Thursday, December 29, 2016

Buka Semula Sisasatan Penyelewengan Dana 1MDB – AMANAH


Apakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melayan desakan parti AMANAH agar dibuka semula siasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Parti Amanah Negara (AMANAH) semalam membuat desakan agar dibuka semula kertas siasatan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

AMANAH berpendapat, sebarang kegagalan SPRM untuk membuka semula siasatan akan menguatkan lagi dakwaan bahawa badan ini sudah hilang integriti dan tidak lagi bebas. Malah, sekiranya benar ia  merupakan bencana yang cukup besar untuk masa depan Malaysia.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berpendapat dengan wujudnya keterangan-keterangan yang belum disiasat sepenuhnya, adalah wajar sekali SPRM melakukan siasatan sekali lagi terhadap penyelewengan dalam 1MDB.

Salahuddin berkata ada banyak bukti baharu berhubung kes itu, selepas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali Januari lalu memutuskan Datuk Seri Najib Razak tidak membuat sebarang kesalahan berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Apandi ketika itu berkata wang itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi, sementara beberapa pihak lain mendakwa ia sebenarnya daripada 1MDB.

Lagipun, menurutnya wujud perkembangan baru termasuklah pendedahan dan saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dan tindakan mahkamah di Singapura dan Abu Dhabi terhadap individu yang disyaki terlibat.

Yak...kena penjara 18 minggu.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Singapura pada November yang menjatuhkan hukuman penjara 18 minggu kepada bekas pegawai Bank BSI Yak Yew Chee, yang menguruskan akaun milik Jho Low berkaitan 1MDB, atas pertuduhan gagal melaporkan urus niaga mencurigakan.

Menurut laporan International Business Times pada 19 Ogos pula, pihak berkuasa Abu Dhabi menahan hartawan Khadem Al Qubaisi kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan berkaitan 1MDB.

“Dengan bukti baharu ini, wajar untuk siasatan diteruskan. SPRM perlu mendapatkan dokumen dan keterangan semua saksi penting termasuk perdana menteri,” kata Salahuddin pada sidang media selepas penyerahan memorandum.

“Amat wajar SPRM memulakan semula siasatan penyelewengan yang berlaku,” tegasnya selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM di ibupejabat SPRM di Putrajaya semalam. Turut hadir ialah Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir dan Ketua Wanita Amanah Nasional (Awan) Dr Mariah Mahmud yang  mendesak SPRM membuka semula kertas siasatan.

AMANAH melihat isu dakwaan penyelewengan berkaitan 1MDB masih tergantung tanpa jawapan dan belum dapat diselesaikan oleh penguat kuasa undang-undang negara.

Penyiasatan kes tersebut yang turut melibatkan SPRM sebelum ini kelihatan tidak lengkap di mana masih ramai saksi-saksi yang didakwa terlibat dalam transaksi yang berkaitan 1MDB sama ada di dalam mahupun di luar negara belum disiasat kesemuanya.

Kata Salahuddin: "SPRM juga perlu mendapatkan kerangan dan dokumen daripada semua saksi-saksi penting dan suspek yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan ini termasuklah Perdana Menteri, untuk melengkapkan siasatan dengan sempurna.”

Beliau  yang juga bekas anggota Jawatankuasa Khas SPRM, berkata, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi sumbangan ke arah memperkukuhkan lagi kewibawaan SPRM.

Salahuddin berkata beliau sedar dengan kekangan SPRM yang tidak memiliki kuasa untuk mendakwa.


Maka AMANAH akan membawa isu kuasa pendakwaan ini ke mesyuarat Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar ia dimasukkan ke dalam manifesto.

“Ini bagi membolehkan SPRM kembali menjadi badan berintegriti dan memiliki kuasa diperlukan untuk menjalankan tugas.

“SPRM tanpa kuasa, peguam negara boleh bertindak mengikut kemahuan dan eksekutif juga boleh masuk campur,” katanya yang pernah menganggotai panel SPRM pada 2009 hingga 2013.
"Di antara perjuangan besar yang masih belum selesai ialah memberikan semula kuasa pendakwaan SPRM untuk mendakwa terutama kes-kes yang berprofil tinggi," ujarnya.

"Cara penyiasatan ditutup dan rumusan penyiasatan dibuat (menyatakan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Datuk Seri Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukannya dari 1MDB) gagal memberi keyakinan kepada rakyat malah menimbulkan lebih banyak persoalan.

Memandangkan  skandal 1MDB sudah menjadi perhatian dunia, Malaysia perlu membuktikan bahawa negara ini mempunyai sistem keadilan yang cekap, berintegriti dan mampu untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut dan gentar serta bebas dari campur tangan pihak berkepentingan," ujarnya.

Salahuddin juga berkata, sekiranya rakyat memberikan mandat baru kepada Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU14, AMANAH  akan memastikan struktur urus tadbir SPRM akan diletakkan di bawah Parlimen Malaysia.

Ini bertujuan bagi mengangkat integriti dan memastikan peranannya benar-benar bebas dari campur tangan pihak eksekutif, tegasnya. 

No comments: