Friday, March 19, 2010

JP KELANTAN SETIA KEPADA SULTAN DAN PEMANGKU RAJA KELANTAN

Semua anggota Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan Khamis melahirkan sokongan dan menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Naib Presiden 1 majlis itu, Dr Mohd Kaisan Ab Rahman, berkata kenyataan itu dikeluarkan bagi menyatakan kesetiaan agar suara rakyat Kelantan didengari.

Sebelum ini, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Kelantan mengeluarkan kenyataan hampir sama melahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Al-Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

"Kami ingin memohon ampuni perkenan Pemangku Raja Kelantan yang mempunyai kuasa ataupun hak sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Perlembagaan Kelantan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di Pengkalan Chepa.

Menurutnya, majlis itu mahu Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menerusi bidang kuasanya mengambil tindakan tegas untuk menegakkan Perlembagaan selepas diberi mandat di bawah artikel 22A 1 (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Ke 2 bagi menghentikan kemelut yang berlaku supaya perlembagaan itu terus dihormati.

Selain itu, tindakan tegas juga patut diambil terhadap mana-mana pihak dan individu yang mengambil kesempatan di atas situasi semasa sehingga menjejaskan nama baik institusi kesultanan Kelantan.

"Kami juga mahu (Pemangku Raja Kelantan) mengambil tindakan sewajarnya agar kesihatan Tuanku Al-Sultan terjaga dan diberi rawatan oleh doktor-doktor pakar yang bersesuaian dengan penyakit dan mendapatkan rawatan lanjut di mana-mana hospital kerajaan dalam negara.

"Dan jika perlu, memberi kuasa dan mandat kepada panel perubatan bagi menilai dan membuat pemeriksaan lanjut dan tepat ke atas baginda dan membuat laporan tepat mengenai status keadaan kesihatan Sultan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Kaisan menggesa seluruh rakyat negeri ini turut memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja agar baginda dapat melaksanakan tugas dengan tanggungjawab yang diamanahkan sebagaimana perlembagaan bagi memastikan seluruh rakyat Kelantan dapat hidup dengan aman dan damai.

No comments: