Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu kesal dengan tindakan pihak
tertentu mempersoalkan kewibawaan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
mengaitkan Muhyiddin dengan kepincangan yang berlaku dalam PPBM di peringkat
kebangsaan dan Perak.
Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris menegaskan,
pihaknya mengutuk dan menolak sebarang perbuatan mensabotaj kepimpinan serta
menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan juga timbalannya, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir bagi membawa parti ke arah yang lebih teguh dan cemerlang.
Beliau mendakwa, pihak yang mendatangkan suasana tidak
selesa dalam parti adalah pemimpin di peringkat negeri dan bahagian tertentu
yang tidak berpuas hati disebabkan tuntutan mereka bersifat peribadi tidak
dilayan.
“Sewajarnya kita sebagai ahli dan pemimpin bawahan
menghormati dan memahami arah dan matlamat kepimpinan atasan, bukan mengkritik
secara terbuka.
Kenyataan Razali di Sinar Harian semalam. |
“Sebarang pendapat atau pandangan kedua perlu dikemukakan
dan dibincangkan pada mesyuarat dalaman parti, bukan mengkritik secara terbuka
dan menggunakan media bagi mencari populariti diri,” katanya kepada Sinar
Harian, di Kuala Terengganu.
Razali berkata sebagai mengulas mengenai Ketua Pendaftar PPBM
Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar kononnya seluruh bahagian PPBM Perak membuat
desakan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan ekoran kepincangan di peringkat
kebangsaan dan Perak.
Azrul Suhadi juga didakwa turut menyatakan Muhyiddin
tidak pernah ikhlas kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyokong
dan pendokong parti.
Mengulas lanjut, Razali menolak dakwaan berhubung sikap
tidak ikhlas Muhyiddin sambil menyifatkan ia bertujuan memecahbelahkan parti
dengan sengaja.
Jelasnya, berdasarkan kenyataan ditunjukkan oleh 3M atau
Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, ternyata ketiga-tiganya menunjukkan semangat
setia kawan dan persefahaman padu dalam meningkatkan maruah dan perjuangan
parti.
“Tuduhan bahawa sepanjang masa Tan Sri Muhyiddin
‘menangguk di air yang keruh’ dengan mengambil kesempatan di atas populariti
Tun Mahathir bagi mencatur parti adalah pandangan cetek dan dipengaruhi akal
yang sempit dan berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, dakwaan yang mengaitkan Muhyiddin mahu
bersekongkol dengan PAS disifatkan tuduhan untuk memperkecilkan usaha bertujuan
memenangi pilihan raya.
Sedangkan sebagai presiden parti katanya, Muhyiddin sudah
tentu arif dalam membentuk formula dan hala tuju parti untuk menang pilihan raya.
“Semua pihak perlu bergerak secara berpasukan dan
meletakkan nilai serta situasi menang-menang untuk kestabilan parti,” katanya.
No comments:
Post a Comment