Sunday, June 5, 2016

Budiman Kata PAS Berebut ‘Hati Azmin’, Mujahid Pula PAS Tengah ‘Mabuk’


Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi menganggap PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai dua kekasih yang bergelut untuk merebut 'sekeping hati' yang sama.

Kata ADUN Sungai Panjang itu, keadaan berkenaan menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bingung dan "pening kepala".

Pada masa sama, Budiman menganggap PAS yang akan menentangnya dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini sebagai "kekasih gelap" Azmin.

Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa pula menuduh parti lamanya PAS, jadi mabuk dengan perkauman UMNO dan mengetepikan kepercayaan parti terhadap universalisme Islam.

Mujahid berkata bapanya, Yusof Rawa, pengasas PAS menegakkan prinsip Islam sepanjang hidupnya.

Bagaimanapun, PAS kini menjadi perkauman selepas “mabuk dengan doktrin UMNO, kenyataan perkauman dan fitnah terhadap masyarakat Cina dan DAP”.

Kenapa Budiman anggap PAS kekasih gelap?

"Pada masa yang sama dia (Azmin yang mewakili PKR) ada 'isteri' yang bernama PAS. Kemudian dia binkan dengan PKR. Pada masa yang sama dia ada kekasih gelap nama PAN (merujuk kepada AMANAH), bin dengan DAP.

"Kalau kita lantik (ADUN) daripada PAN, hari ini pun Azmin dah pening kepala," katanya
Budiman berucap kepada masyarakat setempat di suatu program lawatan di Homestay Batu 23, Sungai Nibong semalam.

Kata Budiman, hubungan Azmin dengan PAS dan AMANAH seperti dua kekasih gelap yang "berebut satu hati yang sama".

Mengenai calon PAS Dr Abdul Rani Osman, Budiman berkata terlalu sukar untuk ADUN Meru itu mengelola Sungai Besar jika berlaku sebarang kecemasan.

"Jika ada adinda yang dekat (merujuk kepada dirinya sebagai ADUN Sungai Besar) mengapa perlu pilih orang jauh (Rani)?" katanya.

Budiman turut menyentuh calon AMANAH Azhar Abdul Shukur yang disebut-sebut sebagai anak tempatan. "Tetapi dia mengundi pun di Temerloh," katanya.

Pilihan raya kecil Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini ekoran kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dalam kemalangan helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lalu.

Penamaan calon untuk pilihan raya kecil itu diadakan hari ini. Proses itu akan dijalankan serentak dengan kawasan parlimen Kuala Kangsar.



Sementara itu, Mujahid mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon terhadap komen dibuat pemimpin Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa DAP menyediakan ahlinya dengan “arak”, hingga menyebabkan mereka keluar untuk menubuhkan AMANAH.

“Bukan kami yang mabuk, kamu yang mabuk,” kata Mujahid dan kerana itu mereka “keluar parti (PAS), dan itu semua kerana kamu yang mabuk dengan UMNO.” (baca tulisan Mujahid seperti disiarkan Malaysiakini semalam)

AMANAH, parti serpihan PAS, ditubuhkan tahun lalu selepas sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan oleh calon konservatif dalam pemilihan parti. Langkah itu diambil susulan perbalahan berterusan antara DAP dan PAS berikutan parti Islam itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, dan ia disokong UMNO.

Perbalahan itu menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat, dan kemudian AMANAH bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

Mujahid juga mengkritik pemimpin PAS yang memakai baju Melayu, kain pelikat dan songkok di muktamar itu, bukan jubah putih tradisi pakaian seragam mereka, yang digambarkannya mengikut gaya pemimpin UMNO.

“Cara mereka (PAS) berpakaian menggambarkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sedangkan UMNO pun tidak sejauh itu (membuktikan mereka Melayu),” kata Mujahid.

Katanya, tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan keris untuk memotong kek pada muktamar itu “ejekan” kepada semua orang Islam. 


No comments: