http://melikapakjangak.blogspot.com/ (11 Jun 2009)
BERBANDING dengan tokoh-tokoh Pas yang lain, Mursyidul Am Pas Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih bernasib baik kerana tidak perlu berdepan dengan masalah sukar untuk mendapat tempat dalam kedudukan parti.
Bagi saya nasib baiknya itu lebih bersifat suatu bentuk ujian dari Allah s.w.t. bagi melihat kualiti ilmu amalnya yang sebenar. Jika beliau berjaya menghadapi ujian dengan penuh iman dan taqwa, maka selamatlah beliau dunia akhirat, jika sebaliknya, beliau akan lebih tahu ke mana sudahnya.
Saya mengharapkan apa yang dilakukan dianggap perbuatan ahli syurga memang benar-benar perbuatan ahli syurga, bukan sebaliknya kerana terlalu yakin bahawa tidak ada orang lain lebih Islam, lebih alim, lebih beriman dan bertaqwa dari kita.
Kerana itu saya ambil risiko menegur apa yang patut ditegur walaupun saya sangat jahil. Saya ambil panduan si pincang yang menegur Khalifah Umar Al-Khattab dalam membuat teguran orang yang standardnya jauh lebih tinggi dari saya.
Pengalaman perkhidmatan Nik Aziz selain dari sebagai ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri dan menteri besar ialah sebagai guru sekolah buta (kelas) dewasa KEMAS dan guru Maahad Muhammadi.
Beliau tidak ada pengalaman politik pada peringkat akar umbi, tidak pernah jadi ketua cawangan (dulu dipanggil ranting) dan ketua kawasan. Beliau terus berada pada cagak yang tinggi dan selesa.
Kematian Ahli Parlimen Kota Baharu Hilir (kini Pengkalan Chepa) Ahmad Prai membuka laluannya untuk menduduki kerusi ahli parlimen sejak tahun 1972 apabila beliau dipilih sebagai calon mewakili Pas.
Tidak hairanlah kalau dia merasa dirinya serba mahal, serba perfect dan paling berpengaruh, tambah-tambah apabila apa yang keluar dari mulut beliau atau apa juga tindak tanduknya dianggap suci belaka oleh para pendukung dan penyokong Pas.
Beliau seakan-akan diBERHALAkan oleh pendukung dan penyokong Pas, terutama dari kalangan yang menjadi pendukung dan penyokong kelas 'ppokko angguk' dan malas merujuk al-Quran dan hadis sama ada apa yang dicakapkan dibolehkan atau dilarang oleh Islam, sebaliknya ditelan sebagai manis leting belako.
Bila beliau menyebut menatang (binatang) yang ditujukan pada mana-mana individu, menyamakan perokok dengan lembu atau apabila didoakan agar seseorang ditimpa bala, semua orang menerima sebagai kata-kata suci dan doanya diaminkan, tidak ada yang berani membetulkannya.
Saya sendiri sewaktu bertugas dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKn) pernah dipanggil oleh seorang exco hanya kerana menegur Nik Aziz yang penulis rasakan tindakan dan apa yang diucapkan boleh membawa kepada kerosakan prestasi dan reputasi parti.
Teguran itu saya buat melalui majalah bulanan yang saya terbitkan atas sifat SEBAGAI penerbit dan ketua pengarang kepada majalah bulanan milik saya, bukannya atas kapasiti sebagai Pengarang UPKn ketika itu. Ikut perjanjian lisan, di samping bekerja dengan UPKn, saya boleh meneruskan penerbitan majalah saya.
Exco berkenaan semacam memberi amaran bahawa saya boleh digugurkan dari UPKn kerana menegur apa yang disifatkannya sebagai boss paling besar parti dan Kerajaan Membangun Bersama Islam.
Kepada exco berkenaan saya tegaskan bahawa Nik Aziz bukan nabi atau malaikat, beliau tidak maksum. Selain dari menegur, dia juga kena ditegur, malah tugas menegurnya adalah menjadi fardu kifayah kepada pendukung dan penyokong Pas.
Saya ambil risiko menegurnya kerana saya sayangkan dia, saya takut beliau akan takbur kerana syaitan yang menggodanya jauh lebih besar pangkat dan lebih pakar dalam menggoda berbanding dengan syaitan yang mengoda saya atau orang biasa yang tahap ilmu amalnya tak seberapa.
Saya tak mahu nasibnya akan sama dengan orang alim zaman dahulu, termasuk ulamak yang sangat alim dan masin mulutnya pada zaman Nabi Musa a.s. yang mati masuk neraka kerana menerima upah yang disalurkan melalui isteri agar berdoa supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir.
Kepada exco berkenaan saya tegaskan kalau kerana teguran itu menjadikan saya tidak layak untuk terus bertugas dengan UPKn, maka saya lebih rela tidak disambung kontrak dari berhenti menegur apa yang patut saya tegur menggunakan bakat kepengarangan yang Allah anugerahkan kepada saya.
Hakikatnya exco berkenaan lebih awal terpaksa nyah dari Kerajaan Membangun Bersama Islam apabila kalah dalam Pilihanraya Umum Ke-11. Saya dikeluarkan dari UPKn (tidak disambung kontrak) jauh terkemudian darinya.
Kini ketakburan Nik Aziz semakin menyerlah apabila sanggup menyanggah Presiden Pas yang mana dari sudut susunan kedudukan kepimpinan, Presiden lebih berpower berbanding dengan Mursyidul Am.
Rasanya kalau ikut prosedur beroraganisasi, beliau boleh dikenakan tindakan displin kerana menyanggap presiden sebagaimana Mat Iraq (bekas Ketua Dewan Ulamak) diancam akan diambil tindakan oleh seorang Naib Presiden Pas (kini bekas) kerana kenyataannya yang dianggap melanggar peraturan parti.
Oleh kerana tidak ada pengalaman berorganisasi pada peringkat akar umbi, walaupun untuk pencalonan presiden parti pada muktamar Pas ke-55 beliau hanya dapat satu pencalonan sahaja, beliau masih boleh redas dan redah apa sahaja, termasuk menyanggah presiden yang menang jawatan tanpa bertanding.
Kenyataannya yang menyanggah Presiden dan permintaan Pengarah Pilihan Raya Pas (kini bekas dan Setiausaha Agung Pas) yang dicarry oleh hampir keseluruhan media cetak merupakan suatu bentuk kenyataan bersifat 'tidak heran' dan tidak ada rasa hormatkan sesiapam nada dan gaya orang gedebe mamah mentah kepala keretapi.
Kenyataannya itu mahu tidak mahu akan membawa kepada perpecahan pendukung dan penyokong Pas antara yang berpolitik dan berparti politik secara rasional dengan pendukung dan penyokong yang berpolitik dan berparti politik dengan memBERHALAkan pemimpin atau tokoh tertentu.
Tidak mustahil pihak yang dibidas sebagai 'boneka Umno' kerana mempertahankan cadangan Presiden Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan akan melastik balik beliau sebagai 'boneka syaitan' apabila beliau pernah berkata sanggup bekerjsama dengan syaitan.
Pada saya tindak tanduk Nik Aziz itu (saya memohon agar Allah ampuni saya jika tersilap persepsi) bersifat menunjukkan teladan yang sangat tidak baik dan boleh menyumbang kepada keleburan Pas.
Semacam ada dendam kesumat di hati sanubari beliau apabila boleh menganggap kalangan yang mempertahankan gagasan Presiden sebagai boneka Umno yang mana tanggapan itu turut tertuding kepada presiden dan setiusaha agung.
Saya yakin akhirnya apabila beliau tersepit, sebagaimana lazimlah, pihak medialah akan dipersalahkan, kononnya sengaja mengda-adakan benda yang tidak ada.
Sebagai orang yang sentiasa kemaruk, gigih dan ketagih berilmu amal dan membina benteng iman serta taqwa, mustahil beliau tidak tahu bahawa berbaik sangka dan menyambung serta memantapkan silatur-Rahim sangat dituntut oleh Islam.
Apakah orang Umno lebih syaitan dari syaitan atau lebih DAP dari orang DAP sehingga cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan, boleh ditentang oleh tokoh sehebat Nik Aziz?
No comments:
Post a Comment