Showing posts with label Budiman. Show all posts
Showing posts with label Budiman. Show all posts

Thursday, September 29, 2016

Isu Caj TNB Tinggi - Tahniah Budiman Kerana Membela Rakyat...


Ramai pelanggan merungut dan tidak berpuas hati dengan Tenaga Nasional Berhad apabila caj yang diterima terlalu tinggi.

Ia  berlaku sejak proses menaik taraf sistem pengebilan pada 21 Julai 2016 dilaksanakan.

Terima kasih kepada Ahli  Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zuhdi kerana menimbulkan isu bil (TNB) yang  tinggi.

Beliau juga memberi amaran suaya isu ini diselesaikan dalam masa sebulan dan sekiranya gagal, akan bertindak lebih jauh.

Walaupun tidak menyatakan apa jenis tindakan tetapi berjanji akan membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi.

Menurut laporan, Budiman menimbulkan beberapa  perkara berkaitan isu ini:

1.      TNB perlu bertanggungjawab dan menyelesaikan rungutan rakyat susulan isu bil lewat dan caj tinggi akibat proses menaik taraf sistem pengebilan baharu;

2.      TNB tidak sepatutnya menggunakan alasan menaik taraf sistem pengebilan baharu untuk mengenakan caj tinggi kepada pelanggan;

3.      TNB perlu mengambil langkah proaktif dan lebih prihatin dengan tidak memotong bekalan elektrik pelanggan sepanjang proses menaik taraf itu berlangsung; dan

4.      TNB menyediakan rebat khas supaya mengurangkan keresahan rakyat.”


Beliau memperkatakan isu ini selepas menerima banyak aduan daripada pelanggan yang tidak menerima bil elektrik secara konsisten, tetapi tiba-tiba apabila bil sampai, cajnya sangat tinggi.

 “Kami mendesak TNB membenarkan bayaran bil dibuat secara ansuran kerana rakyat tidak menerima bil daripada secara konsisten, tiba-tiba dapat jumlah tinggi.

“Kami juga minta TNB menyediakan rebat khas supaya mengurangkan keresahan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas tampil menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi TNB Selangor di Subang Jaya hari ini.

Budiman berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan TNB dan syarikat itu memberi jaminan akan menyelesaikan isu menaik taraf dalam tempoh sebulan.

Maklum balas TNB dikatakan sangat positif.

Bagaimanapun, kata Budiman, sekiranya isu ini tidak selesai dalam tempoh sebulan seperti dijanjikan beliau akan membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi.

TNB dalam kenyataannya mengakui proses menaikkan taraf sistem pengebilan 8.5 juta pelanggan itu menimbulkan beberapa isu kerana ia melibatkan penghijrahan data yang besar.

Berikutan itu,  pelanggan yang belum menerima bil pada Julai dan Ogos 2016 tidak akan dikenakan penalti bayaran lewat, malah turut memberi jaminan bekalan elektrik tidak akan dipotong.

“TNB juga sedang mengambil segala langkah yang perlu bagi menangani cabaran itu dan akan menyelesaikannya menjelang akhir November 2016,” katanya.

Sekali lagi syabas Budiman!

Sunday, June 5, 2016

Budiman Kata PAS Berebut ‘Hati Azmin’, Mujahid Pula PAS Tengah ‘Mabuk’


Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi menganggap PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai dua kekasih yang bergelut untuk merebut 'sekeping hati' yang sama.

Kata ADUN Sungai Panjang itu, keadaan berkenaan menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bingung dan "pening kepala".

Pada masa sama, Budiman menganggap PAS yang akan menentangnya dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini sebagai "kekasih gelap" Azmin.

Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa pula menuduh parti lamanya PAS, jadi mabuk dengan perkauman UMNO dan mengetepikan kepercayaan parti terhadap universalisme Islam.

Mujahid berkata bapanya, Yusof Rawa, pengasas PAS menegakkan prinsip Islam sepanjang hidupnya.

Bagaimanapun, PAS kini menjadi perkauman selepas “mabuk dengan doktrin UMNO, kenyataan perkauman dan fitnah terhadap masyarakat Cina dan DAP”.

Kenapa Budiman anggap PAS kekasih gelap?

"Pada masa yang sama dia (Azmin yang mewakili PKR) ada 'isteri' yang bernama PAS. Kemudian dia binkan dengan PKR. Pada masa yang sama dia ada kekasih gelap nama PAN (merujuk kepada AMANAH), bin dengan DAP.

"Kalau kita lantik (ADUN) daripada PAN, hari ini pun Azmin dah pening kepala," katanya
Budiman berucap kepada masyarakat setempat di suatu program lawatan di Homestay Batu 23, Sungai Nibong semalam.

Kata Budiman, hubungan Azmin dengan PAS dan AMANAH seperti dua kekasih gelap yang "berebut satu hati yang sama".

Mengenai calon PAS Dr Abdul Rani Osman, Budiman berkata terlalu sukar untuk ADUN Meru itu mengelola Sungai Besar jika berlaku sebarang kecemasan.

"Jika ada adinda yang dekat (merujuk kepada dirinya sebagai ADUN Sungai Besar) mengapa perlu pilih orang jauh (Rani)?" katanya.

Budiman turut menyentuh calon AMANAH Azhar Abdul Shukur yang disebut-sebut sebagai anak tempatan. "Tetapi dia mengundi pun di Temerloh," katanya.

Pilihan raya kecil Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini ekoran kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dalam kemalangan helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lalu.

Penamaan calon untuk pilihan raya kecil itu diadakan hari ini. Proses itu akan dijalankan serentak dengan kawasan parlimen Kuala Kangsar.



Sementara itu, Mujahid mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon terhadap komen dibuat pemimpin Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa DAP menyediakan ahlinya dengan “arak”, hingga menyebabkan mereka keluar untuk menubuhkan AMANAH.

“Bukan kami yang mabuk, kamu yang mabuk,” kata Mujahid dan kerana itu mereka “keluar parti (PAS), dan itu semua kerana kamu yang mabuk dengan UMNO.” (baca tulisan Mujahid seperti disiarkan Malaysiakini semalam)

AMANAH, parti serpihan PAS, ditubuhkan tahun lalu selepas sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan oleh calon konservatif dalam pemilihan parti. Langkah itu diambil susulan perbalahan berterusan antara DAP dan PAS berikutan parti Islam itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, dan ia disokong UMNO.

Perbalahan itu menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat, dan kemudian AMANAH bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

Mujahid juga mengkritik pemimpin PAS yang memakai baju Melayu, kain pelikat dan songkok di muktamar itu, bukan jubah putih tradisi pakaian seragam mereka, yang digambarkannya mengikut gaya pemimpin UMNO.

“Cara mereka (PAS) berpakaian menggambarkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sedangkan UMNO pun tidak sejauh itu (membuktikan mereka Melayu),” kata Mujahid.

Katanya, tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan keris untuk memotong kek pada muktamar itu “ejekan” kepada semua orang Islam. 


Saturday, November 14, 2015

Kerajaan Selangor Pentingkan Yang Seorang, Korbankan Yang Berjuta-Juta...


"Saya bantah mengapa (usul rawatan kepada Anwar) mesti di sini (DNS), sedangkan kami tidak boleh mewakili atau menjawab bagi Kerajaan Persekutuan atau Parlimen. Sedangkan wakil Gombak atau Lembah Pantai boleh membawa usul ini ke Parlimen, lebih sesuai.” 
- YB Budiman Mohd Zohdi

Kerajaan Selangor melalui sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) semalam beria-ia meluluskan usul "Mendesak Kerajaan Persekutuan untuk memberikan rawatan perubatan dengan segera kepada Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor".

Apakah usul demikian untuk kepentingan awam? Ia jelas usul untuk kepentingan hanya SATU ORANG  atau paling ramai isi rumah  keluarganya sahaja.

Tetapi bagaimana dengan KEBAJIKAN isu rumah seluruh rakyat Selangor yang mungkin akan kehilangan pemberian air pecuma dan kos tarif air yang akan melonjak dalam beberapa tahun lagi?

Apakah ini tidak penting di kepala semua wakil rakyat Kerajaan Selangor, khususnya dari PAS?

Sepatutnya dengan suaranya yang agak besar, iaitu seramai 15 ADUN – melebihi PKR – ADUN PAS boleh melakukan sesuatu demi kepentingan rakyat jelata.

Lagipun inilah masanya menguji sejauh mana PKR atau Menteri Besar, Mohamad Azmin Ali menilai sumbangan mereka. Namun mereka juga mengunci mulut!

Ada dah jadi dengan wakil rakyat PAS yang turut berjuang untuk negara KEBAJIKAN? Bisu, kelu dan bimbang hilang kedudukan dalam kerajaan Selangor?

Kerajaan Selangor dan Azmin nampaknya memikirkan hal ehwal dan kepentingan seorang sebaliknya tidak melihat kesan kepada pengguna membabitkan berjuta-juta rakyat Selangor dan kepentingan komersil.

Semalam, cubaan Budiman Mohd Zohdi (BN Sungai Panjang) menghalang usul berkenaan rawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), HannahYeoh.

Hannah berkata usul berkenaan dibenarkan kerana Anwar merupakan Penasihat Ekonomi Selangor dan ia relevan untuk dibahaskan di DNS.

Terdahulu, Budiman mempersoalkan usul yang dibawa Dr Xavier Jayakumar (KEADILAN Seri Andalas) sebagai bukan berkaitan hal Selangor.

“Saya bantah mengapa (usul) mesti di sini, sedangkan kami tidak boleh mewakili atau menjawab bagi Kerajaan Persekutuan atau Parlimen. Sedangkan wakil Gombak atau Lembah Pantai boleh membawa usul ini ke Parlimen, lebih sesuai,” katanya di DNS.

Sebab-sebab khusus Budiman ialah:

1. Usul yang dibawa oleh Andalas mempertikai soal perubatan dan perkhidmatan penjara. Tentunya tiada KDN dan Kementerian Kesihatan untuk memberi jawapan balas. Tentunya tidak adil.

2. Azmin Ali mewakili Gombak, Nurul Izzah mewakili Lembah Pantai mengapa tiada usul ini di Parlimen, apa agenda peribadi mereka?

3. Isu Anwar adalah masalah peribadi beliau. Tiada kaitan dengan kesejahteraan rakyat Selangor yang perlu usul ini dibahas di DNS, dan

4. Sepertinya usul ini cuba merendahkan martabat para adun, meremehkan institusi Dewan yang mulia dan cubaan menipu rakyat Selangor.

Berikutan itu beliau merasakan Speaker telah ‘berat sebelah dalam isu ini.

Bagi Azmin, nampaknya mudah dia menepis kepentingan rakyat dalam isu air ini apabila mengatakan skim pemberian air percuma kepada rakyat Selangor bagi 2017 dan tahun seterusnya, bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Kini sudah dibayangkan oleh Azmin bahawa rakyat Selangor akan berputih mata dengan dasar kebajikan yang diperkenalkan oleh Besar Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sebab Azmin beri ialah  skim yang diperkenalkan sejak 2008 itu membabitkan jumlah peruntukan besar.

"Untuk 2016 kita akan teruskan (skim air percuma) seperti yang kita umumkan dalam bajet sebelum ini kerana kita sudah memperuntukkan RM170 juta bagi tujuan itu. Bagaimanapun untuk tahun seterusnya (selepas 2016) kita akan lihat kemampuan kerajaan negeri memandangkan kos untuk skim itu, agak tinggi," katanya pada SDN itu.
.
Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tiew Way Keng (DAP-Teratai) mengenai sama ada kerajaan akan meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat Selangor dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Kini rakyat Selangor boleh menilai apa sebenarnya ‘negeri KEBAJIKAN’ yang diamalkan oleh PKR, DAP dan PAS di Selangor.


Dan dalam kedudukan sebegini, ke mana lagikah mereka boleh berharap dan mengadu nasib?

Saturday, November 7, 2015

DEIG - Azmin Perlu Jawab 3 Perkara, Benarkan Siasatan Menyeluruh


Ini bukan asak sebarang asak. Ini asakan yang dibuat berfaktakan maklumat tepat.

Asakan bukan sahaja menuntut jawapan tetapi juga membenarkan siasatan termasuk oleh Jabatan Audit Negara.

Memang wajar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan ADUN Bebas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Selangor mengenai beberapa perkara meragukan membabitkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Malah Mohamed Azmin Ali juga digesa agar memberi perhatian serius terhadap semua isu yang dibangkitkan mengenai DEIG kerana ia sangat kritikal dan melibatkan soal ketelusan, tanggungjawab, kejujuran dan integriti.

Pada 4 November lalu Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sela­ngor, Budiman Mohd. Zohdi menuntut Azmin memaklumkan kepada sidang DUN Selangor bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi.

Bercakap  dalam sidang media di lobi bangunan Annex, Shah Alam,  ADUN Sungai Panjang itu mempersoalkan tiga perkara mengenai DEIG:

1.     Bagaimana DEIG dan anak-anak syarikatnya yang masih belum beroperasi boleh mendapat  mendapat pinjaman bank;

2.     Apakah pinjaman sejumlah RM 500 juta (setengah billion) itu untuk ‘menyelamatkan’ sebuah anak syarikat kerjaan negeri yang lain; dan

3.     Mana ‘kertas putih’ mengenai DEIG yang sepatutnya dibentangkan pada sidang DUN?

DEIG Land, anak syarikat DEIG ketika itu baru ditubuhkan dua bulan - 19 Mei – tetapi mendapat pinjaman daripada sebuah bank tempatan pada bulan Julai lalu.

Ketika DEIG Land mula ditubuhkan, syarikat itu hanya mempunyai dua lembaga pengarah, iaitu lembaga pengarah yang sama dengan DEIG.

Selain itu, apakah pinjaman yang diperoleh DEIG Land itu  bertujuan untuk melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) terhadap kerajaan negeri?

Azmin memberitahu DUN Selangor, sebanyak RM413.2 juta hutang masih belum dibayar KDEB terhadap kerajaan negeri. Jumlah pinjaman KDEB yang terkini termasuk caj pembiayaan empat peratus setahun ialah RM429.728 juta.

Ia menjadikan hutang KDEB kini sebanyak RM424.728 juta setelah ditolak RM5 juta jumlah yang dibayar sebelum ini.

Bukan Budiman sahaja mempersoalkan status DIEG ini, malah bekas Menteri Besar Selangor semalam turut mempersoalkan tindakan kerajaan PKR Sela­ngor menubuhkan DEIG.

Menurut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, DEIG  mencetuskan pelbagai persoalan dan kontroversi.

ADUN  Pelabuhan Klang itu berpendapat siasatan menyeluruh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Kete­lu­san Selangor (Selcat), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Pi­li­han Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) hendaklah diadakan, terutama isu tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada satu anak syarikat kumpulan tersebut.

Abdul Khalid  berkata, menerusi siasatan itu, Selcat harus membuktikan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau perlanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran berlaku walaupun DEIG telah tampil mengaku kewujudan tawaran pinjaman tersebut yang kemudiannya ditolak.

Menurutnya, isu tersebut tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sepatutnya menjadi satu alasan kukuh bagi Selcat untuk memulakan siasatan.

“Tidak dapat disangkal lagi bahawa wujudnya merit bagi Jabatan Audit Negara untuk menjalankan kajian secara mendalam demi menentukan ke­sa­hihan semua dakwaan yang telah dibuat terhadap DEIG.

“Di peringkat negeri pula, dalam bidang kuasa Selcat atau JP-ABAS untuk menghubungi Bank Negara dan memohon satu siasatan bagi mendapatkan kepastian bagaimana pihak bank komersial boleh menawarkan sejumlah pinjaman yang besar kepada sebuah syarikat (dan anak syarikatnya) yang didakwa masih belum bero­perasi,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam semalam.

Menurutnya, melalui siasatan menyeluruh itu sahaja semua persoalan dan kontroversi itu  dapat diselesaikan.


Budiman berkata beliau dimaklumkan pada 22 Julai 2015, DEIG Land telah menerima daripada kumpulan perbankan utama di Malaysia tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta untuk mengambil alih dan melunaskan hutang KDEB.

Hutang tersebut diluluskan DUN pada 2013 bertujuan bagi membiayai pengambilalihan sepenuhnya pegangan saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) yang gagal menguruskan lebih 7,000 ekar tanah di Selangor bernilai lebih RM6 bilion.

Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah. Semasa permohonan pinjaman bank tersebut dibuat dan diluluskan dengan kedudukan di mana DEIG Land hanya mempunyai dua orang ahli lembaha pengarah dan dua orang pemegang saham.

Selain itu persoalan menarik yang ditimbulkan Budiman ialah, kenyataan Azmin berhubung hutang KDEB itu menunjukkan seolah-oleh kumpulan tersebut tidak mampu menyelesaikan hutang pinjaman itu.

Kenyataan Menteri Besar sebelum ini menggambarkan seolah-olah KDEB tidak mampu menyelesaikan hutang tersebut sedangkan proses mengambil alih pegangan saham dalam KHSB masih berjalan.

"Kenyataan tersebut seolah-olah membawa maksud tersirat dan memberi kepercayaan kepada maklumat yang diterima bahawa DEIG bakal mengambil alih hutang KDEB dengan memindahkan DEIG Land Sdn Bhd - anak syarikat DEIG – terhadap kuasa dan kawalan ke atas bank tanah milik KHSB yang amat bernilai,” kata Budiman.

Berkaitan DEIG ini juga Budiman mempersoalkan ketelusan membabitkan pembentangan kertas putih yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) dalam satu pe­nyata Bil. 48/2015 sebelum ini.

“Bagaimanapun, dalam sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini termasuk pembentangan Bajet Selangor 2016, Menteri Besar tidak menyentuh atau menyebut berhubung pembentangan kertas putih mengenai DEIG.

“Sedangkan, kertas putih tersebut merupakan salah satu daripada syor JP-ABAS. Apakah Menteri Besar tidak menghormati syor jawatankuasa berkenaan atau beliau membuat keputusan menubuhkan DEIG sebelum ini secara bersendirian bukannya secara kolektif?” soalnya.

Beliau berpendapat,  segala operasi dan aktiviti DEIG terutama dengan pihak swasta harus ditangguhkan selagi kertas putih itu tidak dikeluarkan manakala penstrukturan anak-anak syarikat boleh diteruskan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Isu penubuhan DEIG ini  mencetuskan kontroversi apabila syarikat bernilai RM2 itu didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.


Ketika sesi DUN Selangor pada Ogos lalu, beberapa ADUN termasuk daripada DAP turut mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekali gus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.