Kain rentang bertulis dalam dialek Kelantan, 'pemimpin gomol balok, rakyat makin selok' menarik perhatian ramai di Manik Urai, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berdepan dengan pilihan raya kecil Selasa ini.
Bagi penduduk Kelantan, ramai yang tersenyum apabila membaca ayat dua baris itu namun kebanyakan 'orang luar' yang tidak faham maksud tersiratnya, mungkin langsung tidak faham apa yang dimaksudkan.
Bagi yang tidak tahu, ayat itu membawa maksud 'pemimpin makan hasil balak, tetapi rakyat semakin susah' banyak dapat dilihat sekitar kawasan Manik Urai sepanjang kempen bermula 6 Julai lalu berlangsung.
Mungkin deretan puluhan lori membawa kayu balak di Jalan Gua Musang-Machang-Kota Baharu, yang menunggu giliran untuk diperiksa di balai pemeriksaan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan di Laloh di sini menarik perhatian pengguna jalan berkenaan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kain rentang itu membayangkan realiti sebenar apa yang berlaku di Kelantan.
Katanya kerajaan negeri itu yang ditadbir PAS sejak hampir 20 tahun lalu, bergantung kepada balak sebagai hasil utama negeri.
Kelantan tidak ada sumber lain selain daripada balak dan kebergantungan itu menyebabkan sumber balak di Kelantan semakin berkurangan, katanya.
"Tahun lalu, Kelantan dapat RM400 juta hasil balak, tahun depan ia dijangka makin berkurangan, begitu juga tahun-tahun akan datang," katanya.
Pengarah Perhutanan Kelantan, Datuk Abdullah Sani Shaffie ketika dihubungi Bernama berkata sektor pembalakan menyumbang sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus kepada pendapatan kerajaan negeri Kelantan.
Katanya kebanyakan lori itu membawa kayu balak pelbagai jenis dari kawasan pembalakan utama di Kelantan, Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.
Anggaran RM2 juta hingga RM3 juta cukai dikutip di Balai Pemeriksa Hutan itu setiap bulan, bergantung kepada jenis dan saiz kayu yang dibawa.
"Ada kalanya cukai yang dikutip mencecah RM4 juta, bergantung kepada keadaan cuaca. Kadang-kadang kerja-kerja penebangan kayu tidak dapat dijalankan semasa hujan," katanya.
Menurut beliau, pegawai perhutanan di situ dapat mengenalpasti lori-lori yang membawa kayu balak yang ditebang di kawasan yang dibenarkan berdasarkan tanda yang diletak pada kayu-kayu berkenaan.
Setiap lori dianggarkan membawa sehingga 10 tan kayu balak yang terdiri dari pelbagai jenis dan saiz.
Katanya untuk tahun ini lapan lesen dikeluarkan kepada syarikat tempatan untuk menjalankan aktiviti pembalakan di lokasi yang ditetapkan dan menurutnya jumlah itu akan dikurangkan sedikit demi sedikit bagi memastikan kawasan hutan di Kelantan tidak terjejas.
Katanya kayu balak itu dibawa ke kilang-kilang papan di Tanah Merah dan 70 peratus daripadanya untuk kegunaan tempatan.
Seramai lapan pegawai perhutanan bertugas di balai berkenaan yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Pasukan itu hanya bertugas pada hari bekerja di Kelantan, iaitu Ahad hingga Khamis.
No comments:
Post a Comment