Saturday, June 13, 2009

‘CAKNA RAKYAT’ PENDEKATAN PEMUDA UMNO

Ada dua perkara menarik mengenai keputusan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam mendekati pengundi Manek Urai.
Pertama slogan ‘cakna rakyat’ memang sesuai untuk kempen menghadapi pilihan raya kecil 14 Julai nanti. DUN tersebut kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, meninggal dunia akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 6 Julai depan sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, 14 Julai sebagai hari pembuangan undi.
Kedua, jentera akan diketuai oleh Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim adalah tepat.
Jelas di sini, Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin tahu menempatkan dirinya serta menyesuaikan dengan keadaan di Manek Urai.Khairy mungkin sudah belajar pada pilihan raya umum lalu, rakyat Kelantan tidak gemar dengan kehadirannya di negeri itu.

Malah, ramai yang mengatakan ‘menyampah’ dengan gelagat Khairy ketika itu bersama dengan Pemuda UMNO Kelantan. Pendekatannya di Kelantan dikatakan tidak sesuai.
Orang UMNO sendiri pun kurang gemar, termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Dengan keputusan mengambil pendekatan ‘Cakna Rakyat’ terutama dalam melaksanakan program bagi mendekati hati golongan muda dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Julai ini akan memudahkan sedikit tugas Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Mesyuarat Exco pergerakan itu petang Khamis lalu memutuskan Razali mengetuai jentera pemuda berkempen.

Kata Khairy: “Kita yakin dalam pilihan raya kecil ini peluang bagi Barisan Nasional (BN) semakin cerah sekiranya kita dapat memilih calon yang tepat dan kita akan menggunakan pendekatan berbeza sikit, pendekatan yang lebih saintifik dari segi kajian sikap untuk peringkat pemuda dapat dilaksanakan dengan baik,” kata Khairy.

Berhubung dengan calon dari kalangan pemuda, Khairy berkata, “Pemuda sokong calon yang diterima oleh rakyat dan pengundi Manek Urai, kita tidak kisah calon itu datang dari pemuda, wanita atau mana-mana pun, kita akan sokong.”

Pergerakan Puteri UMNO pula akan menggerakkan 300 jentera tempatannya untuk menawan kira-kira 3,000 golongan pengundi wanita muda dalam pilihan raya kecil itu.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, jentera terbabit akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dan alam maya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menawan kembali DUN tersebut.

No comments: