Friday, March 19, 2010

TIADA ACARA SEMPENA HARI KEPUTERAAN SULTAN KELANTAN KE-60

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra menitahkan semua acara sempena perayaan hari Keputeraan Sultan Kelantan yang ke-60 tidak dilangsungkan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud berkata tiada acara diadakan sempena hari keputeraan kecuali majlis solat hajat dan doa selamat yang mana melibatkan penyertaan seluruh rakyat jelata di setiap masjid dalam negeri Kelantan.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Sultan tidak memperkenankan pengurniaan gelaran dan kebesaran serta mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan di bawah Perkara 43, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan," katanya kepada pemberita dengan membacakan teks kenyataan media mengenai Pengisytiharan Istana Kelantan.

Katanya baginda telahpun menghantar surat memaklumkan keputusan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Feb lalu.

Baginda juga telah menitahkan perkara itu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri," kata Wan Hashim.

No comments: