Sunday, April 4, 2010

KELANTAN DAPAT SEKOLAH VOKASIONAL


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama sebahagian daripada pelajar miskin yang menerima bantuan wang ihsan selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah I, Machang semalam. Ia merupakan antara rangka lawatan kerja seharinya ke negeri itu.

Kelantan bakal mendapat sebuah Sekolah Menengah Vokasional (SMV) baru yang bakal dibina di Pasir Puteh di bawah RMK-10.

Seramai 800 pelajar akan dapat mengikuti pengajian di SMV di tapak seluas 98 hektar ini nanti yang diharap mampu melahirkan pelajar berwawasan untuk generasi muda masa depan.
Demikian ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan Gala Ko-Kurikulum Peringkat Kebangsaan 2010 di Pusat Ko-Kurikulum Kem Tangok, Bachok semalam.
Mengenai pengurangan peruntukan buat Kementerian Pelajaran ekoran kesan kegawatan ekonomi global, beliau berkata ia sama sekali tidak menjejaskan aktiviti ko-kurikulum pelajar di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata kementerian itu sama sekali tidak akan meminggir keperluan pelajar, agar perkembangan mereka selari dengan aspirasi meningkatkan mutu pendidikan seterusnya merealisasikan hasrat pemupukan ke arah perpaduan kaum.

"Aktiviti ko-kurikulum adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat, bermula di peringkat sekolah apabila semua pelajar berbilang bangsa dan agama dapat bersama-sama dengan satu semangat perpaduan.

"Walaupun dengan perlaksanaan langkah penjimatan, kerajaan yakin ia tidak akan menjejaskan hasrat untuk mewujudkan negara yang harmoni," katanya pada majlis berkenaan.
Lebih 5,000 pelajar, guru dan pemimpin masyarakat hadir pada majlis itu yang turut dihadiri isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran akan terus menambah bilangan pusat ko-kurikulum di setiap daerah dalam negara secara berperingkat, dan sehingga kini 34 pusat itu sudah mula beroperasi.

"Saya lihat minat pelajar terhadap aktiviti ko-kurikulum semakin bertambah dan ini menggambarkan minat dan kecenderungan pelajar menyertai aktiviti seperti ini," katanya.

Menurutnya Kementerian Pelajaran akan turut memperkenalkan pelbagai kaedah baru, terutama di sekolah-sekolah vokasional bermula awal Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menjadi seorang usahawan.

"Sebagai contoh mereka akan terbabit dalam bidang pertanian, aktiviti yang dikira sebagai aktiviti ko-kurikulum, mereka kemudiannya akan memasarkan hasil itu sendiri sebagai hasil tabungan kepada sekolah bagi meningkatkan aktiviti ko-kurikulum," katanya.

No comments: