Tuesday, June 23, 2009

AIR OH AIR....

Sumber: Berita Harian (22 Jun 2009)

Tak payah cakap banyak...inilah kemampuan Kerajaan PAS Kelantan.

Kes 1: 1,500 pelajar SMT terputus bekalan air sejak seminggu

Kira-kira 1,500 pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tanah Merah dekat sini, berdepan masalah terputus bekalan air bersih sejak seminggu lalu.

Keadaan itu menimbulkan masalah besar kepada mereka khususnya yang tinggal di asrama, kerana ketiadaan bekalan air menyukarkan urusan harian semua pelajar terbabit termasuk untuk mandi dan membasuh pakaian.

Pelajar Tingkatan Lima, Mohd Adnim Ramli, 17, berkata ketiadaan bekalan air menyebabkan di kalangan terpaksa berjimat dengan tidak mandi dan sekadar membasuh muka setiap pagi.

"Pakaian sekolah juga tidak mampu dibasuh, sebaliknya dipakai berulang kali walaupun masing-masing merasa kurang selesa dengan keadaan ini tetapi kami tiada pilihan.

"Bagi pelajar yang tinggal bersama keluarga mungkin tidak menghadapi masalah, tetapi ini cukup menyeksakan kami yang tinggal di asrama," katanya di sini, kelmarin.

Mohd Adnim mendakwa, dalam tempoh enam bulan tahun ini, sudah empat kali mereka berdepan masalah terputus bekalan air sehingga mengganggu kehidupan harian dan tumpuan belajar.

Pelajar, Wan Habsah Wan Abdul Nasir, 16, berkata gangguan bekalan air itu menyebabkan pelajar terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dan bekas plastik sejak kira-kira 1.5 kilometer sebagai persediaan untuk berwuduk dan membersihkan diri.

"Kalau tahun lalu, setiap kali terputus bekalan air, ada lori tangki dihantar ke sini untuk menghantar bekalan sementara bagi meringankan masalah pelajar tetapi kali ini tidak ada menyebabkan ramai pelajar yang tinggal di asrama terpaksa balik ke rumah," katanya.

Penolong Kanan (Hal Ehwal Pelajar) SMT Tanah Merah, Fauzi Yussof, ketika ditemui mengakui gangguan bekalan air sering dialami di kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu sehingga menimbulkan masalah kepada pelajar khususnya yang tinggal di asrama.

Kes 2:Makan beralas daun pisang gara-gara air tiada 3 bulan

Kesulitan yang dialami lebih 1,000 penduduk Kuala Gris dekat Dabong, akibat terputus bekalan air paip sejak April lalu, menyebabkan ada penduduk terpaksa menggunakan daun pisang sebagai pengganti pinggan pada majlis perkahwinan.

Ini kerana sejak masalah itu timbul, penduduk terpaksa berulang alik setiap hari sejauh dua kilometer semata-mata mengambil air dari sungai terdekat untuk memenuhi keperluan harian keluarga.

Penduduk, Yaacob Musa, 70, berkata bekalan air yang terputus menyebabkan kebanyakan penduduk hidup dalam keadaan tertekan dan mengganggu urusan harian masing-masing.

"Bekalan air terputus ini bukan sehari dua tetapi sejak dua bulan lalu. Kami terpaksa mengangkut air sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampung ini untuk bekalan kegunaan keluarga setiap hari.

"Bayangkan setiap hari, penduduk kampung berulang alik ke sungai itu dan ia lebih perit kepada warga emas dan penduduk yang tiada kemudahan pengangkutan untuk ke sungai itu.

"Lebih malang, majlis perkahwinan yang diadakan seorang penduduk kampung bulan lalu, terpaksa menggunakan daun pisang kerana ketiadaan air untuk membasuh pinggang mangkuk, " katanya yang datang ke pejabat Berita Harian di sini untuk mengadu masalah itu.
Yaacob berkata, masalah bekalan air terputus itu bagaikan tiada penyelesaian apabila aduan yang dibuat tidak mendapat sebarang tindak balas daripada pihak yang bertanggungjawab.

"Sudah banyak kali kami buat aduan berhubung masalah air, namun mereka hanya mendiamkan diri tanpa sebarang usaha dilakukan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan.

"Mereka sepatutnya sedar air menjadi tunjang utama dalam menjalani aktiviti seharian dan perlu tindakan segera bagi mengurangkan beban ditanggung penduduk, bukannya melepaskan tanggungjawab kerana masalah itu tidak menimpa ke atas mereka," katanya.

Jirannya, Siti Minah Mamat, 80, berkata gangguan kali ini sangat perit kerana berlaku dalam masa yang lebih lama tanpa mereka tahu puncanya.
"Penduduk kampung kini bersepakat akan mengadakan tunjuk perasaan sekiranya tiada tindak balas yang dilakukan pihak Majlis Daerah Dabong," katanya.

Beliau berkata, sekolah di kampung terbabit turut terjejas apabila mengalami masalah sama hingga kebanyakan kanak-kanak berat hati untuk pergi ke sekolah kerana masalah air.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong (MDD), Ghazali Mohammad, berharap syarikat utiliti, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyegerakan kemasukan air bersih ke kampung terbabit bagi membantu penduduk mendapat bekalan yang dirawat.

No comments: