Saturday, March 27, 2010

Tengku Abdul Halim Dilantik YDP MPN Kelantan Yang Baru

Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan pada Jumaat mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang Dipertua (YDP) MPN yang baru bagi menggantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah.

Setiausaha MPN Datuk Mohd Aiseri Alias berkata pelantikan Tengku Abdul Halim itu berkuatkuasa pada Khamis selepas pembatalan pelantikan Tengku Abdul Aziz yang juga berkuatkuasa Khamis.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan dengan ini saya memaklumkan bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah dibatalkan pelantikan dan dilepaskan menjadi YDP MPN berkuatkuasa 25 Mac 2010 (semalam)," katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Shafie Ismail.

Mohd Aiseri berkata pelantikan Tengku Abdul Halim sebagai YDPM MPN yang baru itu juga telah mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan.

Pada Khamis Tengku Abdul Aziz yang bergelar Tengku Seri Utama Raja telah diumumkan sebagai Pemangku Raja Kelantan selepas apa yang didakwa bahawa Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra telah melucutkan jawatan anakandanya Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuatkuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota di sini.

Bagaimanapun susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Mohd Aiseri berkata Tengku Muhammad Faris Petra terus kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Mohd Aiseri, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Wan Hashim mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

Tengku Abdul Aziz iaitu abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Sementara itu satu laporan polis terhadap Wan Hashim telah dibuat di Balai Polis Kota Baharu di sini sebaik selesai sidang akhbar berkenaan.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie pada pukul 10.20 pagi berikutan tindakan Wan Hashim itu pada Khamis.

Pada pukul 9 malam Khamis, polis dilaporkan telah menahan Wan Hashim yang bergelar Datuk di kediamannya, di Taman Sri Aman, Kubang Kerian di sini dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan itu.

Sumber polis berkata penahanan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

No comments: