Showing posts with label Sultan Selangor. Show all posts
Showing posts with label Sultan Selangor. Show all posts

Saturday, June 3, 2017

Berucap Dalam Masjid - Antara 'Ustaz Kamalanathan' & 'Ustaz Sivarasa'....


Bagaimana mahu melayan tetamu bukan Islam di masjid?

Apakah ada satu peraturan khusus yang disifatkan 'boleh dan tidak boleh’ orang bukan Islam, khususnya pemimpin politik memasuki masjid untuk semua negeri?

Anggota Parlimen Subang, R Sivarasa, kelmarin dihentam malah dikatakan mencemar kesucian masjid semasa menghadiri majlis penyampaian bantuan sempena Ramadan di Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu.

Sebaliknya Ahli Parlimen BN, K Kamalanathan boleh pula menyampaikan bantuan dan berucap dalam masjid di Selangor.

Malah sebelum ini, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat bersama dengan pemimpin bukan Islam dalam masjid.

Dulu boleh, sekarang tidak boleh?

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim  berkata tindakan Sivarasa  itu mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin.

Dilaporkan Sultan Selangor murka dengan wakil rakyat PKR itu kerana menggunakan ruang solat sebagai tempat berpolitik.


Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui setiausaha sulit menitahkan agar JAIS mengambil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid, kata Haris.

Pada 31 Mei lalu anggota parlimen PKR itu juga menyatakan akan menulis surat secara peribadi kepada Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan berhubung kejadian di Masjid An Nur itu.

Sivarasa turut menempelak Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana mendakwa dia memberikan ceramah politik di masjid terbabit.

"Saya sudah memberikan penjelasan dan Ku Nan tahu dia mengulangi kenyataan salah," katanya.

Mari sama-sama kita nilai dan berfikir secara terbuka apa yang sebenarnya berlaku. Jika Sivarasa bohong, kita akan mengutuk beliau beramai-ramai:


“Saya ingin membetulkan beberapa laporan media yang telah memberi gambaran tidak tepat saya, pada hari Rabu yang lalu, telah memberi ceramah politik di Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang. Ada juga yang lapurkan secara tidak betul bahawa saya hadir sebagai wakil Menteri Besar Selangor.

Saya tidak memberi apa-apa ceramah, khususnya ceramah politik pada malam itu di Masjid An Nur. Perkara ini telah disalahertikan.

Malah saya tidak hadir sebagai wakil Menteri Besar seperti yang dikatakan dalam beberapa laporan media. Saya juga tidak pada bila-bila masa pun diminta untuk mewakili beliau untuk majlis tersebut.

Majlis yang saya hadiri itu adalah majlis pemberian sumbangan kepada surau-surau dan masjid-masjid di kawasan DUN Kota Damansara yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Kota Damasara, En Radzlan Jalaludin. Saya hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu.

Penganjur tidak bila-bila pun menjadualkan saya untuk memberi apa-apa ceramah dalam majlis itu. Walaubagaimanapun, sebelum dijemput menyampaikan sumbangan bersama dengan Penyelaras DUN En Radzlan Jalaludin, saya dijemput oleh pengara majlis untuk memberi sepatah dua kata kepada lebih kurang 70 wakil-wakil surau-surau dan masjid-masjid yang akan menerima sumbangan Ramadan. En Radzlan juga telah memberi ucapan ringkas sebelum saya.

Sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, tidak elok kalau saya menolak.

Justeru, saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam ramadan kareem kepada para hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan negeri Selangor untuk terus bimbing institusi surau-surau dan masjid-masjid di Selangor.

Saya juga berkongsi sedikit pengalaman saya sejak 2008 sebagai Ahli Parlimen berkenaan lawatan-lawatan saya ke surau-surau dan masjid-masjid di kawasan Subang dan macam mana lawatan tersebut telah membantu saya mendalami fahaman saya berkenaan Islam dan masyarakat Islam.
 
Tidak ada apa-apa ceramah politik ataupun ceramah agama yang dibuat dalam majlis penyampaian itu.

Sumbangan yang diberikan malam itu berjumlah RM 71,000 yang diagihkan RM 1,000 setiap surau dan RM 1,500 setiap masjid

Saya hadir sebagai Ahli Parlimen kawasan Subang yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam. Bagi saya adalah wajar untuk seorang wakil rakyat untuk memberi sokongan penuh kepada institusi agama Islam di kawasan saya.

Itu sahaja yang berlaku.

Oleh kerana isu ini telah disalaherti, dan kerana saya tidak mempunyai sebarang niat pun untuk melanggar arahan dan nasihat DYMM Tuanku Sultan Selangor, maka saya juga akan menulis sepucuk surat peribadi kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan tentang perkara ini.

Sivarasa Rasiah

Ahli Parlimen Subang
31 Mei 2017

Amat nyata bahawa:

1.   Beliau dijemput Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara menyampaikan sumbangan sejumlah RM71,000 untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen jagaannya.

2.  Buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan beliau  kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

3.  Berkongsi sedikit pengalaman sejak 2008 sebagai ahli parlimen Subang membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasan beliau.

4.   Hadir  bukan sebagai wakil menteri besar seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak yang salah faham fakta kerana tidak diminta untuk mewakili Menteri Besar Selangor.

Itu sahaja yang berlaku.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata pihaknya telahpun mengadap Sultan Selangor berhubung tindakan Sivarasa, yang didakwa telah bertindak keterlaluan apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.Mohamed 

Mohd Azmin turut menjelaskan bahawa Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan.

Sebaliknya majlis itu adalah anjuran pejabat anggota parlimen itu sendiri.

Wednesday, June 1, 2016

Sultan Ingatkan Masjid, Surau Jangan Selit Politik Dalam Tazkirah


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah me­ngingatkan semua masjid dan surau di negeri ini agar tidak menjadikan tazkirah sepanjang Ramadan ini sebagai ceramah politik serta mengambil imam luar untuk solat tarawih.

Semua aktiviti tazkirah hendaklah dibuat antara solat tarawih dan Isyak atau setelah selesai solat tarawih dan witir.

Tazkirah pula tidak disampaikan dalam tempoh lama melebihi 20 minit.

Peringatan itu disampaikan baginda kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Haris berkata, baginda mela­rang isi kandungan tazkirah menyentuh isu-isu sensitif yang menyinggung pihak-pihak tertentu kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak senang hati serta perpecahan dalam masyarakat.

Menurutnya, baginda mahu perasaan saling menghormati di­terapkan sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu.

“Ramadan sebagai bulan rahmat, berkat dan bulan keampunan akan hadir tidak berapa lama lagi.

“Maka, saya sebagai individu yang diamanahkan untuk menyelia pengurusan masjid dan surau di Selangor ingin memohon beberapa perkara penting supaya diambil perhatian oleh semua nazir dan pengerusi surau.

“Tambahan pula, apa yang saya sebut ini seringkali diperingatkan serta dititahkan oleh Sultan Se­langor kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor dan penyampaian sumbangan bantuan moreh di Shah Alam, kelmarin.

Haris menambah, semua penceramah yang dijemput perlu mempunyai tauliah berceramah yang dikeluarkan oleh pihaknya.

Menurutnya, keingkaran nazir dan pengerusi surau mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mengenai solat tarawih pula katanya, masjid dan surau diga­lakkan mengambil imam-imam tempatan terdiri daripada pelajar atau lulusan tahfiz dalam negara.

Beliau memberitahu, solat ta­ra­wih pula perlu dilaksanakan sebanyak 20 rakaat sebagaimana amalan Saidina Umar, juga sama seperti dilakukan di Masjidil Ha­ram dan Masjid Nabawi.

Monday, March 19, 2012

Sultan Selangor Mahu Tanah Rizab Melayu Dipertahankan

"Kerajaan negeri perlu mengawal selia dengan amanah dan berhemah akan modal utama Selangor, iaitu tanah...Kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan, pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut," - Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Isnin menitahkan supaya apa jua peruntukan Perlembagaan untuk mempertahankan Tanah Rizab Melayu mesti dipatuhi.

"Beta tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dengan cuba memindahkan Tanah Rizab Melayu kepada individu atau syarikat bukan milik Melayu," titah baginda dalam Titah Ucapan Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri ke-12 di Shah Alam, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda percaya Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri dan semua kakitangan yang terlibat dalam urusan tanah sentiasa berwaspada mempertahankan Tanah Rizab Melayu dengan tidak ada yang bertukar status.

Selain daripada memelihara Tanah Rizab Melayu, Baginda juga menitahkan supaya kerajaan negeri mengawal selia dengan amanah dan berhemah akan modal utama Selangor, iaitu tanah.

"Kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan, pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut," titah Baginda.

Sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda mahukan pentadbiran kerajaan negeri memberikan perhatian yang serius terhadap usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam dengan memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan dan ekonomi untuk memajukan mereka.

"Kekuatan dalam dua bidang ini adalah benteng sebenar mempertahankan akidah dan maruah umat Islam, titah Sultan Sharafuddin.

Baginda bertitah institusi zakat harus diperkemaskan seiring dengan perkembangan dan tuntutan zaman manakala pentadbiran urusan Baitulmal hendaklah dibuat dengan cara yang baik dan teratur.

Sultan Sharafuddin bertitah: "Perhatian serius kepada usaha memajukan umat Islam ini tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan atau meminggirkan rakyat Beta yang lain. Malah kemajuan umat Islam selaku golongan majoriti di negeri ini mampu memberikan kesan positif kepada negeri dan rakyat."

Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri memainkan peranan perintis dalam menggalakkan kemajuan di daerah-daerah yang sedang membangun di mana perancangan diperlukan untuk merakyatkan kemajuan ke setiap daerah dan pelusuk negeri dengan seimbang dan berterusan.

"Pembukaan bandar-bandar baharu tanpa aktiviti ekonomi yang cergas dan peluang pekerjaan berkualiti hanya menyebabkan rumah dan bangunan yang dibina terbiar tanpa penghuni," titah Baginda.

Oleh itu, Baginda bertitah Baginda berkenan dengan pandangan Menteri Besar supaya pihak berkuasa tempatan lebih menumpukan kepada kesejahteraan penduduk setempat daripada memikirkan kelayakan status bandar raya.

"Ia bermakna, apabila pembangunan berkembang ke daerah-daerah luar bandar, anak-anak muda tidak perlu lagi mencari pekerjaan di bandar. Keadaan ini dapat melegakan tekanan terhadap habitat bandar, kos kehidupan, sistem pengangkutan dan prasarana bandar yang lain, titah Sultan Sharafuddin.

Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda difahamkan pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun ini dijangka merekodkan prestasi sederhana dengan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri sekitar 5.3 peratus sehaluan dengan persekitaran ekonomi dunia dan Malaysia yang sederhana berbanding dengan pencapaian 2011 pada 5.9 peratus.

Selaku penyumbang 22 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara, Baginda mahukan Selangor memainkan peranan lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing ke dalam negeri, di mana Selangor menerima pelaburan RM8.74 bilion tahun lepas dengan 263 projek berjaya dimajukan dan menjana 15,000 peluang pekerjaan dalam tahun 2011.

Tuesday, August 9, 2011

APABILA KHALID IBRAHIM ‘TULI’, BUAT BODOH…

"Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor. Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini..." - Sultan Sharafuddin Idris Shah

Dah macam-macam amaran dikeluakan. Namun nampaknya kerajaan pembangkang di Selangor sudah tuli.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh buat bodoh seperti tidak adaperkara yang berlaku, walaupun amaran itu dititahkan oleh Sultan Selangor.

Terbaru Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya politik kepartian tidak dicampur adukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (UNISEL) demi masa depan pelajar institusi itu.

Tegas Baginda: "Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.

Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini.”

Baginda bertitah profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus.

Ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya di Kuaa Selangor.

Peringatan dan amaran ini tepat masanya kerana UNISEL menjadi tumpuan utama minggu lalu selepas adanya gerakan pihak-pihak tertentu yang berkusa ketika ini di Selangor mencampuri urusan pentadbiran universiti berkenaan.

Minggu lalu, Unisel telah mencetuskan kontroversi apabila Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan sebagai Naib Canselor Unisel dengan notis 24 jam berkuat kuasa kelmarin dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Hakikatnya, tindakan mencampuradukkan politik dengan pelajaran akademik, berkemungkinan menyebabkan ada pihak-pihak tertentu khususnya ibu bapa yang tidak gemar akan keadaan sedemikian.

Kesannya akan menyebabkan ada ibu-bapa tidak akan menghantar anak-anak mereka ke universiti ini untuk melanjutkan pelajaran mereka.

"Sekiranya ini berlaku, ia akan menjadi satu kerugian kepada universiti ini dan juga kawasan Bestari Jaya kerana industri sokongan tidak dapat berkembang dan dikhuatiri universiti ini akan menjadi projek 'gajah putih'.

Untuk makluman semua, beta telah menerima aduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di kampus Unisel ini. Beta tidak mahu perkara ini berterusan kerana jika Unisel ini tidak berjaya, ia akan merugikan kewangan kerajaan negeri Selangor," titah Baginda.

Tuesday, November 30, 2010

MELAYU - SULTAN SELANGOR SEDIH, DUKACITA

“Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan...Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini." - Sultan Sharafuddin

Oleh Abdul Latiff Muda

Apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bercakap mengenai Melayu apakah beliau juga patut dikategorikan sebagai mengamalkan sikap perkauman?

Dengan jelas Baginda menegaskan: “Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu saja kerana negeri ini adalah tanah tempat tumpah darah kita, dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan.”

Baginda bertitah, sejarah yang tercatat sejak beratus-ratus tahun lalu menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu sudah membuka serta membangunkan negeri di Tanah Melayu sehingga menjadi sebuah negara maju, selain menempa peristiwa membanggakan sehingga mampu bersaing dengan negara lain di dunia.

Apakah Sultan Sharafuddin rasis kerana menyebut perkara ini sambil mempertahankan institusi beraja dan kepentingan Melayu?

Baginda menegaskan bukan tujuan baginda untuk menyalakan api perkauman, tetapi ingin menyatakan bahawa rakyat Selangor mesti berbangga dengan negeri ini membabitkan kaum Cina, India dan Melayu serta kaum lain.

Persoalannya di sini kenapa Sultan Selangor dengan tegas menyatakan perkara ini ketika individu seperti Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengatakan ketuanan Melayu tidak relevan sementara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menganggap dirinya Melayu?

Apakah dengan mengatakan diri mereka Melayu ia memberikan implikasi bahawa Melayu itu dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan, lemah, Islam dan beraja?

Dan dengan tidak mengatakan diri mereka Melayu – orang Melayu akan menjadi ‘Melayu Bermaruah’, maju, bijak dan dihormati?

Siapakah tokoh orang Melayu yang menjadi ikon kepada Melayu yang maju , bijak dan dihormati itu?

Apakah manusia seperti Nik Aziz, Wan Azizah dan paling utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai mereka yang maju, bijak dan perlu dijadikan ‘manusia contoh yang terpilih’?

Nik Aziz kelmarin menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat. "Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," katanya.

Dan apakah manusia seperti Sultan Azlan Shah, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Prof Ungku Aziz, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, Prof Mahmud Zuhdi, Datuk Seri Harussani Zakaria (sekadar menyebut beberapa orang ) bukan ikon dan tidak setaraf Nik Aziz, Anwar atau Azmin untuk dijadikan teladan?

Apakah mereka ini bukan ‘Melayu Bermaruah’ berbanding Anwar dan Azizah?

Persoalannya, apakah orang Melayu/ Islam dalam pakatan pembangkang – PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP – tidak lagi berjiwa Melayu dan tidak sensitif dengan teguran-teguran yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu?

Kalaupun ‘memekakkan telinga’ terhadap saranan pemimpin UMNO mengenai Melayu, setidak-tidaknya mereka akur dan sensitif dengan saranan dan perasaan Raja-Raja Melayu ketika ini.

Terbaru semalam, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap orang Melayu yang tidak lagi megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikuburkan serta lenyap dari dunia.

Malah, Baginda juga sedih kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu. Baginda juga sedih kerana generasi sekarang malu mengaku diri mereka seorang Melayu.

Sultan Selangor bertitah, golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.

Amat jelas bahawa orang Melayu, termasuk di Selangor – negeri paling mahu di Malaysia – tidak lagi mengendahkan institusi berkenaan yang mungkin menurut mereka tidak lagi relevan dalam konteks kini.

Dan dengan kedudukan di mana parti pemerintah di beberapa negeri di Semenanjung meletakkan kepentingan persamaan hak dan taraf dalam semua perkara, institusi raja kini bukan lagi dilihat penting.

Apakah di negeri-negeri seperti Selangor khususnya orang Melayu sudah tidak melihat Raja dan institusinya sebagai penting untuk kerana kerana tidak lagi sesuai atau mereka sudah moden?

Menurut Sultan Sharafuddin: “Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan,” titah baginda pada Wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di Shah Alam semalam.

Lebih merisaukan apabila ada pemimpin Melayu yang lantang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’, titah Baginda.

Mana tidak sedihnya bagi Sultan Sharafuddin apabila ada juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’.

Dengan tegas Baginda percaya perbuatan itu dilakukan untuk kepentingan diri atau politik mereka.


Nah terang lagi bersuluh. Siapakah yang lantang menentang pembelaan terhadap orang Melayu, termasuk hak istimewa dan ketuanannya?

Yang melakukannya ialah pemimpin PKR seperti Wan Azizah dan Anwar yang terdesak menarik sokongan bukan Melayu untuk menang pilihan raya. Kerana itu Anwar sanggup berjanji untuk melantik Lim Kit Siang sebagai timbalan perdana menteri.

Apakah DAP lebih besar kemenangannya berbanding sekutu PKR satu lagi – PAS – dan di mana mahu diletakkan Presiden PAS?

Jadi apakah UMNO atau Barisan Nasional yang membelakangkan orang Melayu?

Persoalan lain ialah apakah UMNO memperjuangkan hak Melayu kerana mahu mengekalkan kuasanya seperti yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar?

Yang nyata UMNO memperjuangkan Melayu kerana kedudukan orang Melayu dulu, kini dan masa akan datang. Selain itu yang menjadi ‘pelindung’ orang Melayu dan Islam ialah Raja-Raja Melayu.

Hakikatnya, seperti ditegaskan Sultan Selangor: “Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.”

Dan hanya orang yang ‘membutakan sejarah’ kerana kepentingan ‘untuk ke Putrajaya’ sahaja seperti Wan Azizah, Anwar selain yang sewaktu dengannya tidak mengiktiraf pentingnya orang Melayu dan menafikan perjuangan orang Melayu menegakkan hak istimewa dan ketuannnya.