Friday, March 19, 2010

TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP THE SUN

Pesiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar The Sun yang disifatkannya mempunyai niat jahat untuk memburuk-burukkan nama beliau.

Katanya, laporan akhbar itu semalam yang menyatakan kononnya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menasihati beliau supaya mengurangkan sikap ultra Melayunya adalah tidak benar.

"Dakwaan ini ternyata menjejaskan maruah dan nama baik saya kerana saya tidak bersifat sedemikian. Pemandu saya sejak 16 tahun lalu adalah seorang India," katanya di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin, akhbar itu turut melaporkan bahawa Perkasa mengedar kad jemputan untuk menghadiri mesyuarat agung pertubuhan itu yang menyatakan akan dirasmikan oleh Sultan Selangor tanpa perkenan dan jawapan rasmi daripada baginda.

Sambil menyangkal dakwaan kononnya beliau bersifat perkauman, Ibrahim berkata, beliau adalah seorang nasionalis patriotik yang berpaksikan kepada amalan sebagai seorang Islam yang baik.

"Kalau saya bercakap pasal Melayu dan Bumiputera sekalipun ia adalah dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi yang harus diperjuang oleh semua pihak tanpa mengira kaum," katanya.

Ibrahim berkata, mesyuarat agung pertama Perkasa akan diadakan seperti dijadualkan pada 27 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, Sultan Selangor tidak dapat berangkat untuk merasmikan mesyuarat itu atas sebab tertentu.

Beliau menjangka lebih 10,000 orang akan menghadiri mesyuarat itu yang akan membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan Melayu.

No comments: