Tuesday, July 14, 2009

POLIS - JANGAN ADAKAN PERARAKAN KEMENANGAN

(Sumber:Bernama)

Bermula pukul 8 pagi ini, 12,293 pengundi Manik Urai akan memilih wakil rakyat pilihan mereka, berikutan kematian Ismail Yaakob daripada Pas, pada 22 Mei lalu, akibat sakit jantung.

BN diwakili Tuan Aziz Tuan Mat, 39, manakala Pas, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Semalam BN mengadakan majlis solat hajat di semua sembilan peti undi di Manik Urai menjelang hari pengundian pilihan raya kecil kawasan itu hari ini.

Majlis solat hajat di Bilik Operasi Induk BN di Sungai Sok Luar, Manik Urai, diimamkan Datuk Mustapa Taib disertai kira-kira 200 jemaah termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Solat hajat yang bertujuan memohon kemenangan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, itu diadakan selepas solat Maghrib sebelum diteruskan dengan majlis tahlil dan solat Isyak berjemaah.

Ia diadakan selepas jentera parti bekerja keras sejak penamaan 6 Julai lalu.

Turut sama dalam solat hajat berjemaah itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, supaya tidak mengadakan perarakan untuk meraikan kemenangan selepas keputusan diumumkan malam ini.

Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner 1, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata tindakan itu bagi memastikan ketenteraman awam dipelihara dan menegaskan bahawa polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada pihak yang ingkar.

"Pihak polis akan hadapi sebarang kemungkinan. Kita akan bertindak tegas," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PDRM di Laloh, Manek Urai, semalam.
Beliau berkata, kempen pilihan raya DUN Manek Urai setakat ini berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Sebanyak 74 ceramah iaitu 39 ceramah Pas, 34 ceramah Barisan Nasional (BN) dan satu ceramah bebas diadakan sepanjang kempen berlangsung sejak hari penamaan calon pada 6 Julai lepas hingga malam tadi, katanya.

Mengulas hari pengundian esok, Abdul Rahim berkata, tiada jalan utama akan ditutup tetapi PDRM akan menempatkan 70 anggota trafik di tempat-tempat strategik bagi mengawal lalu lintas.

"Ini bagi memastikan keselamatan dan lalu lintas di sepanjang 27 kilometer Jalan Kuala Krai-Gua Musang teratur," katanya menambah PDRM sentiasa siap sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, sebanyak 17 laporan polis dibuat oleh anggota polis pemantau dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai beberapa kesalahan sepanjang kempen berlangsung seperti ceramah tanpa permit.

Tindakan susulan akan diambil berhubung laporan itu, katanya.

No comments: