Saturday, June 3, 2017

Berucap Dalam Masjid - Antara 'Ustaz Kamalanathan' & 'Ustaz Sivarasa'....


Bagaimana mahu melayan tetamu bukan Islam di masjid?

Apakah ada satu peraturan khusus yang disifatkan 'boleh dan tidak boleh’ orang bukan Islam, khususnya pemimpin politik memasuki masjid untuk semua negeri?

Anggota Parlimen Subang, R Sivarasa, kelmarin dihentam malah dikatakan mencemar kesucian masjid semasa menghadiri majlis penyampaian bantuan sempena Ramadan di Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu.

Sebaliknya Ahli Parlimen BN, K Kamalanathan boleh pula menyampaikan bantuan dan berucap dalam masjid di Selangor.

Malah sebelum ini, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat bersama dengan pemimpin bukan Islam dalam masjid.

Dulu boleh, sekarang tidak boleh?

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim  berkata tindakan Sivarasa  itu mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin.

Dilaporkan Sultan Selangor murka dengan wakil rakyat PKR itu kerana menggunakan ruang solat sebagai tempat berpolitik.


Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui setiausaha sulit menitahkan agar JAIS mengambil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid, kata Haris.

Pada 31 Mei lalu anggota parlimen PKR itu juga menyatakan akan menulis surat secara peribadi kepada Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan berhubung kejadian di Masjid An Nur itu.

Sivarasa turut menempelak Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana mendakwa dia memberikan ceramah politik di masjid terbabit.

"Saya sudah memberikan penjelasan dan Ku Nan tahu dia mengulangi kenyataan salah," katanya.

Mari sama-sama kita nilai dan berfikir secara terbuka apa yang sebenarnya berlaku. Jika Sivarasa bohong, kita akan mengutuk beliau beramai-ramai:


“Saya ingin membetulkan beberapa laporan media yang telah memberi gambaran tidak tepat saya, pada hari Rabu yang lalu, telah memberi ceramah politik di Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang. Ada juga yang lapurkan secara tidak betul bahawa saya hadir sebagai wakil Menteri Besar Selangor.

Saya tidak memberi apa-apa ceramah, khususnya ceramah politik pada malam itu di Masjid An Nur. Perkara ini telah disalahertikan.

Malah saya tidak hadir sebagai wakil Menteri Besar seperti yang dikatakan dalam beberapa laporan media. Saya juga tidak pada bila-bila masa pun diminta untuk mewakili beliau untuk majlis tersebut.

Majlis yang saya hadiri itu adalah majlis pemberian sumbangan kepada surau-surau dan masjid-masjid di kawasan DUN Kota Damansara yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Kota Damasara, En Radzlan Jalaludin. Saya hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu.

Penganjur tidak bila-bila pun menjadualkan saya untuk memberi apa-apa ceramah dalam majlis itu. Walaubagaimanapun, sebelum dijemput menyampaikan sumbangan bersama dengan Penyelaras DUN En Radzlan Jalaludin, saya dijemput oleh pengara majlis untuk memberi sepatah dua kata kepada lebih kurang 70 wakil-wakil surau-surau dan masjid-masjid yang akan menerima sumbangan Ramadan. En Radzlan juga telah memberi ucapan ringkas sebelum saya.

Sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, tidak elok kalau saya menolak.

Justeru, saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam ramadan kareem kepada para hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan negeri Selangor untuk terus bimbing institusi surau-surau dan masjid-masjid di Selangor.

Saya juga berkongsi sedikit pengalaman saya sejak 2008 sebagai Ahli Parlimen berkenaan lawatan-lawatan saya ke surau-surau dan masjid-masjid di kawasan Subang dan macam mana lawatan tersebut telah membantu saya mendalami fahaman saya berkenaan Islam dan masyarakat Islam.
 
Tidak ada apa-apa ceramah politik ataupun ceramah agama yang dibuat dalam majlis penyampaian itu.

Sumbangan yang diberikan malam itu berjumlah RM 71,000 yang diagihkan RM 1,000 setiap surau dan RM 1,500 setiap masjid

Saya hadir sebagai Ahli Parlimen kawasan Subang yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam. Bagi saya adalah wajar untuk seorang wakil rakyat untuk memberi sokongan penuh kepada institusi agama Islam di kawasan saya.

Itu sahaja yang berlaku.

Oleh kerana isu ini telah disalaherti, dan kerana saya tidak mempunyai sebarang niat pun untuk melanggar arahan dan nasihat DYMM Tuanku Sultan Selangor, maka saya juga akan menulis sepucuk surat peribadi kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan tentang perkara ini.

Sivarasa Rasiah

Ahli Parlimen Subang
31 Mei 2017

Amat nyata bahawa:

1.   Beliau dijemput Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara menyampaikan sumbangan sejumlah RM71,000 untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen jagaannya.

2.  Buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan beliau  kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

3.  Berkongsi sedikit pengalaman sejak 2008 sebagai ahli parlimen Subang membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasan beliau.

4.   Hadir  bukan sebagai wakil menteri besar seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak yang salah faham fakta kerana tidak diminta untuk mewakili Menteri Besar Selangor.

Itu sahaja yang berlaku.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata pihaknya telahpun mengadap Sultan Selangor berhubung tindakan Sivarasa, yang didakwa telah bertindak keterlaluan apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.Mohamed 

Mohd Azmin turut menjelaskan bahawa Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan.

Sebaliknya majlis itu adalah anjuran pejabat anggota parlimen itu sendiri.

No comments: