Monday, June 22, 2009

TIGA NAMA CALON MANIK URAI

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata sekurang-kurangnya tiga nama tersenarai untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai yang akan diadakan 14 Julai ini.

Katanya, nama-nama berkenaan kini sedang diteliti pucuk pimpinan parti dan akan diumumkan pada bila-bila masa.

“Senarai nama yang diserahkan Umno Kelantan itu kini di peringkat akhir penelitian, saya rasa keputusan mengenainya akan diumumkan pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Perlumbaan Eko-Budaya Kelantan 2009 di Pantai Irama, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan, Sulaiman Ismail.
PAS yang memutuskan akan meletak calon bagi mempertahan kerusi DUN berkenaan yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, akan mengumumkan calon mereka pada 26 Jun ini (Jumaat ini).

Penasihat jentera operasi pilihan raya Manik Urai PAS, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata pengumuman itu akan dibuat bersama pemimpin pakatan pembangkang berdekatan dengan rumah penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Ismail Yaakob, di Manik Urai.

Ditanya sama ada calon yang akan dimumkan itu memiliki ciri-ciri seperti Allahyarham Ismail, Wan Rahim berkata pemimpin seperti beliau sukar diganti dan tidak boleh ditandingi.

Bagaimanapun, beliau yakin calon yang akan diumumkan nanti akan diterima oleh pengundi di Manek Urai.

Sementara itu, Wan Rahim menggesa SPR mengarahkan majikan-majikan supaya membenarkan pekerja mengambil cuti pada hari mengundi 14 Julai nanti.

Keadaan ini katanya berpunca daripada SPR sendiri yang sengaja menetapkan hari pengundian pada hari bekerja.

"Kita betul-betul mengharapkan SPR memberi arahan kepada majikan bagi memberikan cuti satu hari," tegasnya ketika dihubungi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini dan penamaan calon pada 6 Julai.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu kerana masalah kesihatan.

Beliau memenangi Dun Manek Urai buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 dan mengekalkannya untuk lima penggal berturut-turut.

DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang juga disandang oleh PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 6 Julai ini.

No comments: