Monday, May 29, 2017

‘Pakatan Harapan Tidak Akan Jadi Barisan Nasional 2.0 - Mukhriz


Pada satu ceramah baru-baru ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menceritakan pertemuannya dengan seorang penyokong yang bertanyakan apakah jaminan Pakatan Harapan tidak akan jadi seperti Barisan Nasional (BN).

Pembangkang kebelakangan ini menuduh pakatan pemerintah menyalah urus wang rakyat.
Timbalan presiden PPBM cuba meyakinkan penyokong itu yang PH tidak akan mengikut langkah kerajaan BN.

Hujahnya? Jika PH memenangi Putrajaya, ia bermakna pengundi menolak rasuah dan pemimpin yang merompak rakyat.


“Jika pengundi menghukum kerajaan lama yang melakukan perkara itu, kami tidak berani mengulangi kesalahan itu, kerana kita tidak mahu dihukum pada pilihan raya nanti.”
Bukan Mukhriz sahaja yang berfikiran begitu.

Rakannya dari DAP, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran berkata BN dan PH seperti oren dan epal, yang tidak patut dijadikan perbandingan.

“Sama sekali berbeza. Kami berazam menghapuskan rasuah. Kami mahu kewangan negara diurus dengan lebih baik dan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan banyak lagi,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat kepada FMT.

Kulasegaran berkata Pakatan Harapan merupakan gabungan parti setara, berbeza dengan BN, di mana “abang sulung”, Umno, memutuskan semua perkara.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad juga bersetuju dalam Pakatan Harapan walaupun ada perbezaan pendapat dalam kalangan komponen, tiada “abang sulung” yang membuat kata putus.

“Kerana kita tidak ada pendekatan ‘abang sulung’ dalam gabungan ini, saya fikir kita akan terselamat daripada budaya politik BN.

“Kita mahu menggantikan BN tetapi tidak mahu meniru mereka.

“Dalam mesyuarat kami ditekankan berulang kali Pakatan Harapan ialah gabungan setara,” kata Ahli Parlimen Shah Alam kepada FMT.

“Kita tidak mahu jadi BN 2.0.”

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke membangkitkan isu itu 27 Mac lalu, menegaskan Pakatan Harapan gabungan parti setara tanpa parti teraju.

“Kami gabungan setara. Tidak ada isu parti mana yang menerajui gabungan ini.

“Tidak ada satu parti yang mendominasi gabungan ini. Ini yang membezakan Pakatan daripada BN. Kita bukan BN 2.0,” kata Loke dalam satu laporan.

Sumber - FMT


No comments: