Sumber: Bernama Online
Kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai yang berlangsung selama enam hari sejak 6 Julai lepas menunjukkan perbezaan ketara berbanding beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, yang dicemari pelbagai insiden seperti pergaduhan.
Beberapa pihak yang ditemui menyifatkan keadaan ini sebagai kematangan berpolitik oleh parti politik dan pengundi di Manik Urai.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata keadaan ini membolehkan parti-parti politik yang bertanding dapat berkempen dengan penuh selesa tanpa rasa takut.
"Saya sangat gembira bila melihat keadaan tenang berpolitik seperti ini. Saya pergi ke rumah (anggota) PAS pun disambut dengan begitu baik.
"Ini patut menjadi contoh terbaik bukan sahaja di sini tetapi juga kepada seluruh negara bahawa inilah kempen pilihan raya yang paling selamat," katanya kepada Bernama selepas melawat Klinik Kesihatan Manik Urai Baru.
Mustapa menaruh keyakinan bahawa keadaan tenang seperti itu akan berterusan sehingga tamat pilihan raya kecil itu.
Bagi Pengerusi Pengajian Ketahanan Nasional Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani juga mempunyai pandangan sama dengan Mustapa.
Beliau yang telah pergi ke semua kempen pilihan raya kecil sebelum ini memuji sikap pengundi dan parti politik yang sedang hangat berkempen ketika ini.
"Saya berpendapat keadaan ini berlaku kerana sebahagian besar pengundi adalah penduduk berbangsa Melayu yang mungkin jiran sesama jiran menyebabkan keadaan di sini nampak begitu harmoni," katanya.
Dr Mohd Azizuddin berkata dalam pemerhatiannya pada kempen pilihan raya kecil yang lain, keadaan menjadi panas disebabkan isu perkauman yang dimainkan pihak tertentu.
"Tetapi tidak di Manik Urai apabila hanya isu agama dan pembangunan sahaja yang banyak diutarakan dua parti politik di sini," katanya.
Beliau berharap keadaan di Manik Urai akan berterusan aman sehingga pada hari pengundian Selasa ini.
"Keadaan ini perlu menjadi contoh kepada pilihan raya kecil yang akan datang," katanya.
Pensyarah Komunikasi dan Media Kolej Sastera dan Sosial UUM, Azahar Kassim berkata situasi di Manik Urai menggambarkan budaya sebenar bangsa Melayu yang tidak terbawa-bawa kepada pergaduhan.
"Saya kagum dengan dengan keadaan ini dan rasa selamat bagi pengundi membuat pemilihan dengan hati yang lapang Selasa ini (hari pengundian)," katanya.
Azahar berkata kempen aggresif daripada pihak luar juga kurang mendapat perhatian penduduk setempat menyebabkan penduduk tidak banyak terpengaruh.
Hari pengundian Selasa ini menyaksikan 12,293 pengundi membuat perhitungan akhir sama ada kekal memilih PAS yang menampilkan Mohd Fauzi Abdullah sebagai calon atau membuat perubahan dengan memilih Barisan Nasional yang mengetengahkan Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calonnya.
No comments:
Post a Comment