Monday, June 22, 2009

MUSTAPA AKAN PERJELAS ISU ROYALTI

Kerajaan pusat akan memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan berhubung isu royalti hasil pengeluaran petroleum yang sering dibangkitkan oleh kerajaan negeri tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian Datuk Mustapa Mohamed berkata beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung isu berkenaan terlebih dahulu bagi membolehkan penjelasan terperinci dibuat kepada rakyat agar isu itu tidak terus dikelirukan.

“Kami hendak buat persediaan terlebih dahulu bagi membolehkan penjelasan dapat diberi kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa yang mendakwa kerajaan pusat belum menjelaskan tunggakan royalti petroleum RM1 bilion.

Husam mendakwa tunggakan itu sepatutnya dijelaskan oleh kerajaan pusat bagi membolehkan wang itu disalurkan kepada rakyat negeri ini.

Kerajaan Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan Pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Husam berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu lalu bersetuju supaya Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Beliau berkata, menurut laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion.
"Kelantan mula menjadi negeri pengeluar minyak sejak 2004 dan sepatutnya mendapat royalti sepertimana negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata ia bukan kali pertama PAS mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu, malah pada pilihan raya lepas isu yang sama turut dibangkitkan.

No comments: