Wednesday, March 24, 2010

ISTANA KELANTAN DIKAWAL RAPI 30 MAC


Siapakah yang nak ‘bertikam keris’ di Istana Kelantan pada 30 Mac ini?

Apakah akan ada episod seperti ‘Tuah dan Jebat’?

Kalau tidak tak kanlah polis mahu meningkatkan kawalan keselamatan di Istana Kelantan.

Kata polis ia bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa sambutan Hari Keputeraan Ke-60 Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini.

Kejadian tidak diingini? Apakah itu? Polis sudah dapat mengesan kemungkinan-kemungkinannya?

Antara siapa?

Di Kelantan kini jelas ada tiga pihak ‘sedang bertelagah’.

Pertama antara dua putera Sultan Kelantan; kedua antara dua isteri Sultan Kelantan; dan ketiga antara dua ‘pegawai’ istana yang mendakwa mereka adalah pegawai penting Sultan Kelantan.
Yang mana satu ni?

Atau rakyat yang akan menyerbu istana?

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata arahan berhubung perkara itu telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan Datuk Abd Rahim Hanafi supaya persiapan rapi sepanjang istiadat penganugerahan darjah kebesaran itu berjalan secara aman dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

"Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di semua jalan menuju ke istana dan kawasan sekitar. Arahan untuk dipertingkatkan kawalan keselamatan itu telah dititahkan oleh Pemangku Raja Kelantan (Tengku Muhammad Faris Petra) dalam satu perintah bertulis bertarikh 20 Mac lepas," kata Musa kelmarin.

Beliau berkata beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di luar perkarangan istana dan beberapa kawasan lain berhampiran Istana Kelantan pada hari sambutan itu nanti.

Kelmarin, Istana Kelantan memaklumkan akan meneruskan tradisi penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata majlis diadakan atas perkenan Pemangku Raja. Pemangku Raja boleh melaksanakan kurniaan itu seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

Jumaat lalu, akhbar tempatan melaporkan Sultan Kelantan menitahkan semua acara sempena Hari Keputeraan Ke-60 baginda tahun ini tidak dilangsungkan termasuk pengurniaan gelaran, darjah dan pingat kebesaran.

Titah perkara itu disampaikan menerusi Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku Setiausaha Sulit baginda di Istana Mahkota Kelantan.

Menurut laporan itu, Wan Hashim berkata surat memaklumkan keputusan yang diambil baginda itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Feb lalu dan perkara yang sama juga turut disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Arahan keselamatan ini sedikit mengejutkan kerana seolah-olah akan ada sesuatu atau kemungkinan tertentu akan berlaku.

Apapun kita berdoa Istana Kelantan dilindungi sebarang masalah dan berharap Sultan Kelantan akan cepat sembuh.

Segala-galanya dijangka akan baik dan terurus semuanya apabila Sultan Kelantan kembali sihat.

No comments: