Thursday, July 16, 2009

KERAJAAN TERUSKAN RANCANGAN BINA INFRASTRUKTUR DI MANIK URAI

Kerajaan pusat akan meneruskan rancangan membina infrastruktur di Manik Urai meskipun tewas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri itu semalam, kata Pengarah Pilihan raya Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan penduduk kawasan itu dan akan melaksanakan pembinaan infrastruktur berkenaan mengikut kemampuan kewangan yang dimiliki.

“Memanglah kerajaan membuat beberapa janji semasa pilihan raya. Ini kerana banyak permintaan diminta oleh rakyat kerana Manik Urai ini kawasan pedalaman dan kebanyakan mereka memerlukan bantuan kerajaan seperti bantuan membina dan memperbaiki rumah serta bantuan kebajikan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di hari ini.

Keputusan pilihan raya kecil DUN Manik Urai memihak kepada calon PAS Mohd Fauzi Abdullah yang meraih 5,348 undi berbanding calon BN Tuan Aziz Tuan Mat iaitu 5,283 dengan majoriti 65 undi.

Sepanjang lapan hari berkempen, BN berjanji akan membawa pembangunan di kawasan itu, antara lain membina jambatan baru di Manik Urai Lama dan Masjid di Temalir selain berhasrat menjadikan Manik Urai sebagai Kota Agropolitan.

“Kita bercadang untuk meneruskan memberi perkhidmatan kepada kawasan ini dan kawasan-kawasan lain di Kelantan sebab kita rasa perubahan sudah berlaku. Kita buat ini sebagai tugas kerajaan pusat dan harap pilihan raya umum ke-13 rakyat Kelantan akan menilai kesungguhan dan komitmen kita untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kemenangan tipis PAS juga membuktikan rakyat Kelantan sudah merasa terlalu lama di bawah pemerintahan Menteri Besar Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan mula menunjukkan sokongan kepada BN.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah lebih 100 hari jadi PM.

Ini adalah satu undi keyakinan kepada PM yang telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam dasar,” katanya.

Katanya post-mortem pilihan raya kecil itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi BN bulan depan.

Sementara itu Mustapa turut menyokong cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula undang-undang berkempen pada mana-mana pilihan raya akan datang berikutan berlakunya pelanggaran syarat berkempen antaranya mengadakan sebarang kempen pada hari pengundian sedangkan perkara itu dilarang.

“Kita harap dipertimbangkan tidak membenarkan kempen selepas pukul 12 tengah malam. Tiada sebarang kempen dalam erti kata mengibarkan bendera, penyokong-penyokong berada di tempat mengundi untuk melaungkan slogan menghina pemimpin-pemimpin,” kata beliau.

Mustapa berkata cadangan itu juga bertujuan untuk mengurangkan ketegangan di kalangan penyokong parti yang bertanding, menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

No comments: