Monday, October 10, 2016

‘Parang Terbang’ - Apa Tindakan Polis Terhadap Pemimpin Baju Merah?


Kita mahu melihat sejauh mana kata-kata Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa tindakan akan diambil ke atas pemimpin kumpulan Baju Merah ekoran kenyataan disiarkannya di Facebook semalam.

PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan mengambil tindakan tegas dengan segera, demikian tegas Ketua Polis Negara melalui Twitter malam semalam.

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membayangkan tragedi rusuhan 13 Mei dan "parang terbang" akan berulang jika BERSIH 5 dilangsungkan mengikut jadual asal.

Demonstrasi BERSIH 5 dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

"Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIH 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 Novembr ini," kata Jamal.

Khalid melalui Twitter melampirkan  kemas kini Jamal - dalam tweet ketua Umno Sungai Besar itu yang berkaitan
.
Khalid  menegaskan pihak berkuasa tidak boleh menerima sebarang kenyataan bersifat menghasut.

Sebelum ini Ketua gerakan Baju Merah itu mendakwa polis memberi 'layanan istimewa dan luar biasa' terhadap peserta BERSIH 5 yang kini mengadakan konvoi di seluruh negara.

Sebaliknya, Jamal mendakwa, pihak berkuasa itu melayan kumpulannya seperti 'anjing kurap'.

Dalam kenyataannya Jamal berkata kumpulan BERSIH 5 bukan sahaja dijaga rapi, malah pihak polis turut mengiringi setiap konvoi BERSIH 5 mengalahkan escort Perdana Menteri Malaysia.


Katanya, walhal tindakan BERSIH 5 telah terbukti bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah agenda kotor mereka menghasut rakyat untuk menggulingkan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mencabul sistem demokrasi menerusi turun ke jalan raya.

"Sebaliknya, layanan yang diberikan kepada Gerakan MERAH V2 saya sifatkan seperti anjing kurap," kata Jamal dalam kenyataan.

Kelmarin, media sosial serta  Malaysiakini melaporkan dua lelaki memakai baju BERSIH dilempar telur oleh kumpulan Baju Merah di Sabak Bernam, Selangor. Kedua-duanya yang menunggang motosikal diserang apabila mereka melintasi jalan masuk ke kawasan yang dipenuhi kumpulan Baju Merah.

Salah seorang daripada peserta BERSIH itu turut ditendang sebanyak dua kali oleh anggota kumpulan berkenaan.

Jamal mendakwa polis menyekat kumpulan Baju Merah di setiap lokasi dan menahan tiga daripada mereka.

"MERAH V2 ditahan hampir di setiap tempat dan kami diarahkan pihak polis menghentikan serta merta konvoi kami. Malah seramai tiga penyokong MERAH V2 telah ditahan," kata Jamal.

"Layanan (ke atas) kami amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan BERSIH 5.


Bagi Jamal, kumpulan BERSIH inilah yang selama ini menghasut rakyat dan menghina pihak polis di sepanjang kempen yang diadakan sejak sekian lama.

Malah BERSIH sebelum inilah yang mencetuskan keganasan melampau sehingga menggugat keselamatan negara, menyerang pihak polis dan memecahkan kereta polis.

Rentetan kepada BERSIH 5, Pemuda UMNO meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kepada kumpulan Baju Merah yang melakukan kekerasan fizikal kepada peserta BERSIH kelmarin.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut meminta individu yang memimpin gerakan tersebut memberi nasihat kepada anggotanya supaya tidak melakukan kekasaran dan keganasan.

"Saya tidak boleh terima dan saya harap mereka yang ada di belakang gerakan ini (Baju Merah dan BERSIH) dapat memberi nasihat kepada ahli mereka supaya tidak lagi melakukan kekasaran dan keganasan," tegasnya seperti dilapor Astro Awani.


Khairy mengecam perbuatan itu dan menegaskan, amalan demokrasi di negara ini tidak membenarkan keganasan serta kekerasan fizikal sebagai penyelesaian dalam berhadapan pandangan berbeza.

"Saya melihat video semalam, tindakan sekumpulan Baju Merah itu yang menyerang aktivis Bersih (dengan) menendang dan melakukan kekasaran fizikal. Ini kita tidak boleh terima. Siapa sahaja yang terlibat, tindakan ganas perlu kita kecam.


"Untuk menunjukkan pendirian masing-masing, kita perlu terima dalam demokrasi. Namun, jangan sehingga mencetuskan tindakan ganas yang boleh mencetuskan ancaman keselamatan terhadap individu-individu yang terlibat," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan Pertandingan Akhir Kejohanan Badminton Asics 2016 di Subang semalam.

No comments: