Sumber: Berita Harian
Seramai 47 keluarga miskin negeri ini berpeluang memperoleh pendapatan tambahan sehingga RM500 sebulan, apabila mereka diberi peluang menternak itik telur.
Usaha yang dilaksanakan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dengan kos RM700,000 menerusi Program e-Kasih itu bertujuan memastikan semua keluarga terbabit mampu berdikari dan keluar dari belenggu kemiskinan.
Pengarah JPP Kelantan, Datuk Mohd Shukry Salleh, berkata setiap peserta terbabit diberi bantuan pembinaan reban untuk menempatkan antara 100 hingga 150 ekor itik.
Katanya, selain keluarga miskin, ada di kalangan peserta adalah graduan menganggur dengan mereka yang dipilih merangkumi 27 orang di sekitar Kota Bahru, Tumpat (10) dan Bachok (10).
"Selain bekalan anak itik, setiap peserta dipilih menyertai program ini, turut diberi bantuan kemudahan asas selama dua bulan berupa bahan makanan itik yang diternak itu.
"Kita jangka setiap peserta mampu memperoleh pendapatan tambahan antara RM500 hingga RM600 sebulan menerusi usaha ini. Pada peringkat awal, itik yang diternak itu mampu menghasilkan lebih 50 telur sehari sebelum meningkat apabila semuanya aktif bertelur, yang dijual secara segar atau diproses sebagai telur masin.
"Menerusi usaha ini, kita yakin ia mampu meningkatkan tahap sosio-ekonomi penduduk tempatan yang dikenal pasti memerlukan bantuan supaya mempunyai pendapatan tetap bagi menyara keluarga masing-masing," katanya.
Mohd Shukry berkata, JPP mengenal pasti 3,503 keluarga miskin tegar di negeri ini yang memerlukan bantuan dan nama mereka yang layak akan disalurkan pelbagai bantuan menerusi projek sosio-ekonomi.
Beliau berkata, sebelum ini, JPP turut menyalurkan bantuan kepada seorang lulusan Institut Veterinar (IV) negeri ini yang mengusahakan ternakan itik telur yang terbukti mampu menjana pulangan lumayan.
Katanya, anak muda terbabit, Mohd Asyrafuddin Mohd Ghazali, 24, memulakan projek menternak itik telur spesies Khaki Campbell sejak Ogos tahun lalu dan kini mampu berbangga apabila lebih 600 itik peliharaannya memberi pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan telur segar dan masin.
"Selepas kira-kira tiga bulan, itik yang diternak beliau mula mengeluarkan hasil kira-kira 400 biji sehari yang dijual pada harga 40 sen bagi telur segar dan 58 sen sebagai telur masin menerusi peniaga pasar sekitar bandar ini," katanya.
Beliau berkata, berikutan kejayaan Mohd Asyrafuddin dalam ternakan itik itu, JPP kini menjadikannya beliau sebagai contoh dan dilantik sebagai Mentor Program e-Kasih.
No comments:
Post a Comment