Tuesday, July 14, 2009

‘MANEK URAI DIUTAMAKAN’

(Utusan Malaysia)

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai berlangsung ketika Datuk Mustapa Mohamed baru kembali mengambil alih kepimpinan UMNO Kelantan dan diberi tanggungjawab menerajui jentera parti.

Anak kampung yang berwajah tipikal Kelantan ini, dengan kesederhanaan wataknya - disegani kawan dan lawan bukan kerana kedudukan tetapi keikhlasan dalam memikul tanggungjawab dan amanah.

Beliau kembali memberi nafas baru yang menyegarkan, melonjakkan keyakinan kepada perjuangan parti yang seolah-olah lesu, diselaputi pelbagai persepsi.
Manek Urai merupakan ujian awal buatnya untuk membantu menunjukkan arah baru ketika landskap politik berubah ke arah yang kian membimbangkan, terutama masa depan orang Melayu dan Islam.

Beliau yang memburu waktu untuk meyakinkan pengundi di sini, sempat diwawancara oleh wartawan Utusan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB semasa berkereta menuju ke rumah-rumah pengundi yang tidak menduga beliau menjengah dengan tiba-tiba.

UTUSAN MALAYSIA: Datuk merupakan satu-satunya pemimpin negeri yang diberi tanggungjawab mengepalai jentera parti dalam pilihan raya. Tidakkah ini suatu bebanan?

MUSTAPA: Terima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan. Ia suatu penghormatan dan pada masa yang sama menggalas amanah yang begitu besar. Biarpun begitu, saya dipantau secara dekat oleh Timbalan Presiden parti. Tan Sri Muhyiddin Yassin membimbing saya.

Ini memberi keyakinan kepada saya untuk merencana strategi yang terbaik bagi menawan hati pengundi Manek Urai. Tugas saya diringankan oleh sokongan daripada Ahli-ahli Badan Perhubungan serta Ketua dan AJK 4 Peringkat Kuala Krai.

Baru dua bulan Datuk mengambil alih kepimpinan dan baru memulakan penyusunan semula parti, ujian di Manek Urai yang dianggap kubu kuat parti lawan tentunya mencabar kewibawaan. Bagaimana Datuk menghadapinya?

Memang ia ujian pertama bagi saya, namun tanggungjawab besar ini tidak saya anggap sebagai tekanan tetapi peluang untuk merubah senario politik yang tidak menentu dan kebekuan di Kelantan sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Ini peluang untuk saya membina kekuatan UMNO Kelantan dan insya-Allah UMNO Malaysia. Kemenangan di Manek Urai akan memberi limpahan faedah kepada seluruh penduduk Manek Urai.

Pancaran syiar Islam akan dilihat lebih mulia dengan umatnya yang hidup dalam suasana lebih maju dan bahagia. Memang Pas ada kekuatan di Manek Urai, tetapi dengan slogan kita “Rakyat Didahulukan” ‘Manek Urai Diutamakan’ semakin hari rakyat menerima mesej kita.

Ada yang melihat pilihan raya kecil ini sebagai pertandingan antara Datuk selaku pemimpin berlatar profesional dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berlatarkan agama. Apa pandangan Datuk?

Saya tidak gentar dalam memperjuangkan kebenaran, berjuang untuk orang Islam, Melayu, rakyat keseluruhannya dan negara, biarpun mungkin dicela. Ini adalah perjuangan besar. Ini perkara biasa, saya akan jalankan tugas untuk yakinkan rakyat bahawa UMNO tetap lebih mampu daripada Pas memperjuangkan Islam dan orang Melayu.

Di Kelantan sejak 19 tahun lalu, wajah negeri dan kehidupan rakyat berubah sedikit sangat. Itu pun kerana ehsan dari Kerajaan Pusat. Ya, saya tahu ada orang melihat pertandingan ini adalah antara saya dan MB Kelantan.

Saya pun ada kemampuan dan kebolehan juga untuk memimpin setelah 35 tahun berkhidmat dengan kerajaan membela rakyat dan merancang serta melaksanakan dasar. Saya juga ada sumbangan kepada rakyat Kelantan.

Tetapi ada yang menuduh Kelantan dianaktirikan?

Tidak benar tuduhan itu. Kita mendapatkan peruntukan terbesar dalam sejarah untuk Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak RM7.6 bilion.

Saya Menteri dari Kelantan yang ketika itu terlibat dalam perancangan ekonomi. Kami usulkan kepada Perdana Menteri agar Kelantan terus diberi perhatian walaupun di bawah pembangkang. Pak Lah, Perdana Menteri pada masa itu setuju.

Kini kita ada universiti, lapangan terbang baru, kemudahan prasarana luar bandar yang lebih baik. Tetapi masih banyak yang perlu dilakukan agar rakyat dapat bergerak seiring dengan pembangunan global.

Datuk jarang menjadi serangan pemimpin Pas namun di Manek Urai Datuk cuba digambarkan sebagai menyekat hak untuk Kelantan. Sejauh mana kecintaan Datuk terhadap negeri dan rakyat?

Selaku anak Kelantan kenapa mesti saya menyekat perkembangan. Kalaulah mereka tahu, betapa saya berhempas pulas bersama rakan-rakan lain untuk melakukan apa yang terbaik untuk negeri yang saya cintai.

Biar apa pun mereka kata, yang penting niat dan ketulusan kita.

Rakyat yang celik dapat menilai usaha saya untuk negeri Kelantan di mana jua saya bertugas. Saya sudah bertugas di tujuh Kementerian dan sebagai satu-satunya Menteri dari negeri Kelantan, saya berbangga dapat memberi sumbangan kepada rakyat Kelantan.

Isu mengkafirkan UMNO bagi menjauhkan sokongan kepada parti itu muncul semula di Manek Urai dan kali ini paling lantang disuarakan oleh Nik Abdul Aziz sendiri. Tidakkah ini halangan yang paling besar?

Memang ini persoalan utama yang terus meretakkan hubungan sesama Islam yang menguntungkan mereka yang berkepentingan untuk melemahkan perpaduan Melayu, Islam.

Ini perjuangan besar bagi UMNO iaitu untuk menangkis fitnah dan tuduhan amat berat, kononnya menolak Islam membawa akibat cukup buruk. Kita perlu beri penjelasan. Yang kita tolak bukannya Islam, tetapi parti yang bertopengkan Islam.

Kita perlu terus bangkit dengan hujah, dasar dan pelaksanaan dengan penuh sabar. Saya percaya akhirnya rakyat akan insaf bahawa syurga dan neraka tidak boleh dijaja seperti mana yang dilakukan oleh Pas. Kita akan terus tegakkan perjuangan Islam yang sebenar, ukhrawi dan duniawi, fardu ain dan fardu kifayah.

Apa signifikannya pilihan raya kecil Manek Urai terhadap diri Datuk, UMNO dan politik negeri?

Ini bukan untuk diri saya, namun sebagai Pengerusi Perhubungan, tentunya ia memberikan makna tersendiri. Kalau berjaya di sini, ia satu petanda rakyat Kelantan sudah berubah.

19 tahun di bawah Pas tidak banyak perubahan, cuma retorik.

Walaupun sekadar tambah satu kerusi, ia akan memberi impak yang besar bagi politik Kelantan malah negara. Insya-Allah UMNO dan BN akan bangkit semula setelah sokongan terhakis dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Apa yang ingin Datuk segerakan jika kemenangan dicapai?

Kita akan susun kaedah bagaimana kita boleh laksanakan segala keperluan rakyat dengan mengambil kira kehendak mereka. Kita akan adakan jentera pelaksanaan yang berkesan - Rakyat Didahulukan, Manek Urai Diutamakan.

Setiap yang dijanjikan akan ditunaikan. Kita buat kerja bukan sahaja untuk pilihan raya Kecil ini tetapi untuk PRU ke-13 dan seterusnya. Kita bekerja untuk kesejahteraan rakyat lebih-lebih lagi kawasan luar bandar seperti Manek Urai.

No comments: