Thursday, September 8, 2016

Harussani: Kami Bukan Setan Bisu...Akan Terus Bercakap


Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria tidak bersetuju dengan saranan supaya golongan ulama dan mufti di negara ini tidak mendedahkan diri mereka kepada media kerana bimbang kata-kata mereka dieksploitasi.

“Nabi pun dikatakan gila jika tak jawab pertanyaan. Saya tidak setuju dengan pendapat itu (mufti elak bercakap dengan media). Kerana orang banyak tuduh mufti setan bisu,” katanya.
Harussani menegaskan akan menjawab sebarang pertanyaan yang mustahak sekiranya pendapatnya diperlukan.

Dengan kata lain Harussani menolak pendapat bahawa uju mufti dan ulama perlu menganggap diri mereka seperti raja Melayu yang hanya bercakap menerusi pembantu.

Portal pro-Amanah, Malaysia Dateline, sebelum ini memetik Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid yang mahu mufti dan golongan “ilmuan” meniru raja Melayu yang tidak mendedahkan diri secara langsung kepada media.

Harussani...Nabi pun dikatakan gila jika tak jawab pertanyaaan
Mereka perlu mencari wacana khusus untuk mereka membincangkan isu-isu yang ditimbulkan pihak tertentu, sebelum disebarkan kepada pengetahuan masyarakat.

“Kita perlu meniru raja Melayu yang tidak bercakap sendiri. Raja akan bercakap melalui pembantunya,” kata Mahmood, yang berkata mufti perlu hanya memberi kenyataan melalui majlis fatwa “kerana pengaruh mereka cukup besar dalam masyarakat”.

Dr Mahmood Zuhdi berpendapat, sudah tiba masanya institusi mufti di negara ini, dilindungi daripada terdedah kepada eksploitasi media dalam isu membabitkan persoalan agama dan politik tanah air.

"Saya mahu menyeru kepada mufti supaya menghormati diri mereka sendiri daripada menjerumus diri mereka kepada sesuatu situasi yang tidak dihormati oleh masyarakat.

"Saya nak minta dikalangan pendakwah, ilmuan dan khususnya mufti supaya tidak sangat mendedahkan diri kepada media massa.

Menurut Dr Mahmood Zuhdi, Mufti tidak perlu bercakap kepada akhbar. Mufti akan memberi fatwa melalui majlis fatwa kerana pengaruh mereka cukup besar dalam masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan PendakwahKebangsaan bertemakan "Peranan Pendakwah Dalam Perpaduan Ummah dan Pemangunan Negara' di Bangi kelmarin.
  
Bagi mencapai matlamat itu, MDN akan mengadakan wacana khusus dikalangan mufti untuk merungkai persoalan isu-isu semasa dalam masyarakat secara bersama dikalangan mufti di negara ini.

"MDN akan wujudkan wacana khusus untuk para ilmuan dan mufti berwacana untuk membincangkan akan hal ini, sebelum keluarkan kenyataan kepada masyarakat melalui media massa.

'Ini kerana keluasan ilmu itu akan mengharu-birukan masyarakat kerana tidak semua masyarakat boleh faham terhadap ilmu. Penyebaran ilmu itu perlulah bersepadanan dengan tahap kefahaman masyarakat,” tegasnya.

Dr Mahmood Zuhdi juga menegaskan, dikalangan pendakwah, agamawan dan mufti juga harus bersatu bagi menyelesaikan perpecahan antara mereka yang akhirnya membawa kekeliruan dalam masyarakat Islam.

Bagi Harussani, ada perkara perlu disegerakan dan dijawab dalam tempoh yang segera.

 “Saya fikir kalau benda yang perlu disegerakan saya akan jawab. Itu sahaja. Tidak salah jika saya jawab. Saya bukan keluarkan fatwa. Saya keluarkan pendapat saya.

“Kalau perlukan benda mustahak untuk saya jawab, saya jawab,” katanya.

No comments: