Showing posts with label rasuah. Show all posts
Showing posts with label rasuah. Show all posts

Friday, December 24, 2010

AHAMAD KURIS BEBAS, SPRM KANTOI LAGI...

Datuk Ahamad Kuris bersama isteri, Datin Hamidah Ahmad Sujak (kanan) melambai kepada media.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas empat pertuduhan rasuah yang dakwa dilakukannya tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu pada Jumaat, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tuduhan untuk dijawab oleh Ahamad Kuris.

Bekas ADUN itu berkata, beliau akan terus melibatkan diri dalam politik dan setia bersama UMNO.

Pada prosiding itu, Ahamad Kuris diwakili peguam Akbardin Abdul Kader manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah hadir bagi pihak pendakwaan.

Ahamad Kuris, 53, didakwa atas tuduhan meminta suapan wang tunai RM170,000 daripada pengarah syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, Azlan Ahmad Marshid pada pukul 11.53 pagi, 26 Februari 2007 di pejabat syarikat tersebut, nombor 10B, tingkat 1, Jalan Mesra Niaga, Batu 13, Jalan Cheras, Kajang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris bersama isteri, Datin Hamidah Ahmad Sujak (kiri) berjalan keluar dari bilik Mahkamah Sesyen selepas dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada empat pertuduhan meminta rasuah tiga tahun lalu di Shah Alam, semalam.

Beliau juga didakwa atas tuduhan menerima RM20,000 daripada Azlan pada pukul 12.30 tengah hari, 11 Mei 2007 di pejabat ADUN Kawasan Semenyih, tingkat 1, Kompleks Penghulu Mukim Semenyih, Kajang.

Ahamad Kuris juga didakwa menerima RM5,000 di tempat yang sama pada pukul 12.30 tengah hari, 17 Ogos 2007 manakala bagi pertuduhan terakhir, beliau didakwa menerima suapan RM5,000 sebagai bayaran kad kredit Maybank bernombor 4842 8100 3023 7719.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, nombor 28-30, Jalan Tukang, Kajang pada 27 Februari 2007.

Semua suapan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk Ahamad Kuris yang semasa itu sebagai ADUN Semenyih dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membantu syarikat Ufuk Rata untuk mendapatkan tender membina jalan keluar masuk 100 kaki (30 meter) Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Ahamad Kuris juga menghadapi tiga pertuduhan alternatif, iaitu telah secara curang menyalahgunakan semua wang tersebut yang milik UMNO Hulu Langat untuk kegunaan sendiri.

Pada penghakimannya, Ahmad Sazali yang mendengar keterangan 24 saksi pendakwan berkata, bukti menunjukkan wang yang menjadi asas dalam pertuduhan itu hanya timbul selepas Azlan memperoleh tender tersebut.

“Saya putuskan isu wang sebagai dorongan untuk mendapatkan tender tersebut tidak dapat dibuktikan. Saksi pendakwaan 19 (SP 19- Azlan) tidak ada berbincang dengan Ahamad Kuris untuk mendapatkan tender.

“SP19 hanya memaklumkan Ahamad Kuris bahawa dia masuk tender tersebut dan tiada apa-apa usaha dilakukan oleh Ahamad Kuris untuk SP19 mendapatkan tender seperti yang didakwa,” katanya.

Selain itu, Ahmad Sazali juga memutuskan bahawa tiada keterangan yang dapat menunjukkan bahawa Ahamad Kuris telah secara curang menggunakan wang milik UMNO untuk kegunaan diri sendiri.

Sebaik sahaja keputusan itu dibacakan, beberapa ahli keluarga Ahamad Kuris yang hadir untuk memberikan sokongan dilihat menangis dan saling berpelukan.

Sementara itu, Ahamad Kuris apabila ditemui berkata, beliau sangat bersyukur dengan keputusan tersebut.

“Alhamdulillah, syukurlah. Saya tidak bersalah,” katanya.

Tuesday, December 7, 2010

DR KHIR SERAH SURAT LETAK JAWATAN KETUA PEMBANGKANG ESOK

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kepada Badan Perhubungan Umno negeri, esok.

Katanya beliau menyerahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengisi jawatan itu.

"Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada Badan Perhubungan Umno Selangor sebagaimana yang diumumkan menerusi laman blog saya, http://www.drkhir.com/ semalam," katanya.

Semalam, bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi laman blognya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Selangor berkuatkuasa serta-merta.

Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang dan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri, turut berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan berhubung jawatannya dalam parti.

Semalam Dr Mohamad Khir, 45 didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di No 8 dan No 10, Jalan Suasa 7 /1L, Seksyen 7, Shah Alam bernilai RM6.5 juta yang dibeli dengan harga hanya RM3.5 juta.

Selain beliau, pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Haryoni, 52, yang menjual hartanah tersebut turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Dr Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Dr Mohamad Khir yang menjadi Menteri Besar Selangor ke-13 menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar, dari Ogos 2000 hingga Februri 2008, berkata beliau memutuskan meletak jawatan demi kebaikan parti dan juga taraf jawatan tersebut.

Katanya, adalah lebih baik beliau melepaskan jawatan tersebut sementara menunggu proses mahkamah yang akan menentukan sama ada beliau bersalah ataupun tidak mengikut pertuduhan itu.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana khuatir kemungkinan akan wujudnya pelbagai andaian serta spekulasi daripada pihak luar khususnya pembangkang yang akan mengaitkan tuduhan itu dengan parti dan jawatan Ketua Pembangkang Selangor.

Tuesday, June 2, 2009

ADUN BN MOHON MAAF PADA HUSAM

Malaysiakini (2 Jun 2009)

ADUN Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah (Paloh) memohon maaf kepada exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa kerana telah membuat laporan tidak benar dan tidak berasas kepada naib presiden PAS itu pada 2007.

"Saya dengan ini menarik balik segala tuduhan tersebut dan seterusnya menyatakan rasa kesal yang mendalam kerana pertuduhan tersebut telah menyebabkan tekanan kepada beliau dan keluarga beliau serta memburukkan keperibadian beliau," kata Nozula dalam notis permohonan maaf itu yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Nozula dan seorang lagi ADUN BN Kelantan, Muhd Adhan Kechil (Bukit Bunga) telah membuat laporan tersebut terhadap Husam pada akhir November 2007.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek yang mewakili Husam berkata, antara lain laporan mereka adalah mengenai:

-Laporan mengenai buku dan salah guna kuasa oleh ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Hussam Musa.

-Laporan mengenai penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn Bhd

-Isu kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd.

-Isu Kedai Majlis Daerah Machang.

-Isu Jamnapari membabitkan dana KPK.

-Penyelewengan kawasan balak untuk ladang getah serta penyelewengan Pas mengutip dana.

-Penyelewengan pembelian lot tanah mukim Gual Periuk, Pasir Mas oleh Syarikat Galeri Tanah.

-Laporan ke atas Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad dan Pengarah Urusan Kompleks Perkayuan Kelantan.

-Isu Perbadanan Baru Tanjung cuba menjual rezab Melayu kepada Syarikat Kind Network Sdn. Bhd.

Ahmad Shabrimi berkata, tindakan kedua-dua ADUN tersebut antaranya, telah meletakkan Husam dalam kancah pertikaian umum dan mengheret beliau dalam suatu skandal, fitnah konspirasi, jenayah, kebencian dan buruk sangka umum dan kehinaan awam.

Berikutan katanya, Husam telah mengarahkam tindakan undang-undang diambil terhadap kedua-dua ADUN BN tersebut serta akhbar New Straits Times (M) Berhad.

"Akhirnya pihak ADUN berkenaan telah bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka kepada anakguam kami serta menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan.

"Dengan notis permohonan maaf ini, maka terbukti bahawa segala tuduhan liar yang dibuat terhadap anakguam kami adalah fitnah semata-mata, tidak benar dan tidak berasas.

"Ini juga bermakna kerajaan negeri juga bersih dari segala salahlaku yang didakwa. Pihak kami akan membuat tindakan seterusnya bagi membersihkan nama baik anakguam kami.

"Kami juga dalam proses rundingan penyelesaian dengan para defendan lain," kata Ahmad Shabrimi.

Friday, May 29, 2009

JAMBATAN SULTAN YAHYA2 TERBENGKALAI – MENCARI JAWAPAN

Ada sebuah blog mengatakan ada Pemimpin UMNO Sapu RM 20 juta menyebabkan projek Jambatan Sultan Yahya Petra 2 Terbengkalai.

Malah menurut blog itu, gejala rasuah yang berlaku dikalangan pemimpin UMNO mengakibatkan kebocoran dan ketirisan berlaku dalam projek kerajaan.

Projek besar dan kecil ditipu oleh pemimpin UMNO menyebabkan ia menelan belanja lebih besar dari yang sepatutnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Melor, Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh menyatakan demikian ketika menyampaikan ceramah di Maahad Tahfidz Wal Tarbiyah Tok Jiring baru-baru ini.
Pemimpin UMNO kena jawab isu ini. Jika tidak malu dan haru dibuatnya. Bagaimana kalau isu ini dikemukakan pada kempen pilihan raya kecil Manek Urai nanti?

Kesan dengan rakyat Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu dan seluruh Kelantan, jika benar ini terjadi.

Wan Ismail mendedahkan penyelewengan pemimpin UMNO Kelantan dalam projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra 2 (JSYP2) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2 Ogos tahun 2007.

Beliau berkata projek tersebut tidak ditender dan diberi kepada syarikat yang dimiliki oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Rosmadi Ismail.

”Kementerian Kewangan melalui Kementerian Kerja Raya di peringkat pusat telah memberi kontrak membina jambatan ini kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu dengan harga RM 150 juta,

”Kita (PAS) bila tahu, kita tanya JKR berapa harga sepatutnya sebenarnya mengikut penilaian JKR,

”JKR kata harga sebenar jambatan ini, kalau diberi secara tender (terbuka) paling mahal berharga RM 110 juta,”katanya.

Katanya kelulusan projek JSYP2 hampir kepada waktu pilihanraya umum yang lalu dimana perasmian pecah tapak projek tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri tanpa menjemput Menteri Besar Kelantan.

Oleh itu, setelah perasmian tapak tersebut, katanya, syarikat berkenaan telah menuntut bayaran daripada kerajaan pusat lebih dari RM 20 juta.

Beliau berkata apabila mendapat bayaran dari kerajaan persekutuan, syarikat tersebut tidak meneruskan pembinaan JSYP2 dan terbengkalai sehingga kini.

”Akhirnya dia telah tuntut sebanyak lebih dari RM 20 juta, lepas itu dia pun tinggal (projek), tidak buat, sampai ke hari ini tidak buat, pitih RM 20 juta dia kebas,

”Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu beli kereta Porsche sebuah, nombor plate DBH1, yang harganya lebih sejuta ringgit,”dedah Ustaz Wan Ismail.

Katanya projek pembinaan JSYP2 yang terbengkalai adalah satu bukti bagaimana pemimpin UMNO menipu kontrak kerajaan.

”Dahlah boleh (mendapat) kontrak dengan harga yang mahal, tipu kerajaan pula, ambil pitih tapi tak buat kerja,”tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan (rakyat) terpaksa menanggung kerugian bepuluh juta ringgit kerana terpaksa melantik kontraktor lain bagi melaksanakan projek itu dan wang lebih RM 20 juta yang telah diberikan kepada syarikat tersebut tidak dapat dituntut semula.

Hmm tunggu apa lagi? Kalau tidak benar sama saja Wan Ismail.
Tapi kalau benar, hancusss....

Wednesday, May 20, 2009

RASUAH BUKAN BARU BAGI PAS

hambali1.blogspot.com (20 May 2009)

Saya seronok baca mengenai rasuah dalam PAS.

Selama ini pemimpin PAS berkokok tidak henti-henti bahawa pemilihan UMNO penuh dengan rasuah.

Tetapi PAS sendiri bukan sahaja bergelumang dengan rasuah tetapi juga menggalakkan rasuah.

Yang nyata, Musyridul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan berlaku rasuah ataupun politik wang semasa berlangsung pemilihan peringkat kawasan bulan lepas. Beliau tidak menolak mentah-mentah dakwaan yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulama, Mohamed Daud Iraqi.

Nik Aziz juga tidak dapat menentukan apakah Mat Iraq memberi nasihat ataupun beliau (Mat Iraqi) ada bukti bila menuduh berlaku rasuah dalam pemilihan PAS.

Saya ingin penjenguk fikir satu perkara sebelum menilai tulisan saudara Mohd Sayuti Omar bertajuk “Jangan Sembunyi Rasuah Bawah Kupiah “Celoteh Murai 45” melalui blognya untuk renungan bersama. Saya perturunkan beberapa para untuk tetapan.

Hakikatnya PAS sudah lama bergelumang dengan RASUAH SECARA TERANG-TERANGAN.

Bukan sekadar menawarkan ‘syurga’ dan perkara-perkara Islam sahaja.

Ambil sahaja fatwa Nik Aziz “Beri duit ambil, beri kain pakai, beri gula kacau, bila mengundi pangkah bulan. ...”

Kata-kata ini merujuk kepada kononnya ‘rasuah UMNO dan Barisan Nasional (BN)’ kepada pengundi pada musim pilihan raya.

Pokoknya – jika DUIT, KAIN, KOPI, GULA bersifat rasuah, apakah wajar pengundi PAS (sudah pasti Islam) mengambilnya? Apakah agama Islam menggalakkan orang Islam pejam mata mengambil apa sahaja bentuk pemberian berunsur rasuah.

Tidakkah PAS menganggap wang, kain dan minuman itu rasuah? Kenapa kepada penyokong dan pengikut PAS ‘pemberian UMNO dan BN itu halal’ dan kepada penyokong UMNO dan BN haram?

Setahu saya rasuah berlaku apabila ada orang memberi dan menerima. Dia bukan di pihak pemberi sahaja. Malah lebih buruk, apabila Nik Aziz berfatwa ‘menghalalkan orang PAS menerima rasuah, walaupun wang, kain, kopi dan gula’.

Jadi tidak hairan kalau dalam pemilihan parti, ada perbuatan rasuah dilakukan dan cita-cita untuk menang dalam pemilihan tetap tinggi, kalaupun pemimpin PAS mendakwa merekalah benar-benar Islam.

Jadi jom kita tinjau apa kata Sayuti:

1. Mat Iraq tidak dikenakan apa-apa tindakan. Kalau benar tidak ada rasuah dalam PAS kenapa Mat Iraq tidak dikenakan tindakan disiplin? Apakah PAS memberi amaran kepada Mat Iraq? Kalau amaran kenapa pula tidak disebut ia diberikan amaran? Logik dan adilnya kalau dah buat fitnah, hukum saja jangan taruh dan simpan lagi. Pas tentu arif mengenai bahaya fitnah dan kata-kata Rasulullah mengenai anaknya Fatimah! Apakah PAS juga mengamalkan tindakan double standard macam parti cap keris itu?

2. Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) cuba menyembunyikan isu rasuah atau politik wang di bawah kupiah kerana nak jaga maruah parti. Tentu Hadi tahu apa hukumnya hipokrit dan munafik serta persoalan di Mahsyar kelak. Kalau Hadi juga berbuat begitu bermakna Hadi juga mengamalkan politik tusuk punca dalam kain?

3. Murai cukup benci kalau orang bercakap; berkatalah yang benar walaupun pahit, tetapi bila kena gilirannya sendiri yang pahit tidak mahu dikatakan dan hanya suka mengatakan yang manis-manis sahaja. Keputusan yang Pas ambil berhubung dengan rasuah itu menjelaskan bagaimana wibawa para ulama dalam PAS itu sendiri!

Sebenarnya bagi PAS, memang dia pandai menutup kelemahan parti dan pemimpinnya.

PAS berbeza dengan UMNO bukan dalam konteks Islamnya tetapi cara pemimpin utama PAS menutup dosa dan kelemahan pemimpinnya.

Saya bersetuju dengan Sayuti kalau beliau mengandaikan PAS menutup perbuatan rasuah dengan kopiahnya.

Bukan ini kali pertama PAS menutup kelemahan pemimpinnya. Ada beberapa kes rasuah lain PAS selindungkan, termasuk rasuah dalam Kerajaan Negeri Kelantan.

PAS juga bijak menutup malu parti dan pemimpinnya. Lihatlah berapa banyak kes khalwat dan ‘main dengan bini’ orang PAS boleh tutup rapat-rapat.

Inilah sahaja kelebihan pemimpin dan ahli PAS. Pemimpin tutup kesilapan dan ahli menerima dan kunci mulut. ‘Tidak baik memperkatakan dan menyebarkan aib orang lain”

Tetapi UMNO, pemimpin dan hali tidak reti tutup atau lindungi salah laku pemimpinnya.

Pemimpin buka mulut seluas-luasnya kalau ada perbuatan rasuah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO jadi tukang karut yang menjaja ke seluruh negara. “Lebih banyak dedah, walaupun aib, lebih seronok”.

Lihat sahaja isu rasuah dalam pemilihan parti UMNO yang lalu. Yang dipanggil dan didakwa beratus-ratus. Belum tentu salah sudah nampak bersalah.

Yang kena tindakan seorang dua tetapi hebohnya sampai satu dunia.

Lebih memburukkan keadaan yang tidak didakwa ada beratus-ratus dan selepas pemilihan, Jawatankuasa Disiplin pun tidak berfungsi dan UMNO dilihat parti yang mengamalkan rasuah.

Sewajarnya kalau mahu nampak bersih, bicara dan dakwa dan bagi yang bersih, umumkan nama mereka sebagai ‘bersih daripada rasuah’, bukan longgokkan dengan yang memang sewajarnya didakwa.

Akhirnya, kononnya mahu dilihat bersih dan bersedia menjadi telus – UMNO dilihat parti kotor dan rasuah sedangkan PAS parti bersih dan Islam.

Tiba pilihan raya UMNO yang telus putih mata dan PAS yang menutup dosa dan kejahatan di bawah kopiah di lihat bersih dan disokong oleh rakyat yang dibutakan mata melalui fatwa – termasuk fatwa Nik Aziz mengenai duit, wang, kopi dan gula.