspirasi menjatuhkan Khalid dan menobatkan Anwar Ibrahim sebagai MB.

Malah kemungkinan YB Chin Cheh sendiri tidak menyedari permainan politik puak-puak ini!

Pelan Damai Nasional' memerangkap Umno

Dan untuk memastikan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, maka ditawarkan kepada Umno dan Barisan Nasional 'Pelan Damai Nasional'! Ini lawak senario abad ini.

Bagaimana mungkin parti yang cacamerba penuh dengan percakaran dalaman dengan begitu sardin mengemukakan 'Pelan Damai Nasional'.

Saya ingat Saiful Apek boleh mati ketawa tertelan gigi palsu mendengar berita ini.

Jika Umno/BN menerima pelan ini, saya cukup yakin nanti akan timbul desakan supaya Umno/BN membuktikan keikhlasan dengan tidak meletakkan calon bagi PRK N.25 Dun Kajang ini.

Sekali gus memberikan Anwar laluan-percuma untuk menjadi Adun Kajang dan selayaknya ditabalkan sebagai MB Selangor yang baru menggantikan Tan Sri Khalid. Kalau Umno/ BN termakan dengan taktik ini, saya kira tidak ada ayat lagi nak diberi kepada Umno/ BN selain daripada melafazkan innalillah hiwa inna ilai hiro ji'un kepada Umno/ BN.

Nampak sangat Umno/ BN bekerja keras untuk menjadi pembangkang dalam PRU14 nanti.

Dan jika ditakdirkan berlaku PRK N.25 Kajang, saya menasihatkan Umno meletakkan calon Umno disitu.

Saya percaya dengan calon Umno yang berkaliber dan punya integriti dan kewibawaan, Umno punya peluang cerah memenangi kerusi Dun Kajang.

Jangan dibiar hak demokrasi rakyat Selangor diliwat dengan begitu mudah oleh para peliwat democrazy ini.

 Taktik akhirul kalam - videoklip 

 Saya menerima maklumat jika semua perancangan ini gagal, atau pun jika rancangan ini memerlukan satu water-tight ending, maka sebuah videoklip yang diambil daripada sebuah sudut yang agak tinggi di sebuah kediaman akan disebarkan.

Apa video itu...tunggu dan lihat!

Rumusan dan opsyen buat Tan Sri Khalid

Persoalan cepumas sekarang ialah: adakah riwayat Khalid sudah berakhir!

Belum. Jangan write-off Khalid cepat sangat. Beliau seorang tokoh korporat, beliau sudah biasa dengan taktik dan maneouvre seperti ini. Khalid sekarang ada beberapa opsyen:

1. Khalid boleh buat keras kepala dan terus kekal sebagai MB. Tiada sesiapa pun boleh menggugat kedudukannya. Kalau Khalid memilih opsyen ini, Anwar tidak ada pilihan selain meminta Dun Selangor memanggil sidang tergempar membuat usul undi tidak percaya kepada Khalid. Untuk itu Anwar memerlukan sokongan penuh Adun DAP dan Pas selain Adun PKR sendiri. Atau dalam keadaan ekstrim, Anwar boleh mengarahkan semua Adun PKR tidak menyokong Khalid. Ini akan menjadikan satu suasana Dun tergantung. Tetapi ini semua belum tentu berjaya; dan kalau berjaya pun Anwar akan dilihat sebagai aggressor yang tamak mahukan jawatan sehingga menganiaya dan mengkhianati MB sendiri!

2. Khalid boleh mempengaruhi kesemua Adun PKR, DAP dan Pas untuk terus menyokong beliau dengan mengadakan undi kepercayaan dalam Dewan. Tetapi ini juga mempunyai risiko kerana tidak mungkin Adun PKR akan menyebelahi beliau;

3. Khalid boleh membuat pakatan dengan Adun BN, dengan syarat dia boleh membawa jumlah Adun yang cukup menyokongnya untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan, dan dia terus menjadi MB. Ini juga opsyen yang mempunyai risiko yang tinggi kerana Khalid akan sentiasa duduk di bawah ugutan dan tekanan Adun-Adun ini;

4. Atau Khalid boleh mengambil opsyen menelan sahaja apa yang berlaku. Terima sahaja takdir masanya dah berlalu, dah tak ada rezeki. Lantak pi lah siapa pun nak jadi MB. Elok pencen jaga cucu duduk kat masjid bilang buah tasbih; cari pahala sikit; atau

5. Opsyen terakhir dan paling realistik untuk Khalid sekarang ialah membubarkan Dun Selangor. Sebagai MB, hanya beliau, dan tidak ada orang lain dalam dunia ini, yang mempunyai hak legal dan politikal untuk menasihatkan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan Dun Selangor. Beliau boleh menggunakan alasan bahawa hak demokrasi rakyat Selangor untuk menentukan kepimpinan Kerajaan Selangor yang baru harus dihormati.

Sekiranya beliau digulingkan dengan cara democrazy pintu belakang luar tabi'e ini, maka apa yang terjadi sebenarnya ialah hak demokrasi rakyat Selangor telah diliwat melalui kaedah politiking pintu belakang akibat mainan politik luar tabi'e pihak tertentu!

Dan jika Tuanku Sultan Selangor memperkenankan sembahan beliau, Dun Selangor boleh dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri Selangor wajib diadakan dalam tempoh 60 hari.

Khalid boleh mengadakan kerjasama-strategik dengan Umno-BN untuk menawan semula Selangor dengan syarat beliau kekal menjadi MB.

Saya percaya Umno/BN terbuka dalam menimbang kerjasama-strategik ini.

Apa yang penting ialah hak demokrasi rakyat Selangor tidak dicabul sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak bertanggungjawab!

Apa pun, hayat-politik Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor sudah hampir ke penghujungnya.

Malaikat sakarat-politik sedang menunggu di pintu Bukit Malawati.

Tetapi Khalid boleh menukar destinasi politiknya jika bijak mengatur langkah.

Nasihat saya kepada Tan Sri Khalid, baca dan perhalusi sejarah bagaimana Allahyarham Tun Gafar Baba jatuh terkangkang akibat mainan politik luar tabi'e ini. Pisau ditangan Tan Sri, timun pun ditangan Tan Sri.

Buat apa yang Tan Sri patut buat untuk memastikan hak demokrasi rakyat Selangor terus terpelihara, dan maruah Tan Sri dipertahankan!

 Wallahua'alam dan Wassalam.