Saturday, March 20, 2010

Pejabat Sultan Kelantan pertikai kesahihan kenyataan

Pejabat Sultan Kelantan semalam mempertikai kesahihan kenyataan yang dikeluarkan semalam berhubung titah Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra mengenai sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-60 pada 30 dan 31 Mac nanti.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad Abdul Halim berkata, kesahihan kenyataan itu dipertikaikan kerana pihak istana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan tiada pelantikan jawatan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

"Sepanjang pengetahuan Pejabat Sultan jawatan Setiausaha Sulit kepada Sultan itu masih kosong,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) Kelantan, Datuk Ismail Mohd Noor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan), Shafie Ismail.

Dalam kenyataan pengisytiharan yang dibaca oleh Wan Hashim semalam, beliau berkata, Sultan Kelantan menitahkan bahawa semua acara sempena Perayaan Hari Keputeraan baginda ke-60 pada tahun ini tidak diadakan kecuali majlis solat hajat dan doa selamat sahaja yang melibatkan seluruh rakyat jelata setiap masjid di negeri ini.

Kenyataan itu juga menyebut, Sultan Kelantan sama sekali tidak memperkenankan pengurniaan gelaran kebesaran serta pingat-pingat kemuliaan di bawah perkara 43, Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.

Abdul Halim berkata, kenyataan yang dikeluarkan Wan Hashim dalam media hari ini adalah mengelirukan dan tidak benar kerana Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra yang dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan oleh Majlis Perajaan Negeri pada 24 Mei tahun lalu mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan jawatan itu.

"Untuk makluman, segala urusan diraja diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan yang sentiasa patuh dan taat setia kepada Sultan dan Pemangku Raja. Pejabat ini juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan pihak kerajaan,” katanya.

No comments: