Saturday, October 8, 2016

Tumpaskan BN Di Kedah - 'Angan-Angan Mat Jenin' Menjadi Kenyataan?


Rasanya cita rasa Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) untuk menawan Kedah pada Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14) adalah bukan sesuatu yang luar biasa.

Dan bukan sesuatu yang aneh juga apabila pemimpin UMNO Kedah mengatakan ia sebagai suatu angan-angan dan harapan kosong belaka.

Namun dikatakan dalam UMNO dan BN Kedah, terlalu banyak sampah yang perlu bersihkan. Soalnya siapa dan sampah siapa yang perlu dibersihkan?

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan tumbang di Kedah pada pilihan raya akan datang.

Muhyiddin dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan mendakwa BN Kedah akan tumbang pada PRU akan datang berikutan sentimen rakyat selePAS pertukaran menteri besar awal tahun ini.    

Muhyiddin berani menyebutnya kononnya berasaskan sentimen rakyat di negeri jelapang padi itu selePAS bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan daripada jawatannya.


Malah bukan sahaja digugurkan jawatan, Mukhriz turut dipecaot daripada parti yang menunjukkan ada ‘pakatan tertentu’ untuk menjatuhkan beliau.

Mukhriz dipecat daripada UMNO pada Jun lalu, dan disingkirkan daripada jawatannya sebagai  Menteri Besar Kedah  dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Selepas Mukhriz disingkirkan...mungkin sudah cukup matang untuk BN tumbang, sebab saya tengok sentimen rakyat Kedah selePAS peristiwa itu berlaku ia amat tidak baik bagi BN,penerimaan mereka kepada MB baharu (maaf cakap) tidak sehebat Mukhriz," kata Muhyiddin.

Selain itu, BN dilihat mudah untuk ditumbangkan memandangkan rakyat juga kononnya melihat Menteri Besar Kedah sekarang sebagai ‘orang lama dengan idea dan pentadbiran lama‘ yang tidak sehebat Mukhriz.

Namun bagi Ahmad Bashah,  apa yang disebut oleh Presiden BERSATU bahawa BN akan tumbang di Kedah dalam PRU akan datang tidak ubah seperti 'angan-angan Mat Jenin'.

Untuk rekod, pada PRU13, BN Kedah memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah dan selebihnya sebanyak 15 kerusi di menangi oleh pakatan pembangkang.

Ahmad Bashah boleh mengatakan demikian, namun angin perubahan yang melanda selePAS Mukhriz diumumkan akan dilantik sebagai Menteri Besar sebelum PRU13,  jangan dipandang sebelah mata.


Benar pada  PRU lalu,  PAS hanya menang lapan (8)  kerusi DUN, PKR menang tiga (3) kerusi dan DAP pula dua (2) kerusi menjadikan Pakatan Rakyat hanya menang 15 kerusi daripada 36 kerusi DUN di negeri Jelapang Padi itu.

BN pula berjaya memenangi 21 kerusi di Kedah dan membolehkan Mukhriz  menjadi Menteri Besar Kedah yang baharu.

Pada PRU 2008, PAS bertanding 24 kerusi DUN, PKR (11) dan DAP satu kerusi di mana PAS memenangi 15 kerusi DUN, PKR (5) dan DAP (1).

Ada pendapat mengatakan, faktor kembalinya sokongan ahli UMNO yang protes pada 2008 menyebabkan Kedah kembali ke pangkuan BN.

PAS dan Pakatan Rakyat gagal untuk mengekalkan sokongan daripada pengundi UMNO yang berpihak kepada mereka pada 2008. Selain itu krisis dalaman PAS Kedah dan pergeseran mereka (PAS) dan sekutu dalam Pakatan Rakyat menyebabkan hilangnya keyakinan rakyat.

Kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak seperti isu kuil, pembalakan dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) adalah antara faktor mendorong orang Melayu memberi undi kepada BN.

Mahadzir...tinggalkan sampah?
Menurut satu analisis, lebih menyedihkan apabila PAS gagal mempertahan parlimen Pendang yang sinonim dengan Presiden PAS ke-6, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Mohamad Sabu yang mewakili PAS di kerusi itu kalah kepada Othman Abdul dari BN dengan majoriti 2,638 dan keputusan ini seperti dijangka memberikan kesan kepada kedudukan beliau dalam pemilihan parti pada muktamar yang menyusul.

Pilihan raya2013 juga menyaksikan PAS hanya menguasai satu daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah diikuti sekutunya PKR empat kerusi manakala BN 10 kerusi. PAS Kedah hanya memiliki satu kerusi parlimen iaitu Pokok Sena yang dimenangi oleh Naib Presiden, Mahfuz Omar.

Pada 2008, bagi kerusi Parlimen, PAS bertanding di lapan kawasan dan PKR tujuh. PAS menang lima daripada lapan kerusi yang ditandingi manakala PKR menang enam daripada tujuh kerusi manakala BN menang empat kerusi.

Ahmad Bashah juga boleh mengatakan pendapat Muhyiddin itu semata-mata



bertujuan meraih sokongan rakyat terhadap kepimpinan parti baharu itu.

"Itu mainan politik beliau (Muhyiddin)...tetapi beliau tidak sedar yang beliau sendiri kalah," katanya selePAS merasmikan sebuah carnival di Alor Setar semalam.

Namun, kedudukan kini jelas seperti pilihann raya umum 2008 di mana UMNO berpecahbelah sekali lagi dan mungkin undi protes akan menggagalkan BN sekali lagi.

Sejak menawan semula Kedah daripada PAS pada pilihan raya umum 2013 lalu, politik Kedah dilihat bergolak dan pergolakan dalaman itu lebih kepada perebutan kuasa dan tidak puas hati ‘pihak-pihak tertentu’ kerana Mukhriz dipilih menjadi Menteri Besar.


Pada permulaan eranya, Mukhriz dilihat bertenaga dan mendapat sokongan orang muda di Kedah dan ini menyebabkan ‘golongan lama dalam UMNO’ merasa cemburu.

Malah gerakan-gerakan memburukkan Mukhriz dibuat melalui pelbagai cara.

Kemuncak ialah apabila bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kepimpinan Perdana Menteri yang membuka jalan kepada peluang untuk kumpulan penentang Mukhriz bertindak balas.

Malah, tidak terkecuali, gerakan dikatakan turut dikaitkan dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang kerana kepimpinan lemahnya menyebabkan BN Kedah tewas pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Demi membersihkan ‘kekotaran’ dan sampah yang dikatakan dibuat dan dikumpulkan dalam BN dan UMNO Kedah sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, Mahadzir berpihak kepada Ahmad Bashah untuk melemahkan kepimpinan Mukhriz, walaupun banyak program baru diperkenalkan untuk pembangunan di Kedah.

Mukhriz kononnya cuba menyatakan kembali ‘jentera UMNO’ yang pernah protes kepadanya dengan memihak kepada Ahmad Bashah, sedangkan beliau sebenarnya sekali lagi mengulangi kesilapan yang lalu.

Ahmad Bashah yang ketika itu Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, menjadi wira untuk memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin UMNO di negeri itu telah 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan menteri besar Kedah.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

“Pemimpin UMNO Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dan pengerusi UMNO negeri,” kata Ahmad Bashah yang membaca kenyataan yang disediakan. Menurutnya, seramai 14 ketua bahagian hadir kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Beliau menyenaraikan empat sebab yang dikatakan sebagai punca kehilangan keyakinan itu, iaitu kegagalan Mukhriz untuk menyatukan parti, kekurangan perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kegagalannya memimpin dan menggerakkan jentera parti serta ketidak-upayaannya menguruskan pentadbiran negeri dengan berkesan. 

Dengan berjayanya usaha menggantikan Mukhriz dengan Ahmad Bashah yang dilihat ‘lesu’ Kedah kini berdepan dengan asakan bukan sahaja PAS tetapi juga pakatan AMANAH dan BERSATU.

Bagi Ahmad Bashah yang kini Ketua Perhubungan UMNO Kedah,  rakyat Kedah bijak untuk memilih parti yang memerintah kerajaan dan tidak mahu tertipu buat kali kedua selePAS diperintah parti pembangkang pada PRU ke-12 dahulu.

Malah, baginya,  UMNO dan BN tidak gentar dengan kenyataan itu, sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan jentera parti tersebut bersedia menghadapi PRU selain turut mempunyai senjata rahsia yang akan digunakan ketika berkempen nanti.

"Apa depa (parti BERSATU) nak kata suka hatilah... sebab saya yakin rakyat Kedah pandai menilai kerana mereka tidak mahu menderita lagi. Saya yakin rakyat akan pertahankan UMNO dan BN untuk terus memerintah negeri ini," katanya.

Bagi Muhyiddin pula, mendakwa sebelum tindakan penyingkiran Muhriz, beliau telah menghantar satu pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sebelum Najib pecat Mukhriz saya hantar mesej kepada beliau saya beritahu 'amaran baik' jangan buat begitu...itu permulaan kepada kejatuhan BN.

Tapi yang PASti mereka tidak endahkan, jadi perkiraan saya BN di Kedah sudah cukup ranum dan cukup matang untuk terjatuh," katanya.

Ahmad Bashah perlu menilai dirinya, apakah empat faktor yang dikatakannya terhadap Mukhriz sudah dilaksana atau ‘lebih teruk’ daripada ketika Mukriz untuk membolehkan BN mempertahankan kuasa di Kedah.

Apakah sejarah yang menyebabkan Kedah jatuh kepada pembangkang seperti era Mahadzir akibat wujudnya ‘undi protes’ akan berulang di bawah kepimpinan Ahmad Bashah sekarang???

No comments: